suria

Raja Azmi anggap filem ‘... Dalam Botol’ 'pure' dan 'mentah'

Raja Azmi.
Raja Azmi.
Raja Azmi.

SETELAH dinilai kriteria-kriteria yang diperlukan untuk melakonkan dua watak utama iaitu Ghaus dan Ruby bagi filem ‘... Dalam Botol’, kini hanya enam pelakon bagi setiap watak yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Menurut produser Raja Azmi Raja Sulaiman, tiga pelakon yang dicalonkan untuk watak Ghaus adalah Norman Hakim, Fauzi Nawawi dan Wan Raja.

Sementara tiga pelakon yang akan bersaing untuk merebut watak Ruby adalah Keifli AF3, Ady Putra dan Arja Lee.

“Sekarang, kita membuka peluang kepada penonton untuk membuat pilihan tentang siapakah pelakon yang layak untuk memegang dua watak penting ini.

“Mereka hanya perlu menghantar SMS bermula 18 Julai lalu hingga 8 Ogos ini,” katanya.

Undian khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh dibuat dengan menghantar BDA NAMA PANGKAL PELAKON dan hantarkan ke 33880.

Contoh: BDA NORMAN ke 33880.

“Setakat Isnin lalu, pelakon yang mendapat undian tertinggi adalah Wan Raja untuk watak Ghaus manakala Keifli dan Ady saling bersaing untuk watak Ruby,” katanya yang turut melancarkan klip video enam pelakon yang dimuatkan dalam sebuah portal.

Selepas keputusan diperolehi nanti, isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek ini akan melakukan pengambaran filem ini mengikut kesesuaian jadual pelakon.

“Saya rasa mungkin kita akan memulakan pengambaran selepas Raya nanti dan menayangkan filem ini pada tahun hadapan.

“Jika diikutkan, proses pembikinan filem termasuk pasca produksi, kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan promosi sekurang-kurangnya akan mengambil masa enam bulan sahaja.

“Tetapi jika kita inginkan lebih kualiti dan penelitian, kita akan mengambil masa dalam lapan bulan. Itu belum termasuk dengan ‘queue’ wajib tayang lagi,” ulasnya yang tidak menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) untuk menghasilkan filem ini.

Berbanding tiga buah filemnya lain seperti ‘Black Widow’, ‘Cinta 100 Ela’ dan ‘Haru Biru’, Raja menganggap filem ‘... Dalam Botol’ ini sebagai suatu karya yang ‘pure’ dan ‘mentah’.

“Filem ini merupakan filem drama hitam yang ‘berat’ yang ‘ratah’ kerana ia berdasarkan kisah benar.

“Kita ambil cerita yang asli dan tiada yang hipokrit atau sembunyi-sembunyi,” tuturnya.

Secara ringkasnya, skrip filem yang dijangka berdurasi 90 minit itu masih mengekalkan skrip asalnya yang ditulis sejak 2007 itu.

Cuma tajuknya yang ditukar daripada ‘Anu Dalam Botol’ kepada ‘... Dalam Botol’ setelah dinasihatkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Filem ini mengisahkan percintaan pasangan lelaki gay, Ruby dan Ghaus berakhir selepas tujuh tahun bersama apabila Ghaus mula didesak keluarga untuk berkahwin.

Membuktikan cintanya, Ruby sanggup berkorban dengan melakukan pembedahan jantina hanya kerana mengesyaki lelaki itu semakin menggemari wanita.

Malangnya, Ghaus tidak dapat menerima Ruby dan menyingkirkan lelaki itu daripada hidupnya.

Tambah tertekan apabila dia jatuh cinta kepada seorang gadis, Dina. Namun, segalanya musnah apabila Dina mengetahui Ruby tidak mempunyai anggota kelelakiannya.

Penyesalan yang tidak berkesudahan menghantuinya dan segala kekayaan tidak lagi bermakna. Ruby sedar dia sedang menerima hukuman daripada Yang Maha Esa dan hanya menantikan hari kematiannya.

Di akhir filem itu, Raja akan menampilkan pemilik cerita kisah benar ini tetapi dengan wajah yang dikaburkan.

“Orang yang berkongsi cerita ini mahu menjadikan tauladan supaya tidak menjadi seperti dia.

“Sekarang dia hanya mengharapkan Tuhan mengampunkan dosanya. Insya-Allah, hasil dari kutipan ini akan disedekahkan bagi pihaknya,” beritahu Raja yang berkali-kali menekankan niatnya untuk ‘berdakwah’ menerusi filem itu.

Artikel Lain