suria

Belinda Chee menghitung hari bergelar isteri Joe

Belinda ketika menghadiri majlis pratonton teater muzikal Mamma Mia di Istana Budaya baru-baru ini.
Belinda ketika menghadiri majlis pratonton teater muzikal Mamma Mia di Istana Budaya baru-baru ini.
Belinda ketika menghadiri majlis pratonton teater muzikal Mamma Mia di Istana Budaya baru-baru ini.

KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina (TBC) tahun ini bukan sahaja dirasakan bermakna bagi hos ‘Quickie’ dan ‘Teman’ di 8TV, Belinda Chee, 27, malah keseronokan itu lebih berganda apabila beliau pertama kali meraikannya sebagai tunangan kepada Yeow Eng Joe, 27.

Menurut Belinda, beliau sekeluarga menyambut TBC di rumah kakaknya, di Singapura.

Dalam sibuk memikirkan tentang persiapan perkahwinan, sama seperti tahun-tahun lalu, Belinda pastinya berbelanja dan meraikan TBC dengan kuih-muih dan biskut, serta tiga pasang pakaian baru dalam anggaran tidak lebih daripada RM500.

Belinda berkata beliau turut menempah baju cheongsam berharga RM200.

Kata anak bongsu daripada dua beradik ini, walaupun pakaian tersebut sudah semakin tidak diminati oleh remaja wanita sekarang, namun beliau sendiri masih ingin memakainya asalkan selesa dan tidak terlalu menjolok mata.

Tahun ini juga, Belinda tidak melepaskan peluang mengubahsuai bilik tidur di rumah Damansara yang bakal menjadi bilik pengantinnya tidak lama lagi.

Bagi Belinda yang mengikat tali pertunangan dengan Joe sekitar Mei tahun lalu, beliau sudah mula merasakan debaran untuk bergelar isteri Joe walaupun tarikh perkahwinannya pada 10 Oktober depan boleh dikatakan masih panjang.

Bagaimanapun, Belinda yang pada mulanya tidak percaya akan menamatkan zaman bujangnya dengan Pengarah Urusan di salah sebuah syarikat media pengiklanan ini semakin dapat menerima hakikat yang beliau kini sudah memegang status tunangan orang selepas dilamar pada Hari Lahirnya, 17 Mei tahun lalu.

Ditanya tentang perasaannya sekarang, Belinda berkata beliau berasa ‘nervous’ kerana banyak perkara yang belum dirancang untuk perkahwinan yang bakal menjelma itu.

Yang pasti, Belinda dan Joe telah mula sibuk merencanakan untuk mengadakan dua resepsi perkahwinan iaitu di rumah keluarganya, di Kuching, Sarawak pada 3 Oktober manakala di Kuala Lumpur selang tujuh hari selepas itu.

Diikutkan Belinda secara rasminya akan bergelar isteri Joe pada 10 Oktober, namun bagi Belinda ia bukanlah masalah jika mengadakan resepsi terlebih awal daripada waktunya kerana keluarganya mahupun keluarga Joe tidaklah terlalu mematuhi pantang-larang budaya Cina.

“Ikutkan, bapa saya yang nak buat majlis resepsi perkahwinan di Kuching kerana saya dan Joe akan menjalani perkahwinan mengikut agama Kristian.

“Sekarang, kami sudah tempah kedua-dua tempat untuk majlis resepsi manakala yang lain tu masih dalam perbincangan di mana saya sudah mengupah perunding perkahwinan untuk melakukan persiapan perkahwinan di Kuala Lumpur.

“Sementara, persiapan perkahwinan di Kuching akan diuruskan oleh ibu saya. Jadi, saya rasa tak perlu risau sangat kerana saya tahu apa yang ibu saya dan perunding itu akan lakukan.

“Sekarang, kami juga sedang mencari jurufoto untuk mengambil gambar ketika majlis perkahwinan itu nanti.

“Tentang ‘hantaran’ perkahwinan, orang tua kami belum duduk bersama berbincang mengenainya kerana masing-masing masih menanti ‘lampu hijau’ daripada kami untuk mengatur pertemuan tersebut.

“Bagaimanapun, saya dan Joe telah bercadang untuk melakukan perbincangan tersebut dalam satu majlis makan malam dalam masa terdekat nanti,” giat Belinda yang turut sibuk dengan tugasnya dalam mengacarakan program Quickie di 8TV setelah kontraknya disambung lagi.

Apabila diajukan tentang perkahwinan idaman, Belinda teringat semasa di sekolah menengah dahulu, beliau mempunyai dua orang rakannya yang mempunyai buku perkahwinan impian masing-masing dengan mengguntingkan corak dan jenis perkahwinan yang mereka sukai.

“Tetapi bagi saya, saya tak pernah fikir pun tentang bagaimana majlis perkahwinan yang saya inginkan. Sehingga sekarang, apabila perunding tanya tentang warna tema perkahwinan, saya hanya kata nanti dulu biar saya fikir tentangnya,” luah Belinda sambil ketawa.

Dipersoal tentang tetamu yang akan dijemput semasa majlis resepsi di Kuala Lumpur nanti, Belinda berkata beliau akan menjemput rakan-rakan, selebriti 8TV dan personaliti 8TV.

Beliau bagaimanapun awal-awal lagi tidak terfikir akan menjemput pihak media kerana menganggap majlis tersebut terlalu peribadi dan disebabkan ingin menjaga perasaan keluarga.

Menangis terima lamaran Joe

Bercerita tentang lamaran daripada Joe, Belinda berkata beliau menerima lamaran tersebut dalam suasana yang romantik dan mengharukan.

“Semasa Hari Lahir saya pada 17 Mei lalu, kami bercuti di Pangkor Laut, Perak. Saya dah syak sesuatu selepas melihat perangai Joe yang semacam pada hari itu lebih-lebih lagi apabila semua perkara dia nak ‘organise’ tanpa memberi peluang saya masuk campur.

“Lagipun saya dah boleh agak perangai dia memandangkan kami sudah kenal kira-kira lapan tahun.

“Tetapi semasa dia melamar saya, boleh dikatakan saya agak tersentuh juga kerana terkejut sehingga membuatkan saya menangis terharu dengan apa yang dia lakukan.

“Bayangkan waktu itu, suasana agak romantik dengan candle light dinner di tepi pantai sambil mendengar alunan muzik oleh dua orang pemuzik di situ,” ujar Belinda mengenai cara Joe melamarnya.

Joe cinta pertama Belinda

Percintaan antara Belinda dan Joe mula berputik selepas berkenalan sejak lapan tahun lalu. Belinda dan Joe dipertemukan ketika masing-masing masih menuntut di Kolej Taylor, Subang Jaya di dalam jurusan yang sama.

Walaupun ketika zaman pengajiannya itu Belinda dipujai oleh ramai jejaka, namun beliau tetap merasakan yang Joe adalah cinta pertamanya.

“Waktu kami bertemu, saya diperkenalkan oleh seorang kawan. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Joe kerana dia seorang yang baik.

“Kami berkawan baik dalam tempoh yang agak lama dan saya masih setia bersamanya kerana dia seorang yang mengambil berat.

“Saya pula jenis seorang yang setia apabila mendapat rakan yang baik seperti itu. Joe membuatkan saya mempercayainya.

“Kalau nak keluar dengan kawan masing-masing sekalipun, kami tak perlu berasa sangsi antara satu sama lain.

“Gaduh sikit-sikit tu biasalah tetapi tiadalah sampai ‘perang besar’,” ulas Belinda yang merancang untuk mempunyai tiga orang anak.

Namun, kata Belinda, semuanya bergantung kepada rezeki dan beliau sendiri mungkin akan mula memperlahankan kariernya di dalam bidang penyiaran apabila sudah mempunyai anak nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain