suria

Hujan jelajah satu Malaysia untuk ‘Mencari Konklusi’

Hujan bersama Raihan tampil dalam lagu raya duet 'Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda'.
Hujan bersama Raihan tampil dalam lagu raya duet 'Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda'.
Hujan bersama Raihan tampil dalam lagu raya duet 'Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda'.

KOLABORASI antara band indie Hujan dan kumpulan nasyid Raihan semestinya menjadi suatu pembaharuan yang ‘berbaloi’ untuk dijadikan ikutan kepada penggerak muzik tempatan.

Walaupun kedua-duanya berasal daripada genre yang berbeza namun gandingan mereka ini telah menghasilkan suatu revolusi yang jarang dipraktikkan oleh pemuzik baru.

Baru-baru ini, mereka telah berduet menerusi lagu raya, ‘Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda’ yang telah berkumandang di radio tempatan mulai 2 September lalu.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh salah seorang anggota Raihan, Abu Bakar Md Yatim dan susunan muzik oleh vokalis Hujan, Noh dan bandnya mengisahkan tentang keinsafan seorang anak terhadap ayah dan ibunya yang bersusah payah menyediakan persediaan di Hari Raya demi membahagiakan anak-anak mereka.

Setelah dewasa barulah si anak memahami bahawa betapa peritnya ayah dan ibu berkorban demi melihat anak-anak yang tersayang bergembira di hari lebaran.

Bagi band yang turut dianggotai oleh Am atau Azham Ahmad Ambobzeela (drum), Mohammad Hezry atau AG (gitaris) dan Dimas atau Hang Dimas Santoso (keyboard) itu, mereka tidak menganggap kolaborasi itu akan menjejaskan imej ‘indie’ mereka.

Menurut Noh, lagu yang dinyanyikan bukannya bergenre nasyid tetapi lebih kepada lagu raya.

“Daripada dulu lagi, Hujan membuat muzik untuk kami dan bukannya untuk orang lain. Lagu yang dinyanyikan pun bukannya bercakap pasal nasyid .

“Selepas lagu ini siap, kami memang sangat berpuas hati,” katanya mengenai lagu yang telah pun dirakamkan sejak awal puasa lalu.

Pada mulanya, Raihan yang meminta untuk berduet dengan mereka dan selepas itu tanpa berfikir panjang terus mereka bersetuju.

Tambah Noh, Hujan membuka kepada mana-mana artis untuk berduet dengan mereka.

Selepas ini, Hujan dijangka akan berduet dengan kumpulan nasyid Mirwana pula.

“Kami positif untuk membantu artis lain dan jika ada yang hendak mengambil kesempatan tu terpulanglah.

“Tetapi terus-terang kami menerima tawaran untuk berduet dengan Raihan sebab menghormati mereka sebagai pemuzik nasyid dan membesar dengan muzik mereka. Jadi, siapa yang tak nak duet dengan Raihan?,” katanya yang baru terfikir untuk membuat lagu raya indie dengan artis solo seperti Aizat atau Faizal Tahir pada tahun akan datang.

Konsert jelajah Malaysia

Mulai 4 Oktober depan, Hujan akan melakukan konsert jelajah, ‘Mencari Konklusi (MK) Tour’ mengelilingi Malaysia bermula di Kuantan, Melaka (8 November), Kangar (16 Oktober), Sungai Petani (17 Oktober), Pulau Pinang (18 Oktober), Ipoh (24 Oktober), Taiping (23 Oktober), Kuala Terengganu (31 Oktober), manakala yang selebihnya seperti Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak belum ditetapkan tarikhnya.

Dengan menggunakan modal sendiri, Hujan akan ‘turun padang’ bersama kumpulan Awanband yang akan melakukan persembahan ‘opening’.

Hujan akan menyampaikan lagu-lagu terbaru mereka yang dimuatkan dalam album ‘Mencari Konklusi’ dan beberapa buah lagu hits yang dimuatkan dalam album pertama, ‘Hujan’.

“Saya berasa teruja dengan konsert jelajah ini tambahan pula dalam masa yang sama kami juga pertama kali terlibat dengan sebuah lagi konsert di Singapura.

“Jadi, saya rasa agak ‘cuak’ dari segi ketahanan mental dan emosi. Tetapi kami akan cuba lakukan yang terbaik demi peminat-peminat kami, Raingers,” ujar Noh mewakili Hujan.

Selain MK Tour, mereka juga terlibat dengan sebuah lagi konsert di Singapura pada 7 Oktober ini.

Logo terbaru Hujan lebih matang?

Dalam sibuk mempromosikan lagu raya dan persembahan jelajah mereka, Hujan juga tidak lupa mempromosikan kemunculan album terbaru mereka, ‘Mencari Konklusi’ yang telah pun berada di pasaran mulai 7 September lalu.

Setelah berpeluang mendengar lagu-lagu dalam album itu, ternyata konsep baru yang dibawakan oleh Hujan lebih matang dan berlainan dari album terdahulu.

Bukan sahaja lagu yang lebih berentak rancak dan agresif, malah logo Hujan pada muka depan albumnya juga berlainan.

Logo Hujan tidak lagi berwarna hijau dan kuning ditambah dengan payung kecil tetapi kali ini ditukar kepada warna hitam dan putih serta pancaran kilat.

“Setelah berbincang, kami sepakat untuk menukar logo Hujan kerana ia lebih menggambarkan lagu-lagu kami yang lebih ganas dan bukannya lagu cinta.

“Album pertama kami nampak seperti imej ‘sekolah rendah’ tetapi yang kedua ini lebih matang,” jelas Noh mengenai album yang dicetak sebanyak 2,000 unit pada permulaannya secara berperingkat.

Bagi yang ingin mendapatkan album ‘Mencari Konklusi’ bolehlah ke kedai-kedai menjual CD berhampiran.

Manakala mereka yang ingin mendapatkan lagu ‘Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda’, boleh memuat turun ke dalam telefon bimbit dengan melayari laman web www.metamobile.com.my.

Artikel Lain