suria

Konvoi Kembara TV3 Cipta Kenangan di Bumi Kenyalang

PETALING JAYA: Sekembalinya krew Kembara TV3 dari persinggahan ke Bumi Kenyalang membawa seribu satu kenangan manis bersama penduduk tempatan.

Beriringan dengan rakan penaja, Hotlink, persinggahan konvoi Kembara TV3 menggamatkan Kompleks Sukan Serian (23 Julai) dan Padang KPSU Lama, Sri Aman (24 Julai) sebelum berlabuh di tapak Karnival Jom Heboh, Perkarangan Stadium Petrajaya, Sarawak. Kunjungan sempena ulang tahun TV3 yang ke-25 ini diwakili oleh pihak pengurusan TV3, MyTV3, kakitangan TV3, artis-artis dan personaliti telah mendapat kerjasama dari penduduk setempat dengan menyusun pelbagai aktiviti menarik.

Barisan personaliti dan artis yang menyertai Kembara TV3 kali ini ialah Fedtri Yahya, Wahid Senario, Danny X-Factor, Almy Nadia, Intan Nur Ladyana, Nabila Huda, Fizo Omar, Fouziah Gous, Ashraf Muslim dan Mohd Fazren Rafi.

Menurut Santokh Singh, Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, “Sambutan yang menggalakkan dari penduduk setiap kali TV3 mengadakan kunjungan membuatkan pihak kami teruja untuk terus menikmati keindahan dan menerokai kebudayaan negeri Sarawak.

"Selain daripada dapat berkumpul bersama mereka yang hadir dari berbagai kelompok dan meluangkan masa beriadah dengan menjalani aktiviti-aktiviti sihat yang menyeronokkan, pengunjung juga boleh berkongsi pendapat dan pihak TV3 sentiasa mengalu-alukan pandangan dari orang ramai ke arah memperkukuhkan lagi stesen televisyen ini.

"Kesempatan ini tidak disia-siakan di mana kami turut menyalurkan bantuan kewangan melalui Tabung TV3 kepada badan kebajikan yang terpilih.”

“Istimewa lagi, konvoi Kembara TV3 dapat meluangkan masa menghadiri majlis pelancaran Karnival Ikan Bulu 2009 anjuran Bersama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Negeri Sarawak serta semua Agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Bahagian Sri Aman dan Negeri Sarawak," katanya.

Bagi Nur Syahirah Aiyob, pengacara WHI dan MyTV3, “Tahun lalu, TV3 mengadakan lawatan sempena ulang tahun TV3 sepanjang bulan Jun sahaja. Tetapi untuk sambutan Jubli Perak, Kembara TV3 bersama Hotlink menjelajah lebih banyak lokasi sebelum menuju ke Karnival Jom Heboh.

"Peluang berkunjung ke Sarawak merupakan kenangan manis selain dari menyaksikan tarian kaum Bidayuh iaitu Adat Miring. Saya juga berkesempatan memakai pakaian tradisional di sana ketika merakam segmen moderator. Malah, ini juga merupakan pengalaman baru yang dipelajari dengan menyertai permainan tradisional Sarawak seperti Batak Lampung," ujarnya.

Untuk pencinta budaya seperti Fedri Yahya, pengalaman yang dilalui di Sarawak dirasakan amat berharga.

“Jika di Semenanjung saya sering menyaksikan tarian suku kaum di Sarawak namun ketika berkunjung ke sana saya dapat melihat tarian asli yang ditarikan oleh mereka sendiri.

"Maklum balas yang diterima amat memberangsangkan apabila ramai pengunjung yang berkongsi pendapat dan memberikan buah fikiran untuk menaikkan mutu penebitan Malaysia Hari Ini," katanya.

Pelakon Ashraf Muslim yang popular menerusi drama Manjalara terbitan TV3 berkata, “Saya tidak pernah menolak aktiviti yang dianjurkan oleh TV3 jika tidak terikat dengan sebarang lakonan dan teater.

"Apabila diberitahu mengenai Kembara TV3 dan melihatkan jadual yang tidak terlalu padat, saya begitu teruja untuk turut serta.

"Di samping dapat menghiburkan penduduk tempatan dengan menjalani pelbagai aktiviti, dapat juga melepaskan tekanan daripada kesesakan di kota. Saya menyokong penuh usaha TV3 dan Hotlink merencanakan program Kembara TV3 yang semestinya memberikan manfaat kepada semua pihak yang terbabit," jelasnya.

Sepanjang berada di lokasi-lokasi tersebut, acara penuh gemilang ini dihadiri oleh dif-dif kehormat iaitu YB Datuk Richard Riot, Ahli Parlimen Serian, Pn Joyce Boanerges Entika, Penolong Pegawai Daerah Serian iaitu wakil kepada Ybhg Encik Sinde Muling Pegawai Daerah Serian dan Ybhg Abang Shamshudin Bin Abang Seruji, Residen Bahagian Sri Aman.

Penjelajahan Kembara TV3 bermula pada bulan Februari lalu, mengadakan kunjungan pembukaan ke Negeri Sembilan disusuli dengan Melaka, Pahang, Perak dan Johor.

Bertujuan mengeratkan silaturrahim di samping membawa TV3 dekat dengan penonton, Kembara TV3 meraikan ulang tahun bersama-sama penduduk-penduduk setempat menjalankan aktiviti-aktiviti istimewa dan menarik dengan memberi peluang kepada semua untuk beriadah sambil beramah-mesra.

Selepas Sarawak, TV3 akan meneruskan konvoi Kembara TV3 di Pantai Timur yang dijadualkan bakal berlangsung selepas sambutan Aidilfitri.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pameran kraftangan Daerah Sri Aman IKS iaitu Jambu Batu (Guava base product) dan rempah ratus, permainanan seperti Tarik Upih, Kaki Tiga, Ring Ring, Semakin Jauh Semakin Sayang, Tarik Tali, Sumpitan dan Batak Lampung.

Turut diadakan ialah pertandingan mewarna dan perlawanan persahabatan Bola Sepak ‘Jaguh Kampung’ dan bola jaring bersama artis-artis, personaliti dan krew TV3 yang menyertai konvoi Kembara TV3 ini.

Pengunjung juga akan dihiburkan oleh persembahan dari kumpulan Sofaz dan berpeluang memenanti cabutan bertuah.

TV3 tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosialnya dengan menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui Tabung TV3. Sumbangan sebanyak RM3000 dihulurkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Serian dan Rumah Kanak-Kanak Dato’ Aji Bah Abol, Sri Aman.

Artikel Lain