suria

Faizal: Cerita bercerai merepek, sebesar kuman pun tiada masalah

Faizal Tahir nafi rumah tangganya 'bergoyang'. -foto The Star oleh SAM THAM
Faizal Tahir nafi rumah tangganya 'bergoyang'. -foto The Star oleh SAM THAM
Faizal Tahir nafi rumah tangganya 'bergoyang'. -foto The Star oleh SAM THAM

“SUDAH tentu tak betul...,” jawab penyanyi, komposer dan pengacara Faizal Tahir sejurus ditanya tentang masalah rumah tangganya yang sedang mengundang penceraian.

Pergolakan rumah tangga Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir dan isteri, Siti Raihanim Noran kembali menggegarkan industri hiburan tempatan selepas dakwaan ini pernah dikeluarkan tiga tahun lalu.

Isu rumah tangganya ‘berkocak’ dan isu penceraian pernah digembar-gemburkan semasa Faizal berada dalam program realiti ‘One In A Million’ musim pertama.

“Secara jujur, saya tidak rasa tergugat atau kecewa dengan cerita ini yang membuatkan orang rasa pelik sebab tiada apa yang nak disedihkan.

“Bila saya dapat tahu cerita ini pada Ahad lalu daripada mak saya, terus saya tergelak sebab saya tak tahu dari mana cerita, sumber dan asal-usul cerita itu.

“Isteri saya pun tergelak apabila orang lain menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) sedangkan saya seorang suami dan bapa yang prihatin dengan waktu yang harus luang untuk keluarga,” jawab Faizal selepas majlis sidang media ketiga Anugerah Planet Muzik (APM) 2009, semalam, di Hotel One World.

Faizal menganggap mungkin orang menyangka yang bukan-bukan apabila melihat dia jarang membawa anak-anak dan isteri bersiar-siar di luar.

“Saya tak nafikan mungkin ada waktu-waktu ‘tegang’ melibatkan jadual karier saya sehingga hampir dua hingga tiga minggu saya tidak boleh membawa keluarga berjalan-jalan.

“Tetapi saya bersyukur kerana ada isteri yang mengingatkan saya tentang kepentingan keluarga. Bohonglah tiada pertelingkahan dan salah faham dalam rumah tangga,” ujar bapa kepada Ahmad Mikaeel Zidane, 4, Siti Raudhah Nur Iman, 2, dan Ahmad Rifa’ie Zidane, 1.

Faizal berkata antara yang paling teruk yang Faizal dengar apabila orang mengata dia dan isteri telah mencari peguam untuk menyelesaikan masalah penceraian mereka.

“Saya rasa dakwaan itu memang ekstrim. Mungkin sebab saya terlalu membiarkan orang membuat cerita dan pijak kepala. Saya merupakan seorang yang sangat fokus kepada muzik.

“Saya ‘ok’ selagi cerita ini tak jejaskan kerjaya,” tegas Faizal yang dicalonkan dalam kategori ‘Artis Malaysia Paling Popular’ dan ‘Artis Serantau Paling Popular’ dalam APM2009.

Tambahnya, hanya rakan-rakan terdekat yang bukan terdiri dalam industri dan orang sekelilingnya sahaja yang mengetahui tentang bagaimana hubungannya dengan isteri dan anak-anak.

“Kawan-kawan tahu rumah tangga saya macam mana..apabila cerita ini keluar, ada kawan baik saya yang minta tak payah layan sangat sebab buang masa sahaja.

“Ada juga antara mereka yang minta saya saman orang yang tak bertanggungjawab itu kerana saya merupakan ‘public figure’ tetapi saya tetap tidak ambil serius tentang hal itu sebab cerita bercerai tu merepek.

“Kebenarannya adalah saya ni jenis yang sangat terbuka dan tidak sembunyikan apa-apa,” luah penyanyi yang sedang popular dengan lagu Bencinta ini.

Faizal tidak menafikan yang dia tidak akan teragak-agak untuk mengaku jika cerita penceraian dan rumah tangganya itu adalah benar.

“Katakan satu hari saya ada masalah rumah tangga, saya akan ‘open’ tetapi cukuplah mengaku hal itu memang benar tetapi tidak akan ceritakan semuanya.

“Tetapi sekarang bagaimana saya nak mengaku sebab besar kuman pun saya tiada masalah rumah tangga,” akuinya yang sudah berjanji dengan anak dan isterinya untuk membawa mereka membeli-belah selepas sidang media itu. Kini, Faizal akui bahagia dengan Raihanim dan anak-anak setelah mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain