suria

Poligami 'alaf baru' dalam filem '4 Madu'

Tenaga produksi dan pelakon pada majlis doa selamat filem 4 Madu dan bacaan skrip oleh artis-artis filem tersebut di pejabat LineClear Motion Pictures, Shah Alam, Jumaat lalu.
Barisan produksi dan pelakon filem 4Madu. - foto LineClear Motion Pictures Sdn. Bhd.
Barisan produksi dan pelakon filem 4Madu. - foto LineClear Motion Pictures Sdn. Bhd.

SEBUT sahaja nama filem 4 Madu, pastinya kita terkenangkan filem Tan Sri P. Ramlee yang berjudul 3 Madu. Perkara tersebut diakui sendiri oleh pengarah filem terbaru tersebut, Profesor Madya A. Razak Mohaideen. "Nama 4 Madu memang sinonim dengan filem P.Ramlee yang bertajuk 3 Madu, tetapi kali ini, kita ingin paparkan kelainan. Pelakon utamanya, Saiful Apek akan melakonkan dua watak, iaitu Azlan dan Azril.

"Istimewanya, dua adik-beradik ini tidak pernah berjumpa dan skrip ceritanya umpama perjalanan rancangan Amazing Race.

"Bagaimanapun, mereka perlu menunaikan syarat-syarat tertentu untuk mendapatkan RM50 juta harta peninggalan bapa mereka. Azlan dan Azrul mengejar masa untuk memenuhi syarat-syarat ayah mereka," kata Razak, yang juga pencetus idea filem 4 Madu itu.

Razak berkata demikian pada majlis doa selamat dan bacaan skrip oleh artis-artis yang terlibat dalam pembikinan filem 4 Madu di Pejabat LineClear Motion Pictures, Shah Alam, Jumaat lalu.

Penggambaran filem 4 Madu bermula pada 7 Jun lalu dan merupakan filem arahan beliau yang ke-30. Ia dijangka ditayangkan pada suku pertama tahun 2010.

Skrip filem itu ditulis oleh Shukor Mohaideen dan penerbitnya, Latiff Mohaideen. Lokasi penggambaran adalah di sekitar Bagan Lalang, Shah Alam dan Kuala Lumpur. Kos keseluruhan produksi adalah RM1.5 juta termasuk kos promosi RM500,000.

Filem tersebut merupakan hasil usahasama LineClear Motion Pictures, Grand Billiance (GB)(sekarang dikenali sebagai Primeworks Studios Sdn. Bhd.) dan Berjaya Film (BF) Production Sdn. Bhd.

Pengurus Besar GB, Ahmad Puad Onah dan Produser dan Pengedar BF, Pansha menyifatkan usahasama tersebut adalah strategi terbaik bagi semua pihak untuk menampan risiko selain dapat menghasilkan filem bermutu tinggi.

Berbalik kepada filem 4 Madu, menurut A. Razak, filem tersebut akan menonjolkan kebolehan Saiful Apek bertutur dengan dialek negeri utara (Azlan) sementara bahasa biasa (Azrul).

Katanya, teknik kamera canggih juga akan digunapakai ketika merakamkan mereka (Azlan dan Azrul) berdialog.

Mengimbau pembikinan filem bergenre komedi tersebut, A. Razak memberitahu, pihaknya telah mengadakan sesi brainstorming (sumbang saran) dengan tenaga produksi syarikat lain.

"Dan menerusi hasil perundingan yang diadakan, kami bersepakat untuk mengadunkan pelakon senior dan junior seperti Saiful Apek, Ayu Raudah, Bienda, Almy Nadia, Rozita Che Wan dengan Latiff Ibrahim dan Rosnah Mat Aris.

"Watak-watak baru yang ditampilkan termasuk Alliesha Amir yang membintangi Anak Tanjung dan Anak Mami," ujarnya sambil menambah penggambaran dijangka habis pada hujung bulan Julai ini.

Artis-artis terlibat dalam 4 Madu terdiri daripada Saiful Apek (Azlan / Azrul), Rozita Che Wan (Ghasidah), Fasha Sandha (Ros), Rosnah Mat Aris (Suriati), Allana Amir (Juju), Marsha Londoh (Zarra), Datuk Rahim Razali (Datuk Rahim), Tengku Iedildzuuhrie (Budi).

Watak-watak pembantu pula dipikul oleh Latiff Ibrahim (Pak PJ), Alliesha Amir (Isteri Aziz), Farid Wari (ah long), Noor Hosni Kasim (Nooraini), Yusmal Ghazali (Mike), Zainal Alam (Kaunselor) dan Kat Ghani (Wani).

Ditanya mengapa Fasha yang dikaitkan dengan "kontroversi" ditampilkan dalam filem arahan terbarunya, A. Razak berkata:

"Dalam ramai pelakon, Fasha memang berkebolehan dan pihak kami memang memberikan watak berasaskan keupayaan mereka. Fasha akan muncul sebagai gadis buta yang merupakan kekasih kepada Azrul," katanya.

Tambahnya, penampilan Fasha tersebut juga dilihat mampu memulihkan kredibilitinya sebagai pelakon.

Apakah mesej yang ingin disampaikan dalam filem 4 Madu ini?

A. Razak yang juga pengarah filem Skrip 7707 menjawab, beliau akur poligami yang sering meniti bibir masyarakat adalah isu yang sensitif.

Bagaimanapun katanya, pihaknya cuba memaparkannya dari perspektif Islam, unsur-unsur pengajaran sekiranya ada dan perkara yang dituntut oleh Islam.

"Kita ingin memaparkan poligami bukan dilaksanakan kerana nafsu semata-mata tetapi satu komedi yang evergreen (malar hijau). Banyak pengajaran dapat dipelajari menerusi filem tersebut.

"Ia adalah filem yang sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan untuk seisi keluarga," jelasnya.

SINOPSIS 4 MADU

Kisah bermula apabila Azlan, seorang pekerja biasa di chalet Bagan Lalang, menerima sepucuk surat memintanya hadir ke pejabat guaman di Kuala Lumpur.

Walaupun musykil, Azlan nekad pergi ke Kuala Lumpur bersama temannya Firdaus menaiki motor kapcai buruk kepunyaannya.

Setibanya di sana, Azlan diperkenalkan dengan adik tirinya, Azrul, buat pertama kalinya.

Azrul, seorang ahli perniagaan berpengajian tinggi, memegang status jauh berbeza dibandingkan dengan Azlan.

Tidak lama kemudian, Zahrin Ishak, peguam firma tersebut, mula membacakan wasiat yang telah ditinggalkan oleh ayah mereka.

Wang sebanyak RM50 juta adalah hak milik mereka berdua sekiranya mereka berjaya mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Pertama sekali, mereka wajib berkongsi harta tersebut secara sama rata. Setelah kedua-duanya bersetuju, peguam tersebut pun menghuraikan syarat-syarat ayah mereka.

Syarat pertama, mereka harus mencari seorang isteri dalam tempoh tiga bulan dan mengahwininya.

Syarat kedua, isteri itu mestilah anak yatim piatu. Setelah semua pihak bersetuju, mereka pun menandatangani dokumen terlibat lantas diberi wang sebanyak RM10,000.

Mereka berdua pun mula mencari bakal isteri masing-masing. Setelah berjumpa dengan pasangan dan selesai akad nikah masing-masing, mereka kembali ke pejabat peguam tersebut.

Azlan dan Azrul yang mula terbayang-bayangkan hidup sebagai orang kaya tiba-tiba dikejutkan lagi dengan syarat seterusnya.

Kali ini, mereka dikehendaki memperisteri wanita yang berstatus janda dan beranak tiga orang dengan kebenaran daripada isteri pertama.

Untuk tugasan tersebut, mereka diberi wang berjumlah RM7,000 serta tempoh masa kurang dari dua bulan.

Selesai selesai beristeri dua, mereka dihadapkan lagi dengan cabaran ketiga. Kali ini, lain jenis wanitanya, kurang lagi wangnya serta masa yang singkat.

Tut-tut, mereka berdua selamat diijabkabulkan. Anggapan mereka, itulah pengakhirannya.

Tiba pada hari mereka ke pejabat peguam buat kali keempatnya, mereka diberi cabaran keempat.

Apakah cabaran keempat mereka? Sanggup lagikah mereka meneruskan perjuangan bagi mendapatkan wang berjuta-juta itu?

Atau mereka akan keluar daripada perjanjian tersebut lantas kembali ke dunia masing-masing? Memperisteri wanita bukan atas dasar cinta adalah suatu pengorbanan yang berat.

Sanggupkah mereka menjayakan niat tersebut demi kekayaan?

Artikel Lain