suria

Fredo Pancing Ikan Lepaskan Gian

BUKAN semua kaki pancing memiliki pengalaman memancing sebagaimana penyanyi era 80an ini, malah beliau pernah bertarung dengan ikan dari spesies Marlin seberat 50 kilogram hanya berbekalkan sebatang pancing di laut lepas.

Pemancing tegar seperti penyanyi terkenal, Fredo Villenguez ‘Flybaits’ atau Mohd Amani Abdullah sanggup buat apa saja untuk melepaskan gian ke lubuk.

Menurut Fredo, 60, dia sanggup memandu seorang diri di tengah malam untuk ke laut semata-mata bagi melepaskan gian memancing walaupun dilarang oleh isterinya, Suzlynna Datuk Mustapha Maarof.

“Aktiviti memancing memberi satu kepuasan yang tidak terhingga. Cuba anda bayangkan ketika berada di atas bot seorang diri di tengah laut yang tenang sambil melihat langit yang terbentang luas ditemani jutaan bintang dilangit, ketenangannya sukar untuk digambarkan.

“Jika anda seorang pemancing tegar seperti saya, baru anda faham perasaan itu,” jelas vokalis yang popular dengan lagu hits Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kenangan Lalu dan Gurisan Terakhir.

Fredo berkata, kepuasan yang paling memuncak bila umpan yang dilabuhkan mengena dan mangsa yang menyambar pula bersaiz mega.

“Memang sukar digambarkan kepuasan bila mangsa yang menyambar umpan berjaya dinaikkan, tapi yang paling penting ialah saat pertarungan,” kata Fredo.

Berkongsi cerita tentang pengalaman memancing di laut dalam dan di hampir kesemua pulau ‘mesra’ ikan di Semenanjung Malaysia adalah topik hangat bagi Fredo.

Kata penyanyi yang boleh bertutur dan menyanyi dalam bahasa Hokkien, Kantonis, Inggeris dan Bahasa Malaysia ini, dia mula minat memancing dan menjejaki lubuk sejak berusia 5 tahun lagi.

“Tak ada siapa yang galakkan saya. Ikan pertama saya tangkap selain dari dalam longkang dan parit ialah ketika saya berusia 9 tahun dan ikan paling besar pernah saya tangkap ialah ikan Marlin seberat 50 kilogram pada tahun 1997,” katanya.

Menurut Fredo, rekod peribadi yang pernah dicatat olehnya dalam aktiviti memancing ialah menaikkan ikan Marlin sebesar kereta kancil.

Semua pengalaman menarik ini pernah dilaluinya dan dia tersenyum puas setiap kali mengimbau kenangan memancing di laut dalam.

“Itu antara pengalaman saya yang paling dahsyat. Cuba anda bayangkan saat saya bertarung menaikkan ikan sampai sakit satu badan dan terpaksa pergi berurut akibat penangan ikan itu,” katanya yang sanggup berhabis sebanyak RM100,000 membeli peralatan memancing.

Baginya, tiada istilah kepuasan memancing ikan kecil atau di kolam berbayar atau di laut lepas, cuma apa yang menjadi buruan kaki pancing ialah hasil yang memuaskan.

“Tanyalah mana-mana kaki pancing, ikan besar ke atau ikan kecil sama ada di kolam berbayar atau laut dalam, kehebatan perasaan memancing sama saja.

“Apa yang penting setiap kali keluar ke lubuk ialah habuannya mesti lumayan, tapi sekali anda sudah merasai pengalaman menaikkan ikan bersaiz besar seperti Marlin raksasa, pengalamannya pasti amat berbeza,” katanya.

Kata penyanyi berketurunan Filipina dan berasal dari Singapura ini, spesies Marlin adalah antara gamefish yang menjadi buruan kaki pancing kerana penangan yang diberi ketika bertarung memberi kepuasan.

Bagaimanapun Fredo agak berbeza dengan kaki pancing lain, dia tidak suka menggunakan umpan tiruan sebaliknya umpan buatan sendiri.

“Jangan ingat ikan bodoh. Ikan juga sama seperti manusia ada perasaan. Kalau kita ingin ikan besar, kita kena bagi umpan yang besar juga,” katanya.

Jelasnya, “Apa saja ilmu yang kita nak, kita mesti menuntut. Kalau hendak dapat ikan besar, kenalah menuntut.”

Walaupun sering mendapat berbagai jenis ikan seperti Jemuduk, Marlin dan Pedang, kegemarannya tetap ikan Merah, Tenggiri dan Jenahak.

Pernah sekali, dia berjaya menangkap seekor ikan Tenggiri seberat 16 kilogram dan orang yang paling gembira adalah bapa mertuanya, seniman Datuk Mustapha Maarof.

Kepuasan memancing tiada taranya dan Fredo teringin sekali memancing Tuna Sirip Biru atau Bluefin Tuna di Laut Atlantik atau Andaman.

“Dapat ikan jenis ni sekali saja cukup untuk seumur hidup. Harganya mahal dan mempunyai pasaran baik di Jepun.

“Selagi saya belum memancing di Laut Andaman atau mendapat Bluefin Tuna, saya tidak akan puas hati. Mungkin saya akan ke sana tidak lama lagi,” katanya.

Artikel Lain