suria

Mawi nafi karier semakin merundum!

Mawi dan imej rambut barunya - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Mawi dan imej rambut barunya - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Mawi dan imej rambut barunya - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

IMEJ botak lebih sinonim dengan Mawi, jadi nampak janggal apabila kepalanya sudah tumbuh banyak rambut.

Ditegur tentang imej barunya itu, suami kepada Nora’Ashikin Rahmat atau Ekin ini menafikan yang rambut barunya dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk isterinya.

"Tiada sesiapa yang meminta saya membuat imej baru ini dan saya anggap ia sebagai stail rambut baru saya.

"Tetapi apabila rambut makin panjang ni, rasa semacam pula dan mahu sahaja saya potong botak," beritahu Mawi.

Masih ada ‘job’

Ditanya tentang perkembangan kariernya, kini Mawi sedang menanti pelancaran Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) pada hujung bulan ini selepas dia sudah tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman dan pengurusan artis, Maestro Talent & Management.

"Selepas Maestro ditutup pada 1 April lalu, kini karier saya diuruskan oleh AESB," kata Mawi.

Pelantun lagu Allah Habeebi ini bagaimanapun menafikan yang kariernya semakin ‘merundum’ selepas penutupan Maestro.

"Aktiviti seni saya bukan berkurang tetapi ada beberapa program yang tergendala disebabkan Maestro berhenti secara mengejut.

"Antara program tersebut adalah pelancaran album saya yang sepatutnya diadakan pada 1 April lalu, aktiviti promo album dan pengambaran sebuah klip video terbaru yang dijadualkan pada 3 April lalu," beritahu Mawi.

Akur tidak dipanggil dalam Minggu Setiausaha

Dia juga mengulas tentang sebab belum ada syarikat yang ingin mengambilnya menjayakan Minggu Setiausaha pada tahun ini.

"Banyak syarikat yang kurang menganjurkan majlis Minggu Setiausaha pada tahun ini kerana masalah ekonomi yang dialami sekarang," ujarnya yang telah menjayakan beberapa persembahan sebelum ini.

Antaranya adalah Pesta Air di Tanjung Talam, Desaru, dan teater Muzikal Islam Sirah Junjungan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mawi turut diundang menjadi penyampai trofi bersama Ekin dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada Ahad lalu di Arena of Stars, Genting Highlands.

Agak terasa dengan kemerosotan ekonomi

Dalam kemeriahan menjayakan beberapa aktiviti seni, Mawi akui agak terasa dengan kemerosotan ekonomi sekarang.

"Walaupun kewangan saya masih stabil, tetapi saya perlu juga merancang perbelanjaan apabila keluar membeli-belah.

"Misalnya, saya dan Ekin akan menulis dahulu apa yang patut dibeli.

"Saya bajet dalam RM300 sebulan untuk membeli barang dapur kerana kami hanya tinggal berdua," beritahu Mawi yang gemarkan lauk Ikan Masak Kicap masakan Ekin.

Selain memasak, Mawi berkata semua kerja rumah dilakukan oleh Ekin dan sekali-sekala dia akan turut membantu isterinya itu.

Ajak orang ramai ke Konsert Malam Seribu Karya

Untuk masa akan datang, Mawi akan terikat dengan Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani anjuran Karya Hadani Sdn. Bhd. di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 April ini, pukul 9 malam.

Menyentuh tentang konsert tersebut, Mawi yang akan berkongsi pentas dengan penaung Karya Hadani, Ustaz Harun Mat Saad, Razak Ahmad, Rahmad Mega, Yantzen, Sham Barongan, dan Ezam Akar.

Turut serta adalah empat lagi artis jemputan iaitu Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Nazrey Johani dan Amy Search.

Mawi berkata kebetulan yang ingin dinyanyikan olehnya iaitu Kian dan Allah Habeebi merupakan lagu pilihan Ustaz Harun semasa konsert itu nanti.

"Saya rasa lagu yang dipilih itu bersesuaian dengan konsep ketuhanan dan kerohanian tetapi lagu saya lebih kepada genre pop dan bukannya rock.

"Apabila melihat harga tiket iaitu RM60 hingga RM200, saya ingin sekali mengajak supaya orang ramai datang dan jangan terlalu fikirkan tentang mahal sebaliknya cuba untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.

"Lagipun ada kalangan artis yang berpengalaman dalam konsert ini," tuturnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain