suria

‘Lawak Minggu Ini’ Pelepas Rindu ‘Maharaja Lawak’

Nizam Sani bersama-sama pelawak yang bakal muncul dalam Lawak Minggu Ini di Astro Warna. - Foto LOW LAY PHON
Nizam Sani bersama-sama pelawak yang bakal muncul dalam Lawak Minggu Ini di Astro Warna. - Foto LOW LAY PHON
Nizam Sani bersama-sama pelawak yang bakal muncul dalam Lawak Minggu Ini di Astro Warna. - Foto LOW LAY PHON

PETALING JAYA: Sebagai pengubat rindu kepada peminat Maharaja Lawak, Astro Warna (saluran 132) akan menyiarkan program komedi terbaru Lawak Minggu Ini mulai 5 Ogos depan pukul 10 malam.

Program bersiaran 12 episod ini akan menampilkan 12 orang pelawak popular tanah air yang menjadi hos untuk setiap episod selama satu jam.

“Melihat kepada kejayaan program komedi seperti Raja Lawak, Spontan, Lawaking, Redah Kasi Pecah dan Maharaja Lawak, kami dapati program yang berteraskan lawak jenaka dan komedi amat popular di kalangan para penonton.

“Kami menjangkakan corak penerimaan ini akan terus bertahan jika kandungan pengisian berkualiti yang dibekalkan menggunakan formula yang tepat,” kata Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani ketika majlis sidang media Lawak Minggu Ini di The Curve, di sini, Isnin.

Pelawak yang terlibat dengan program ini adalah Apek, Yassin, Abon, kumpulan Balas, Datuk Jamali Shadat, Sathiya, kumpulan Sepah, Nabil, Johan, Zizan, kumpulan Jambu dan Angah.

Setiap pelawak akan mempersembahkan tiga hingga empat slot mengikut kreativiti dan masa yang diberikan.

“Kami memberi kebebasan penuh kepada setiap pelawak untuk memilih dan menyusun sendiri kandungan persembahan berteraskan komedi dan lawak jenaka.

“Setiap minggu, pelawak-pelawak itu akan mengundang dua artis jemputan daripada pelbagai latar belakang untuk lebih memeriahkan program itu,” ujar Nizam lagi.

Tegasnya, lawak berbentuk “slapstik” juga semakin kurang diguna pakai oleh pelawak generasi muda dan mereka lebih mementingkan kreativiti dan pengisian bahan-bahan lawak yang lebih cerdik serta mengikuti perkembangan isu semasa untuk menghiburkan penonton.

“Kami sedar bukan mudah untuk membuat orang ketawa. Namun, kami yakin mereka bakal mencetuskan lawak jenaka menerusi pengisian yang lebih kreatif dan cerdik berbanding lawak “slapstik” dengan bantuan para artis jemputan,” tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain