suria

Juliana - Afiq haluan berbeza, matlamat sama

Afiq dan Juliana digandingkan sebagai Mr & Mrs Smith. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Afiq dan Juliana digandingkan sebagai Mr & Mrs Smith. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Afiq dan Juliana digandingkan sebagai Mr & Mrs Smith. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

MEREKA tidak pernah bersua muka atau mengenali antara satu sama lain sebelum ditemukan pada ruangan ini. Sama padan, sama cantik, sama bergaya dan sama-sama bersetuju bila diajukan konsep ala Mr&Mrs. Smith untuk sesi fotografi.

Bermula dari bidang komersial pada usia 11 tahun membuat pemilik nama Juliana Evans tidak gentar berhadapan dengan kamera.

Ternyata peluangnya cerah untuk terus berada di bidang ini kerana dia mempunyai pakej lengkap sebagai seorang artis.

Menginjak ke usia 16 tahun, anak kacukan Inggeris-Melayu ini mencuba nasib dalam bidang pengacaraan kerana diberi peluang bergandingan dengan pengacara terkenal Aidid Marcello untuk mengendalikan program popular Remaja.

Dari situ dia terus bertatih mencuba lain-lain bidang seni. Mencuba nasib sebagai pelakon, Juliana mengakui ia memberi cabaran berbeza kepadanya.

“Lakonan, pengacaraan dan komersial merupakan dunia yang berbeza. Namun semua bidang itu memberi pengajaran kepada saya sebagai anak seni. Saya rasa lakonan merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Ia memberi satu cabaran yang berbeza daripada bidang yang biasa saya buat iaitu pengacaraan dan komersial. Berlakon memberi pengalaman baru yang nyata mematangkan kerjaya saya.

“Namun begitu, jika dibandingkan antara ketiga-tiga ini, saya lebih memilih bidang pengacaraan kerana ia adalah jiwa saya,” jelas Juliana yang mengidamkan rancangan-rancangan berbentuk realiti tv.

Tambahnya, sebagai anak seni dia perlu cuba semua bidang seni dan mempelbagaikan bakat yang terpendam.

“Saya mahu jadi artis yang serba boleh dan berani mencuba, lagi pula usia saya masih muda dan masih jauh lagi perjalanan. Walaupun begitu bidang pengacaraan tetap di hati.

“Namun begitu itu hanya minat saya, mungkin pandangan masyarakat berbeza terhadap saya,” ujar Juliana yang sinonim dengan rancangan Remaja terbitan TV3.

Menurut Juliana lagi, dia mendapat galakan sepenuhnya daripada keluarga sejak dari kecil. Malah penglibatan awalnya adalah hasil usaha ibunya yang pernah bekerja di sebuah produksi iklan.

“Keluarga saya beri galakan sepenuhnya, mereka gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang. Disebabkan itu juga saya cuba semua bidang berkaitan seni. Ini bukan bererti saya tamak tetapi mahukan keluarga saya yakin dengan jalan yang saya pilih dan mereka berbangga dengan pencapaian saya,” jelasnya.

Dia yang kini sedang menuntut di Kolej Sunway dalam bidang Pengajian Media berharap akan terus diberi peluang untuk mengembangkan kerjayanya seiring dengan usianya.

Afiq jadikan Rosyam Nor idola Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, 18, merupakan pendatang baru dalam industri ini. Baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang peragaan dan lakonan dia tidak mahu bakatnya terus terpendam. Melalui sokongan keluarga tercinta dia yang masih lagi ‘hijau’ menganggap cabaran dan dugaan menjadi terkenal perlu dihadapi dengan tenang.

“Saya mula minat dengan bidang seni sejak berjinak-jinak berlakon ketika di bangku sekolah. Mula sekadar suka-suka tetapi ia berlarutan menjadi hobi dan kini ke arah kerjaya. Saya baru bermula dengan drama muzikal Hotel Mania. Namun begitu buat masa ini biar saya fokus kepada peragaan dahulu, setelah itu barulah lakonan,” ujarnya.

Memasang impian melangkah ke luar negara, jejaka yang baru tamat pengajian peringkat sekolah menengah ini turut berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dalam pencarian model Road To Hollywood.

Menyentuh bidang lakonan pula, Afiq yang mengagumi aktor Rosyam Nor bercita-cita untuk menjejaki langkah pelakon tersebut.

“Saya sukakan watak romantik, saya kagum dengan Rosyam, walaupun sudah agak berusia berbanding dengan pelakon lain tetapi dia mampu untuk membawakan watak romantik dengan baik sekali, malah lebih baik dari pelakon muda,” ujarnya.

Bercakap tentang Juliana Evans, Afiq mengakui meminati gadis itu kerana bakatnya di bidang pengacaraan.

“Juliana seorang yang sangat petah berkata-kata ketika mengendalikan rancangan. Saya adalah penonton setia rancangan Remaja ketika dia masih lagi mengendalikan rancangan itu.

“Pada usianya yang masih muda, dia boleh pergi lebih jauh lagi. Secara peribadi saya juga mengagumi dia sebagai artis baru yang semakin bersinar,” terangnya.

Artikel Berikut

AF 8: Anum Tersingkir

Artikel Lain