PELAKON Anna Jobling mencuri tumpuan apabila dilihat berpelukan mesra dengan ibunya, Ariz Arop, di acara karpet merah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37 yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Momen spontan itu bertambah manis apabila mereka sempat bergambar sambil memegang trofi kemenangan, sekali gus menarik perhatian tetamu dan peminat.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, ketika ditemui berkata dia hanya mengharapkan doa yang baik buat dirinya dan ibu tersayang.
“Doakan yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk saya dan keluarga,” katanya kepada mStar.

Anna bersyukur hubungannya dengan ibu sudah kembali pulih.
Mengulas mengenai hubungannya bersama ibu, Anna mengakui apa juga yang berlaku sebelum ini tidak mengubah hakikat bahawa Ariz tetap insan paling penting dalam hidupnya.
Dia juga bersyukur hubungan kembali jernih selepas tiga bulan renggang.
Malah ibu juga menjadi penyokong kuat dalam perjalanan kerjaya seninya.
“Apa pun terjadi, dia tetap ibu saya. Syurga saya tetap di bawah tapak kaki ibu. Walaupun ada salah faham sebelum ini, doa ibu sangat penting dalam hidup saya.
ARTIKEL BERKAITAN: Anna Jobling dan ibu bergaduh besar, dedah terima perintah injunksi... “Kalau kena masuk penjara pun saya reda”
ARTIKEL BERKAITAN: Anna Jobling hantar injunksi hanya benar ibu jumpa dalam jarak 100 meter... “Katanya mental diseksa sebab dipukul, saya hanya mahu mengajar”
“Dia hadir menyokong saya malam ini. Kalau tiada dia, saya rasa kosong. Doakan yang terbaik buat kami,” tambahnya.
Sebelum ini kecoh di sosial media apabila Ariz membuat pendedahan berlaku pergolakan dalam keluarga termasuk mendakwa dia tidak menerima layanan baik dari anak sendiri.
Pada malam sama, Anna turut membawa pulang trofi Gandingan Serasi Drama Popular bersama aktor Shukri Yahaya, sekali gus menambah kegembiraan pada malam penuh berprestij itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


