suria

Sebutan Rayuan Kes Darren Untuk Tukar Majistret Ditangguh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan sebutan rayuan kes saman peribadi pengarah urusan syarikat peralatan sukan terkenal yang didakwa cuba memikat pengacara, pelakon serta model, Daphne Eleanor Iking didengar oleh majistret lain.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak telah menetapkan 29 Mac depan bagi mendengar semula sebutan rayuan tersebut.

Peguam Jagjit Singh yang mewakili Darren Choy Khin Ming memohon penangguhan tersebut kerana pihaknya tidak menerima rekod rayuan lengkap.

Menurutnya, beberapa dokumen seperti kenyataan responden dan laporan polis tidak dilampirkan bersama kepada perayu.

Sementara itu, di luar mahkamah Jagjit memberitahu dokumen tersebut telah diminta pada bulan Disember dan diserahkan pada 2 Mac lalu namun beberapa dokumen penting tidak dilampirkan sekali.

"Tanpa dokumen-dokumen mustahak seperti itu bagaimana prosiding boleh berjalan, kami telah meminta sejak Disember namun tiada apa-apa tindakan. Mereka hanya beri nota keterangan sahaja," katanya.

Terdahulu, Darren, 44, diwakili Peguam bela, Jagjit Singh dan Akbardin Abdul Kader dituduh memikat Daphne Eleanor Iking, 31, iaitu isteri Ryan Chong Yiing Yih, 31, dengan niat melakukan persetubuhan yang ditegah.

Namun begitu, Darren melalui peguamnya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos lalu untuk mengetepikan Majistret Mohd Faizi Che Abu dalam perbicaraan kes tersebut.

Rayuan itu dikemukakan bertujuan mengelak prejudis kerana majistret tersebut yang mengambil aduan daripada Ryan.

Mohd. Faizi sebelum ini menolak permohonan Darren agar beliau diketepikan daripada mendengar perbicaraan itu.

Daphne berkahwin dengan Ryan pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Isobel Daniella Iking-Chong yang kini berusia 21 bulan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain