suria

Vokalis Lan tidak disingkirkan, MUH ambil langkah berehat

Meet Uncle Hussain tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan menggantikan tempat Lan dengan vokalis lain. -foto The Star oleh UU BAN
Meet Uncle Hussain tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan menggantikan tempat Lan dengan vokalis lain. -foto The Star oleh UU BAN
Meet Uncle Hussain tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan menggantikan tempat Lan dengan vokalis lain. -foto The Star oleh UU BAN

“KHABAR angin yang mengatakan Lan akan diganti oleh vokalis lain adalah tidak benar,” kata Nik Mustaza Nik Mustapha atau Taja dari Meet Uncle Hussain (MUH) mengenai gosip hangat melibatkan bandnya yang tersebar dalam sebuah akhbar tabloid.

Tambah Taja, pihak MUH tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai isu mereka mahu mencari vokalis lain dan sehingga kini Lan atau Norazlan Rosle masih merupakan vokalis MUH.

“Kami tidak mengambil apa-apa tindakan seperti yang diuar-uarkan kerana khabar angin itu tidak benar,” kata Taja yang sudah lali dengan khabar angin seperti itu.

Disebabkan itu, Taja berpendapat, dia tidak melenting sebaliknya memahami dan akur dengan ‘sign’ yang diberikan oleh media.

Dalam pada itu, Lan selaku individu yang disebut-sebut dalam cerita itu berkata dia terkejut apabila mendapat tahu daripada rakannya.

“Saya rasa mereka tidak sepatutnya mengeluarkan artikel ini terlebih dahulu tanpa bertanyakan sama ada hal ini betul atau tidak,” luah Lan ketika ditemui di Wisma Bernama sejurus selepas ditemubual dalam program Yo! terbitan Bernama Radio 24.

Ini bukan kali pertama band indie Meet Uncle Hussain (MUH) dikecam dengan gosip hebat sehingga mampu menjatuhkan prestasi band popular ini.

Sebelum ini, pernah terkeluar khabar angin mengatakan MUH bakal merombak keanggotaan mereka dan dikaitkan dengan masalah disiplin seperti terlambat menghadiri ‘show’.

Apa yang didengar, semua masalah yang dilakukan gara-gara berpunca daripada Lan yang dikatakan mengalami penyakit saraf sehingga anggota MUH yang lain turut terkena tempiasnya.

Lan khabarnya sering datang lewat dan ada masanya tidak datang langsung namun diikutkan komitmen setiap anggota terhadap satu-satu persembahan sudah dimaklumkan dari awal.

Misalnya di dalam gosip itu mengatakan, baru-baru ini Lan tidak menghadiri rakaman sebuah program yang diterbitkan RTM.

Selepas berjam-jam menunggu, dia yang mulanya gagal dihubungi akhirnya mengirimkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak dapat datang.

“Sebenarnya bukan saya tidak menghadiri rakaman sebuah program tetapi sesi fotografi program Hits 1 di RTM kerana saya mengalami kemalangan pada hari Rabu iaitu sehari sebelum itu,” kata Lan.

Lan juga menepis ura-ura yang mengatakan MUH sedang dalam keadaan bergolak.

“Semua masalah yang timbul di dalam MUH kami akan selesaikan secara ‘private’ dan ‘confidental’.

“Jadi, tak timbul isu yang mengatakan kami sedang bergolak kerana sehingga kini MUH masih wujud dan menjalankan aktiviti seni seperti biasa. Tiada apa-apa yang di luar kebiasaan.

“Kalau tiada angin, tidak akan ada cerita tentang masalah dalaman band kami. Tetapi cerita ini bukan dikeluarkan oleh kami sendiri sebaliknya oleh orang luar.

“Bagi saya, cerita seperti ini akan ada punya dan kami tak boleh buat apa,”ulas Lan.

Bagi Mohd. Fathi Mohd. Daruis atau Afat yang juga salah seorang gitaris MUH pula, dia menganggap semua cerita tersebut hanyalah andaian yang tercetus hasil pemerhatian orang luar.

Tambah Taja, dia memahami kehidupan artis yang akan menjadi perhatian dari segi tindak-tanduk yang dilakukan lebih-lebih lagi apabila dikenali ramai.

Di sebalik ketenangan yang ditunjukkan oleh Lan, dia juga tidak mampu menyembunyikan keketaran tangannya yang mungkin disebabkan oleh penyakit yang dialami.

Keadaan Lan nampak tidak keruan ketika menjawab soalan yang dilontarkan dan sekali sekala dia akan membuka sebuah buku catitan yang menceritakan tentang penyakitnya itu.

“Sekarang saya ada juga pergi berubat secara tradisional. Saya mendapat tahu saya mengalami penyakit ‘Hyperthyroid’.

“Saya selalu mengalami 'ketar-ketar' dan masalah hendak tidur disebabkan pergerakan nadi yang laju.

“Jadi, apabila terjaga, saya akan bangun dan menyapu minyak panas untuk melegakan urat di seluruh badan saya terutama di kaki saya.

“Kadangkala apabila saya mengalami kesakitan di pergelangan lutut, ia memberikan petanda yang saya tidak boleh bergerak ke mana-mana lagi.

“Kalau saya bergerak, saya mempunyai kemungkinan tidak dapat berdiri lama dan kemudian pengsan di situ serta-merta.

“Saya juga akui yang semua masalah yang ditimbulkan berpunca daripada penyakit yang dialami oleh saya,” cerita Lan serba sedikit mengenai penyakitnya itu.

Tambah Lan, dia juga menghadapi masalah pengurangan berat badan.

Apabila diaju kepada rakan bandnya tentang apakah tindakan yang diambil oleh mereka setelah mengetahui penyakit yang dialami oleh Lan, Taja yang lebih banyak bercakap bagi pihak rakannya yang lain terus bersuara.

“Ikutkan kami baru mengetahui sebetul-betulnya tentang penyakit Lan. Saya pun banyak kerja dan kami sudah lama tidak menghabiskan masa bersama-sama. Jika berjumpa pun hanya atas urusan kerja,” komen Taja.

Ditanya kenapa baru hari ini hendak beritahu yang sebetul-betulnya tentang penyakit yang dialami kepada anggota lain di dalam band, Lan berkata dia tidak mahu membebankan mereka.

“Sakit saya ini tidak menentu. Saya tak tahu dan tidak dapat jangka bila ia nak datang.

“Jadi, saya ada pergi hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut mengenai penyakit ini,” ulas Lan.

Namun, kali ini pengurus MUH yang dikenali sebagai Kimi pula membalas kenyataan Lan.

“Kalau dia tidak beritahu kami tentang penyakit itu, lagi ia mendatangkan beban dan masalah kepada kami sebab kami tak tahu apa-apa dan asyik nak ‘standby mode’.

“Jadi, semua perkara akan jadi kucar-kacir apabila dia tidak dapat muncul di saat-saat akhir.

“Selepas ini, kami akan sama-sama membawa Lan berjumpa dengan doktor dan bertanyakan tentang waktu yang memerlukan dia berehat,” ujar Kimi yang hanya mengetahui kali terakhir Lan ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan ditemani oleh Afat adalah pada Mac tahun lalu selepas mengadu sakit kaki.

Tambah Kimi, selepas itu dia tidak pasti lagi sama ada Lan ada membuat pemeriksaan lanjut di hospital atau tidak.

“Jadi, kami akan duduk berbincang tentang masalah yang melanda Lan ini. Jika begitu, mungkin MUH akan berehat sekejap dari aktiviti seni kerana bimbang kesihatan Lan akan membuatkan keadaan MUH bertambah teruk.

Sementara Taja pula mencelah: “Sekarang memang band kami agak terjejas. Jadi, kami akan mengambil suatu tindakan yang betul untuk menyelesaikan masalah ini dan ia memerlukan suatu tempoh."

“Kami kena rancang jadual untuk berehat selepas ini. Kemungkinan besar kami akan berehat untuk memberi peluang kepada Lan berubat dan selepas itu kami akan menyambung aktiviti seni seperti biasa.

“Buat masa sekarang, kami masih ‘on’ dengan apa yang telah dirancangkan untuk MUH.

“Media memang banyak memberikan sokongan kepada artis tetapi kami yang tak boleh terima dan tidak tahu apa yang akan dilakukan jika memilih waktu berehat.

“Semua yang berlaku ini akan menjadi ikhtibar buat kami. Apabila musibah datang, baru kita nak buka mata. Hal ini membuatkan kami terfikir sejenak dan memikirkan semula apakah objektif dan tujuan kami.”

Dalam pada itu, Lan mencelah dengan berkata penyakit yang dialaminya itu ibarat ujian daripada Tuhan dan apa yang berlaku merupakan lumrah di dalam hidup manusia.

Menurut Kimi, setakat ini, MUH hanya terikat dengan Konsert Hot FM Big Jam dan Konsert Sunburst.

Kata Kimi, walaupun memilih jalan untuk berehat dari aktiviti seni nanti, mungkin MUH akan melakukan aktiviti lain seperti melibatkan diri dalam bisnes.

Dalam masa yang sama, MUH juga menyimpan cita-cita untuk tercalon di dalam Anugerah Industri Muzik 2009 (AIM 2009) yang dijangka berlangsung pada bulan Mei depan.

“Insya-Allah, kami memandang ke hadapan untuk berjaya dicalonkan dalam AIM 2009 kerana ia sedikit sebanyak mampu membuatkan kami gembira.

“Tetapi yang merisaukan kami adalah kami tidak mempunyai album fizikal kerana syarikat EMI yang mengedarkan album kami sudah ditutup,” luah MUH dengan penuh bersemangat sebelum mengakhiri perbualan.

MUH akan membuat pengumuman akan berehat untuk seketika dalam satu sidang akhbar yang akan diadakan tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain