suria

Ajai bersangkal dengan Jay Jay, pertahan protege dalam 'Mentor'

Ajai dan protegenya, Chaq.
Ajai dan protegenya, Chaq.
Ajai dan protegenya, Chaq.

BILA Ajai sebagai Mentor cuba bersangkal dengan juri jemputan, penyanyi dan komposer terkenal Jay Jay dalam program Mentor peringkat separuh akhir kedua yang disiarkan secara langsung di MBSA, Shah Alam semalam, kesan yang ditinggalkan seperti kesan pahit di dalam mulut.

Sebagai penonton, baik di dewan atau di rumah, kita hanya dapat melihat sambil menggeleng kepala.

Mungkin tujuan Ajai untuk 'mempertahankan' tindakannya memberi range rendah kepada Chaq tetapi ianya agak tidak sopan.

Jay Jay cuba memberi teguran secara berhemah apabila berkata yang protege Ajai, Chaq (abang Stacy) diberi range yang terlalu rendah ketika menyampaikan lagu medley dari idola pujaan, Michael Jackson. Jay Jay berkata sepatutnya key itu dinaikkan sedikit.

Jay Jay juga dengan rendah hati meminta maaf sebelum membuat teguran tersebut. Malangnya Ajai tidak dapat menerima teguran dan dengan nada yang agak defensif terus berkata kepada Jay Jay lebih kurang berbunyi..."Takkan saya nak pakai baju abang..."

Sikap tidak profesional yang ditunjukkan oleh Ajai amat dikesali. Sepatutnya dia menjaga air muka Jay Jay. Secara tidak langsung kespontanan Ajai menjawab itu membuat ramai tertanya-tanya kenapa Ajai tidak boleh hormat dengan seorang senior seperti Jay Jay.

Jika selama ini, komposer berbadan kecil ini begitu lantang memberi teguran dalam program realiti seperti MyStarz dan sebagainya tetapi bila ketika dia dikritik, dia pula yang melatah dan tidak mampu menahan perasaan.

Mujurlah bila juri jemputan kedua Ning Baizura memberi nasihat, Ajai tidak terus melenting.

Mentor episod semalam juga turut menyaksikan ketiga-tiga protege - Black (mentornya Mas Idayu), Chaq (Ajai) dan Fira (Lah Ahmad) berjaya ke peringkat akhir Mentor. Tidak seperti yang di war-warkan selama ini, hanya dua sahaja yang akan mara ke pusingan akhir.

Kesungguhan ketiga-tiga protege membawa lagu-lagu yang dipilih oleh mentor mereka menunjukkan yang mereka berbakat dan bakat mereka ternyata dapat digilap dengan baik dalam sekelip mata.

Setiap protege mempunyai keistimewaan dan pakej tersendiri. Suara besar dan merdu milik Fira amat sesuai untuk semua lagu pilihan Lah baik lagu lama mahupun lagu R&B, pop atau balada.

Pergerakan Fira yang agak lincah juga membantunya mengawal pentas dengan baik. Kehadiran Fira di pentas Mentor mengingatkan kita kepada penyanyi-penyanyi wanita yang mempunyai suara merdu tetapi tidak berserta wajah menarik.

Chaq boleh menari namun mutu suaranya hanya sekadar sederhana sahaja. Lagu-lagu rancak yang diberi kepada Chaq memberi dia ruang untuk lebih menonjol. Chaq juga bernasib baik baik kerana penyokong-penyokongnya di luar senantiasa memberi peluang kepadanya untuk terus berusaha.

Black antara protege yang menyerlah kerana kebijaksanaan Mas Idayu mewarnai persembahan Black dengan lagu yang pelbagai. Lagu duet yang dibawa mereka, Madah Berhelah (yang dipopularkan oleh Ziana Zain) cukup menarik sekali. Berilah apa lagu sekalipun kepada Black, lantunannya akan membuat kita terpaku.

Ternyata antara tiga protege Mentor, Blacklah yang paling menonjol.

Tidak hairan apabila Black mengaut markah tertinggi minggu lalu sekali gus membawa pulang hadiah mingguan, jam tangan Tissot bernilai RM3 ribu sebagai imbuhan.

Black dengan selesa mendapat markah (76%) meninggalkan pesaingnya, Fira (60%) dan Chaq dengan markah (56%).

Mentor yang berjaya mendapat tempat pertama akan membawa pulang RM100 ribu dan sebuah kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva sementara naib johan pula ialah RM30 ribu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain