suria

Tomok: "Saya pastikan konsert setiap minggu jadi milik saya"

Tomok dan kakaknya, Isma sama-sama menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam program realiti yang disertai mereka iaitu AF 7 dan OIAM 3. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Tomok dan kakaknya, Isma sama-sama menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam program realiti yang disertai mereka iaitu AF 7 dan OIAM 3. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Tomok dan kakaknya, Isma sama-sama menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam program realiti yang disertai mereka iaitu AF 7 dan OIAM 3. -foto mStar oleh SITI AZIRA

SEBUT sahaja nama Tomok, ramai yang mengaitkan dirinya dengan program realiti nyanyian One In A Million (OIAM) musim ketiga yang sedang disiarkan di 8TV pada setiap Jumaat, pukul 9.30 malam.

Persembahan yang konsisten oleh Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail pada setiap minggu sehingga minggu ke-8 lalu membuatkan ramai yang meramal vokalis Newboyz ini dapat menjejakkan kaki ke peringkat akhir program ini.

Dari sudut yang lain, kakak Tomok, Ismaliza atau Isma juga mempunyai prestasi yang baik serta meraih kedudukan teratas dalam sebuah lagi program realiti iaitu Akademi Fantasia (AF) musim ke-7.

Ditanya tentang reaksinya apabila mendapat tahu Isma juga berjaya sepertinya, Tomok berkata dia melahirkan perasaan gembira dengan pencapaian mereka setakat ini.

“Saya jarang mengikuti perkembangan Kak Isma. Saya tak tengok ‘live’ dan hanya tengok siaran ulangan Konsert AF 7.

“Jadi, saya tidak pasti tentang pencapaian Kak Isma dalam AF,” kata Tomok selepas program tersebut berakhir di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Jumaat lalu.

Luah Tomok, dia lebih memfokuskan kepada OIAM dalam masa yang sama menanam semangat untuk berjaya.

“Saya tak sangka berada pada tahap ini. Ini semua hasil saya bekerja keras sejak dari sesi ujibakat lagi.

“Setiap kritikan-kritikan saya terima sebagai semangat bagi memastikan konsert pada setiap minggu menjadi milik saya.

“Saya berpuas hati dengan setiap kritikan juri. Setakat ini, saya selesa dengan apa yang dibuat.

“Saya mendapat komen peminat menyukai persembahan saya dan saya akan sesuaikan dengan apa yang mereka minta.

“Misalnya saya selitkan muzik perlahan untuk lagu Aku Cinta Pada Mu pada malam ini (Jumaat lalu) sebelum menyanyikannya dalam nada rancak,” kata jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Bagaimanapun, Tomok tidak mahu dirinya terlalu mengikut kehendak peminat asalkan ia bersesuaian dengan vokalnya.

“Saya puas dengan apa yang saya buat iaitu menyanyikan lagu pop komersial. Lama-kelamaan saya suka dengan muzik dan ‘enjoy’ dengan apa yang dilakukan.

“Dulu saya banyak mengambil berat kepada vokal dan persembahan tetapi sekarang saya sudah tahu merancang betul-betul tentang apa yang saya nak dibuat,” tuturnya.

Sebagai seorang adik, Tomok tidak lupa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari selain sama-sama mendoakan kejayaannya dan Isma.

“Pertandingan ini mengajar saya lebih komited, berdisiplin dan fokus. Saya merancang untuk memberikan tumpuan kepada OIAM.

“Saya berharap Kak Isma dan saya sama-sama berjaya dengan apa yang kami lakukan. Kita tengok macamana nanti,” akhirinya.

Selepas Simon disingkirkan pada minggu ke-8 lalu, kini tinggal lima peserta iaitu Tomok, Amylea, Aweera, Esther dan Nine untuk meneruskan perjuangan mereka dalam program yang dihoskan oleh Marion Caunter dan Awal Ashaari.

Bertemakan minggu bersama mentor Sheila Majid, para peserta diberi tugasan untuk menyanyikan lagu-lagu popular Ratu Jazz itu.

Amylea memulakan persembahan dengan lagu Dia, diikuti oleh Nine (Pengemis Muda), Aweera (Antara Anyer dan Jakarta), Esther (Lagenda), dan Tomok (Aku Cinta Pada Mu) manakala lagu Jatuh dinyanyikan secara berkumpulan.

Persembahan mereka dikritik oleh pengkritik tetap iaitu Syafinaz Selamat dan Paul Moss sementara Sheila Majid sebagai pengkritik undangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aamir cuti, isteri kerja

Artikel Lain