suria

Leina Hangat akui kehidupan lebih sempurna dengan suami baru

Leina Hangat cuba melakukan yang terbaik dalam hidupnya dan menjadi isteri yang mithali. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Leina Hangat cuba melakukan yang terbaik dalam hidupnya dan menjadi isteri yang mithali. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Leina Hangat cuba melakukan yang terbaik dalam hidupnya dan menjadi isteri yang mithali. -foto mStar oleh SITI AZIRA

SETIAP perkara buruk yang berlaku dalam diri seseorang itu tidak semestinya tidak boleh diubah langsung melainkan dengan kehendak diri sendiri seperti penyanyi Leina Hangat.

Selepas perkahwinan pertamanya dengan lelaki Perancis, Muhammad Jamal Deluloy Abdullah tidak menjadi, kini Leina atau nama sebenarnya Norazlina Abdul Rahman, 37, akur dengan ketentuan Tuhan lantas memilih kehidupan yang lebih sempurna di sisi Allah dengan bersuamikan Mohd Zaipul Bahri Ghazali, 37.

Malah, kehidupannya juga lebih sempurna sebagai seorang isteri. Bak kata Leina, dia ingin menjadi seorang isteri yang mithali.

Luah Leina sambil tersenyum, “Saya senang dengan keadaan sekarang kerana dulu terpesong dari akidah.

“Alhamdulillah, selepas enam bulan berkahwin, jarang-jarang pergaduhan berlaku dan semua masalah dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Suami saya seorang yang pendiam dan dia bukan seorang yang cemburu buta...”

Leina dan Zaipul dinikahkan pada 8 Mac lalu di Masjid Negara dan pada 8 hingga 21 April lalu mereka mengerjakan umrah bersama.

Leina berkata dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan hamba Allah yang terbaik sebelum ke tanah suci itu.

“Saya hanya menjadi diri saya dan mampu merancang tetapi tidak dapat menceritakan apakah maksud di sebaliknya..Alhamdulillah, saya bersyukur dengan perubahan yang berlaku dalam diri. Jika tidak separuh, sikit pun ‘ok’.

“Allah banyak memberikan jalan pemudah untuk saya jadi buat apa saya nak ragu-ragu lagi,” tuturnya yang bersedia untuk menimang cahaya mata namun Tuhan belum kurniakan rezeki itu.

Semasa mengerjakan umrah, Leina berkata dia dan suami sempat mendoakan supaya mereka dikurniakan anak secepat yang mungkin.

“Saya nampak kesungguhan suami untuk mendapatkan anak kerana semasa kami mengerjakan umrah, dia sempat mencari buah berwarna hitam dan berkulit keras yang dipanggil buah Nabi Adam.

“Selepas itu, buah itu direbus dan sebelum dimakan kita perlu berselawat dahulu. Insya-Allah, orang kata mudah untuk dapat anak. Kami hanya berusaha dan setakat ini belum ada rezeki,” cerita Leina.

Dalam menyambut bulan puasa ini, Leina juga merasakan nikmat menjalani ibadat puasa bersama suami tersayang.

Kata Leina, jika masing-masing tidak mempunyai aktiviti di luar pada hujung minggu, mereka akan memasak untuk hidangan berbuka puasa bersama-sama.

“Kalau tak keluar, suami saya suka ke dapur kerana dia sudah lama hidup bujang. Jadi, kadangkala saya akan cuba memasak untuk dia dan dia pula akan memasak untuk saya sekadar bertukar-tukar selera.

“Saya suka maggi goreng istimewa dan nasi goreng yang dia masak,” kata Leina.

Namun, jika hari biasa, Leina biasanya akan sibuk dengan undangan berbuka puasa di luar, pastinya dia akan memasak terlebih dahulu untuk suami.

“Suami saya tak berapa cerewet sangat makan kerana apa yang saya masak mesti dia akan makan. Misalnya, saya akan masak ayam masak kicap dan gulai masak lemak cili padi telur.

“Kadangkala kalau tak sempat masak pun mesti saya akan bungkuskan makanan selepas balik dari kerja.

“Esok pagi dalam pukul 4.15 hingga 5 pagi kami akan bersahur sekali,” ujarnya yang tidak dapat pulang beraya ke kampung di Johor Bahru kerana menemani suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Tiba-tiba Leina tidak dapat menahan air matanya daripada menitis saat terkenangkan tidak dapat pulang beraya bersama kedua ibu bapa tersayang.

“Sejak 17 tahun dulu saya dah keluar dari Johor dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Apabila sudah dewasa baru saya terfikir kenapa mak dan ayah tak benarkan saya tinggalkan rumah.

“Sebagai seorang anak, saya masih mempunyai mak dan ayah. Jadi, apa pun yang berlaku saya mesti balik menjenguk mereka di kampung.

“Saya dah puas kerja dan mengembara ke merata tempat. Saya sedih apabila melihat kawan-kawan yang tidak mempunyai mak dan ayah,” katanya yang sempat berpesan supaya kita sentiasa menghargai kedua ibu dan bapa masing-masing.

Menurut pembantu peribadi selaku kawan baik Leina sejak 10 tahun lalu, Anuar Kadir, wanita itu tidak pernah melupakan kedua ibu bapanya saat menyambut Hari Raya dan sekarang dia telah siap membeli pakaian untuk mereka termasuk anak-anak buah dan adik-beradiknya yang lain walaupun ada yang sudah bekerja.

Katanya, itulah kelebihan Liena..

Artikel Sebelum

Artikel Lain