suria

Elly: Tidak perlu 'demand'

Elly bersyukur rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus
Elly bersyukur rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus
Elly bersyukur rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus

SATU 'petua' yang diamalkan oleh Elly Mazlein untuk memastikan karier seninya terus bertahan sehingga kini ialah tidak sesekali bersikap 'demanding'. Pendirian setiap artis mungkin berbeza, namun bagi gadis berusia 27 tahun ini, tidak perlu untuk dirinya berbuat demikian walaupun tawaran lakonan cukup lebat diterimanya sehingga hari ini.

Satu demi satu tawaran singgah dan boleh dikatakan semuanya akan diterima jika mempunyai jalan cerita yang baik serta masa penggambarannya yang tidak bercanggah dengan jadual pelakon berusia 28 tahun ini.

Tidak dinafikan, acapkali juga watak yang sama sering ditawarkan kepada Elly. Jika dulu, karektor gadis 'manja' sering dibawanya, namun kini watak 'wanita dan air mata' pula yang selalu dilakonkan di dalam drama-drama mahupun telemovie.

Namun begitu, tidak sekali pun gadis kelahiran Slim River, Perak ini mengeluh. Bagi Elly, setiap tawaran yang diterimanya itu dianggap rezeki dan seboleh mungkin, dia tidak akan menghampakan mana-mana produser asalkan dia sendiri berpuas hati dengan skrip tersebut.

"Terus-terang saya katakan, semua skrip bagus yang saya dapat sekarang ini adalah cukup 'heavy'. Kebanyakannya memang memerlukan saya untuk watak-watak yang beremosi dan perlu selalu berendam air mata.

"Jadi, memang sukar untuk saya menolak tawaran tersebut. Saya tidak mahulah terlalu memilih watak dan jadi 'demanding' pula, nanti lagi susah jika rezeki tak ada langsung.

"Lagipun, inilah satu-satunya bidang yang merupakan punca rezeki saya. Asalkan saya berpeluang memilih skrip, itu sudah memadai. Saya hanya gunakan peluang yang diberikan dengan baik.

"Insya-Allah, mungkin satu hari nanti ada pihak yang berani untuk tawarkan karektor berlainan pula kepada saya," kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Terbaru, pelakon dan penyanyi ini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Semanis Janji arahan Lisa Ismail bersama pelakon-pelakon seperti Zamarul Hisham dan Diya AF.

"Kali ini, watak saya tetap sebagai seorang wanita yang juga akan selalu berendam dengan air mata kerana konflik-konflik tertentu.

"Saya bersyukur sebenarnya, kerana walaupun watak seperti itu sudah semakin sinonim dengan saya, tetapi ini sekaligus membuktikan orang semakin yakin yang saya mampu bawakan watak seperti itu dengan baik," kata Elly lagi.

Belum ada rezeki di layar perak

Setelah empat tahun berkecimpung di dalam bidang lakonan, wajah Elly hanya sering menghiasi kaca televisyen. Sudah lama pelakon ini tidak muncul di layar perak setelah terlibat di dalam beberapa buah filem seperti Gerak Khas dan Janji Diana tidak lama dulu.

Akui belum sampai rezekinya untuk kembali beraksi di dalam filem, kata Elly, bukan tiada tawaran filem yang singgah, namun disebabkan terikat dengan komitmen lain, Elly terpaksa menolak.

"Tidak mengapalah, mungkin rezeki belum ada. Walaupun saya memang berhasrat untuk berlakon filem lagi, tetapi tidaklah sampai ke tahap 'terdesak' dan terima apa saja yang saya dapat.

"Saya masih ingin melihat kepada skripnya juga andai kata dapat lagi tawaran filem. Saya tidak mahu terima begitu saja hanya kerana saya sudah lama tidak muncul di layar perak," kata Elly.

Dalam perkembangan lain, tutur Elly lagi, dia juga masih mendapat undangan membuat persembahan meskipun sudah lama tidak menghasilkan album baru.

"Saya pun tak sangka masih ada pihak yang panggil saya untuk buat 'show'. Cuma saya akui, undangan itu tidak lagi sebanyak dulu...mungkin kerana tiada album baru," katanya yang akui rindu untuk kembali aktif di dalam bidang nyanyian.

Elly sebelum ini memulakan karier seninya sebagai penyanyi pada tahun 1997 sebelum melangkah ke dalam bidang lakonan. Kali terakhir dia muncul dengan album terbaru ialah pada tahun 2003.

Artikel Berikut

Artikel Lain