suria

‘Wasurenagusa’ dari Jepun cinta baru Nani

Amani merupakan antara pelakon yang lantang bersuara dan pandai berkata-kata. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Amani merupakan antara pelakon yang lantang bersuara dan pandai berkata-kata. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Amani merupakan antara pelakon yang lantang bersuara dan pandai berkata-kata. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

DALAM fikiran anak muda pasangan Fatimah Abu Bakar dan Syed Yahya, Sharifah Amani, 23, hanya mahu memperjuangkan filem Malaysia dengan cara tersendiri sehingga sanggup merentas ke Mexico seorang diri.

Mulai Khamis lalu, Amani atau Nani berada di Mexico untuk menghadiri Festival Filem Antarabangsa Mexico (FICCO) ke-6 yang berlangsung dari 17 Februari hingga 1 Mac ini.

Nani ke sana mewakili sutradara Yasmin Ahmad untuk mempersembahkan tiga buah filem Yasmin iaitu Sepet, Gubra dan Mukhsin yang terpilih sebagai ‘Guest Film’.

“Saya rasa seronok apabila tiga filem lakonan saya iaitu Sepet, Gubra dan Mukhsin di bawa ke Mexico. Alhamdulillah. Saya suka filem-filem Yasmin kerana ia mempunyai banyak maksud dan sebab.

“Mungkin kalau filem kita kurang respon untuk dibawa ke luar negara tetapi ada orang yang beri apresiasi, alhamdulillah, saya rasa dihargai.

“Misalnya, saya pernah ke festival filem di Perancis, dan Hawai, sekurang-kurang kita boleh mendapatkan maklumbalas daripada mereka disamping boleh memperkenalkan negara kita kepada orang yang tidak tahu tentang Malaysia.

“Kadangkala saya rasa sakit hati juga bila orang luar tahu tentang Singapura, Thailand dan negara di sekeliling Malaysia tetapi tidak semestinya tahu tentang kita.

“Jadi, saya rasa sangat bangga apabila ke sana sambil membawa nama Malaysia. Sebagai seorang Melayu, saya juga memberitahu mereka yang Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.

“Begitu juga apabila mereka melihat budaya kita, bersalaman, berpelukan di dalam keluarga, betapa pentingnya keluarga kepada kita.

“Misalnya, filem ‘Sepet’ mengisahkan tentang cinta antara kaum Cina dan Melayu manakala di dalam ‘Gubra’ mereka nampak bilal, orang Islam yang mereka jarang nampak kerana media di barat menginterpretasikan orang Islam sebagai pengganas,” luah Nani panjang lebar yang pernah berjumpa dengan aktor filem Dragon: The Bruce Lee Story, Jason Scott Lee di dalam sebuah festival filem.

Kecewa 'Mualaf' masih ‘dianaktirikan

Setakat ini, tiga buah filem Nani yang diarahkan oleh Yasmin iaitu ‘Sepet’, ‘Gubra’ dan ‘Mukhsin’ telah ditayangkan, cuma sekarang dia masih menunggu filem ‘Mualaf’ yang belum diluluskan untuk ditayangkan di pawagam tempatan.

Jelas Nani, dia pada mulanya sukar untuk memberikan komen lanjut dan sekadar meluahkan perasaan kecewanya apabila filem itu belum ditayangkan di sini tetapi telah ‘berpesta’ di pawagam luar negara seperti Jepun pada November lalu dan bulan berikutnya di Singapura.

Malah, lebih menggembirakan, filem 'Mualaf' lakonannya, adiknya, Sharifah Aleysha, Brian Yap, Datuk Rahim Razali dan Ning Baizura itu bakal ditayangkan sekali lagi pada 26 Februari di Singapura atas permintaan ramai.

“Susah untuk saya cakap tentang hal ini. Kerja saya untuk berlakon dan berkarya. Kerja saya selesai apabila produksi kata ‘it’s wrap’.

“Saya rasa sayang apabila penonton di Malaysia tak dapat tengok dan setiap kali filem Yasmin keluar, ada sesuatu di dalam filem itu yang boleh diperkatakan walaupun ada yang mengatakan ia tidak ‘blockbuster’.

“Tetapi, ada ramai juga orang seperti kawan-kawan saya yang nak tengok tetapi tak boleh. Apa boleh buat? Tetapi kadangkala, saya rasa terkilan.

“Jadi, alhamdulillah kalau dapat tunjuk di Malaysia kerana sekurang-kurangnya akan ada perkara lain yang boleh dibualkan tentang filem di mana kita tidak mempunyai satu genre filem sahaja seperti aksi, seram, komedi dan sebagainya.

“Kita perlu percaya dengan khalayak filem yang cuba menyokong filem-filem kita. Sekarang, penonton kita cukup cerdik untuk menilai mana filem yang baik atau tidak di mana semuanya melibatkan hiburan.

“Ini yang perlu kita lakukan dan bukannya terus tarik tanpa menunjukkan kepada penonton terlebih dahulu. Jadi, nanti khalayak kita akan ada satu pemikiran sahaja yang pergi menonton sambil bergelak ketawa tanpa ada sesi berfikir,” tegas Nani yang tidak mengetahui punca filem itu sukar untuk mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Tambah adik kepada penyampai Hot FM dan pelakon Sharifah Aleya ini, dia berasa mungkin isu yang dibangkitkan di dalam filem 'Mualaf' agak sensitif.

“Bukan filem itu sahaja, malah semua filem arahan Yasmin selalu dianggap sensitif. Kenapa tidak pula mereka fikir yang filem-filem lain mempunyai babak-babak lagi sensitif seperti rogol, cium, dan lesbian tetapi dibenarkan. Sedangkan di dalam filem kami seperti 'Mualaf' tidak mempunyai babak seperti itu.

“Adik-adik saya yang pergi tengok di pawagam tentang babak sensitif tadi mempersoalkan tentang hal itu.

“Filem kita lebih melibatkan jatuh cinta serta kasih sayang dan bukannya bercium mulut seperti filem lain yang boleh lulus tanpa potongan serta ada perkara yang mengghairahkan, ganas sehingga berlumuran darah, gangster dan kebencian.

“Tetapi filem kita yang menunjukkan tentang keamanan dinilai sebaliknya pula. Jadi, saya tidak faham,” persoal Nani dalam nada tidak berpuas hati.

Nani juga tertarik apabila Yasmin berkata dia ada menerima emel daripada seorang wanita Jepun, Sawaka yang mempunyai keinginan untuk mengenali al-Quran dan mengetahui lebih mendalam tentang Islam selepas menonton filem 'Mualaf' di Tokyo.

“Bagi saya, filem 'Mualaf' bukan sahaja tentang agama tetapi ia juga tentang kemaafan.

“Ada saya mendengar yang ramai orang tertarik dengan watak lakonan saya dan adik saya, Aleysha yang begitu menyerah diri kepada Tuhan.

“Walau apa pun tidak terjadi, mereka tidak akan berdendam, benci dan mengetahui semua ini disebabkan sesuatu,” ulas Nani yang memegang watak Rohani di dalam filem tersebut.

Giat Nani, dia sebolehnya ingin membangkitkan zaman kegemilangan P. Ramlee dan Shaw Brothers lalu berasa tidak sepatutnya cepat mengaku kalah kerana jika tidak siapa lagi yang akan berjuang untuk industri perfileman negara?

“Namun, saya tak boleh marah dan bersikap membenci kerana semua itu negatif. Kalau kita bangkitkan banyak negativiti, jadi hal itu akan menjadi semakin besar,” beritahu Nani.

Sibuk dengan ‘Wasurenagusa’ pada September

Selepas berlakon lima buah filem arahan Yasmin iaitu 'Sepet', 'Gubra', 'Mukhsin', 'Mualaf', dan 'Talentime', sebelum September ini Nani dijangka akan sibuk dengan buah tangan terbaru Yasmin iaitu ‘Wasurenagusa’ atau ‘Forget Me Not’.

“Kebanyakan babak di dalam filem itu akan menggunakan Jepun sebagai lokasi pengambaran manakala hanya beberapa peratus lagi akan dilakukan di Malaysia.

“Hero filem ini adalah pelakon Jepun dan Insya-Allah, saya akan menemani Yasmin ke sana sebelum melakukan pengambaran untuk melihat lokasi dan pelakon-pelakon di sana.

“Saya lupa nama pelakon itu tetapi dia agak kacak,” gurau Nani.

Berkongsi tentang sedikit info tentang ‘Wasurenagusa’, Nani berkata filem ini mempunyai jalan cerita yang mudah tetapi agak menarik kerana menunjukkan pertembungan antara dua budaya iaitu Melayu dan Jepun tetapi akhirnya dua insan berbeza budaya ini boleh tertawan.

“Menariknya, dalam masyarakat Melayu ni kita suka menonjolkan kasih sayang dan akan bersalam dan mencium pipi apabila berjumpa keluarga sebaliknya di dalam budaya Jepun ni mereka kurang berpelukan dan bersalaman.

“Mereka suka ‘bow’ seolah-olah tidak ramah dan tidak mengekspresikan kasih sayang mereka.

“Di dalam filem ini, saya melakonkan watak orang Malaysia yang berjumpa dengan seorang lelaki Jepun.

“Saya merupakan seorang yang berfikiran terbuka dan terlalu ramah sehingga lelaki tadi perasankan saya sedang bercakap seorang diri dengan bunga seolah-olah mempercayai saya ini tidak waras.

“Apabila berjumpa, banyak kenangan antara kami,” cerita Nani mengenai serba sedikit sinopsis filem yang pada pandangannya berkisarkan tentang cinta.

Dalam perkembangan lain, Nani juga tidak sabar menantikan reaksi penonton mengenai kemunculan filem 'Sayang, You Can Dance' di pawagam mulai 6 Mac depan.

Nani yang baru selesai menjalani pengambaran filem 'Magika' sebagai Bawang Putih, turut menantikan tayangan filem 'Talentime' pada 26 Mac depan.

Artikel Lain