suria

Omar Arif tampil dengan album terbaru 'Omar Arif The Singles'

Omar tampil dengan album keduanya berjudul 'Omar Arif The Singles'. -Foto Ihsan OMAR ARIF
Omar tampil dengan album keduanya berjudul 'Omar Arif The Singles'. -Foto Ihsan OMAR ARIF
Omar tampil dengan album keduanya berjudul 'Omar Arif The Singles'. -Foto Ihsan OMAR ARIF

WAJAH Omar Arif sering terpampang di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pembaca berita suatu ketika dulu. Suaranya yang garau menjadi melodi kepada para penonton RTM.

Maka tidak hairan Omar, 51, pernah mengacarakan beberapa bual bicara, konsert dan dokumentari terbitan RTM dan Astro.

Antaranya, Getaran Khas, Konsert Di-Raja Orkestra RTM (2003-2005), Point of View (Oktober hingga Disember 2003), KL 01 (2001), Moving On 2 (1997-2001), Momentum dan Late Nite Chats.

Malah beliau muncul dalam iklan komersial seperti Petronas, Celcom, Milo dan Kentucky Fried Chicken pada 1990-an.

Suaranya yang lunak itu juga menyaksikan Omar mengeluarkan album pertamanya berjudul 'Dia (Yang Satu)' tahun lalu.

Setahun berlalu. Kini Omar tampil dengan album keduanya berjudul 'Omar Arif The Singles'.

"Moga-moga saya boleh mengeluarkan album penuh pada pertengahan tahun depan. Terdapat dua buah lagu dalam album kedua saya iaitu, lagu 'Satu' dan 'Bila'.

"Lagu-lagu tersebut digubah dan disusun semula agar menjadi lebih funky dan jazzy"," kata Omar ketika dihubungi mStar Online.

Omar yang lebih menggemari lagu rentak jazz memberitahu albumnya belum dilancarkan secara rasmi tetapi telah diputarkan di corong-corong radio kira-kira sebulan lalu.

Menurut Omar, lagu 'Satu' berentakkan genre jazz dan ia dihasilkan oleh komposer tempatan, Rudy.

Katanya, lagu 'Bila' pula ialah sebuah lagu Indonesia hasil gubahan Andrean tetapi disusun semula oleh Leonard Yap yang berasal dari sebuah kumpulan jazz yang tengah meningkat popularitinya di Kuala Lumpur.

"Saya sukakan lagu-lagu yang funky dan jazzy tetapi saya perlu menyesuaikannya dengan cita rasa pendengar. Walaupun bergenre jazz, saya menjadikannya lebih senang untuk didengar," kata Omar.

Omar menambah, walaupun dia telah merakamkan lapan lagu baru, dia tidak mengeluarkannya bersama album terbaru ini kerana sesetengah lagu itu kurang sesuai untuk album itu.

Katanya lagi, dua single itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.

"Saya ingin menjadikannya album terbaru ini memiliki lagu-lagu yang berkualiti tinggi. Jadi, saya tidak ingin tergesa-gesa memuatkan semua lagu dalam album terbaru.

"Saya harap lebih ramai orang dapat menghayati lagu-lagu saya," katanya.

Album sulung Omar berjudul 'Dia (Yang Satu)' yang dilancarkan tahun lalu mengandungi lagu-lagu seperti Aku Cuba, Pancaroba dan Zapin Merdeka.

Dua buah lagu lain ialah lagu lama yang digubah susunan muziknya oleh Mazli iaitu Hujan di Tengahari (nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee) dan Besame Mucho.

Ditanya mengenai perbezaan album terbaru dengan album sulungnya, Omar berkata: "Album sulung saya lebih 'laidback' sementara album terbaru lebih lively dan funkier."

Omar turut berkata, dia akan membuat roadshow di Indonesia pada Disember ini untuk mempromosikan album keduanya itu.

Walaupun sibuk terlibat dalam acara-acara korporat, pengacaraan, serta pengiklanan di Malaysia dan Indonesia, Omar sering ingat akan golongan yang kurang bernasib baik.

"Allah telah memberikan saya bakat untuk mencari rezeki. Sudah sampai masanya saya mencurahkan balik kepada orang ramai. Saya boleh membuat banyak persembahan.

"Tetapi sebahagian hasil jualan album akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan," kata Omar yang pernah membintangi drama 'City of The Rich' sebanyak 200 episod terbitan Antah UTV pada 1999.

Drama tersebut menyaksikan Omar berlakon sebagai anak orang kaya yang bermasalah bersama Datuk Jalaluddin Hassan, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy serta Mustafa Kamal.

Omar turut pernah membintangi teater muzikal 'Jalan Impian - The Musical' (2005) oleh Farah Sulaiman, sinetron Indonesia 'Syurga Di Tapak Kaki Ibu' (2004) sebanyak 13 episod, drama Thailand 'Sweet Surrender' (1991) sebanyak 26 episod dan filem Thailand 'My Friend A Love Story' (1991) yang diarahkan oleh Kittichak Prim.

Ramai mungkin tertanya-tanya bagaimana seorang pembaca berita dari dunia media boleh 'terjun' dalam dunia hiburan. Omar pernah menjelaskan ia adalah berpunca daripada minat.

Tetapi ramai mungkin tidak tahu sebelum beliau menjadi pembaca berita, Omar bekerja di bahagian komunikasi pemasaran untuk sebuah syarikat minyak dan gas.

Kegawatan ekonomi pada 1994 menyebabkan Omar kehilangan kerja ketika itu.

Bagi Omar yang versatil ini, beliau memegang prinsip hidup: "Kita perlu menjadikan kerjaya dan kehidupan kita lebih cantik.

"Anda perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah yang berlaku," katanya dengan penuh berfalsafah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain