suria

Taib Mahmud terima anugerah khas P.Ramlee

Tan Sri Abdul Taib Mahmud menerima anugerah khas iaitu Anugerah Perdana Seniman Agung P. Ramlee
Tan Sri Abdul Taib Mahmud menerima anugerah khas iaitu Anugerah Perdana Seniman Agung P. Ramlee
Tan Sri Abdul Taib Mahmud menerima anugerah khas iaitu Anugerah Perdana Seniman Agung P. Ramlee

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menerima anugerah khas iaitu Anugerah Perdana Seniman Agung P. Ramlee dalam Anugerah Perdana Seniman Malaysia 2009 (APSM 2009) yang berlangsung di Stadium Perpaduan di sini malam tadi.

Anugerah itu merupakan satu penghargaan tertinggi kepada Taib, selaku peminat nombor satu P.Ramlee, yang menyimpan dan menjaga dengan baik hampir semua koleksi lagu dan filem yang dihasilkan karyawan terbilang tanah air itu.

Taib, juga diibaratkan sebagai "perpustakaan bergerak" P. Ramlee kerana mempunyai pengetahuan cukup luas mengenai seniman agung itu dan mempunyai himpunan sebahagian besar salinan filem lakonan dan arahan P. Ramlee.

Anugerah tersebut yang baru diperkenalkan tahun ini telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia Datuk Mustapha Maarof pada malam kemuncak APSM 2009.

Anugerah khas itu merupakan antara 17 anugerah yang diberikan kepada tokoh perfileman, karyawan filem dan muzik yang aktif menyumbang pelbagai aktiviti seni tanah air sepanjang hayat mereka.

Bagi mengenang jasa P. Ramlee, Sarawak menganugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar kepada seniman agung tersebut.

Anugerah itu disampaikan oleh Taib kepada waris P. Ramlee, Dian P. Ramlee.

Kerajaan negeri turut menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Seniman Malaysia.

Seramai 180 artis terkenal membabitkan pelakon, penyanyi, pelawak dan karyawan filem lama dan baru termasuk bekas bintang filem Melayu di Singapura berkampung di Kuching sempena APSM 2009.

Pada majlis itu juga, Diva, Anita Sarawak menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Penyanyi Bertaraf Antarabangsa manakala pelakon seniwati Melayu terkenal, Mariani Ismail menerima Anugerah Penghargaan Khas Bidang Lakonan sementara Allahyarham Sudirman Arshad menerima Anugerah Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan.

Pembuat filem yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group, David Teo menerima Anugerah Pencapaian Penerbitan Filem-Filem Malaysia yang Konsisten dan Box Office manakala Yusri KRU menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Pengarah Filem Visual Effect.

Pengarah Yasmin Ahmad menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Filem Globalisasi manakala James Lee menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Pengarahan Filem Generasi Baru.

Seniman veteran serba boleh, Datuk Aziz Sattar menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Komedi Sepanjang Zaman manakala penulis lirik Habsah Hassan menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Penulis Lirik Terunggul.

Pemangkin industri filem, Filem Nasional Malaysia (FINAs) menerima Anugerah Sokongan dan Bantuan dalam memartabatkan Filem Malaysia manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima Sokongan dan Bantuan dalam memartabatkan Industri Televisyen Malaysia.

Empat tokoh perfileman, pelakon dan karyawan seni kelahiran dari Sarawak turut menerima anugerah penghargaan iaitu Kassim Daud (Anugerah Pecapaian Cemerlang Dalam Bidang Lakonan), syarikat perfileman Hock Star Entertainment (Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Bidang Penerbitan Filem dan Drama), Sarbanun Marican (Anugerah Pencapaian Cemerlang Bidang Nyanyian) dan mendiang Tusau Padan (Anugerah Pencapaian Cemerlang Bidang Muzik).

APSM turut diserikan turut diserikan dengan pelbagai persembahan diadakan, termasuk teater muzikal Impak Maksima dan persembahan medley lagulagu lagenda Tan Sri P.Ramlee. BERNAMA

Artikel Lain