suria

Misha Omar kembali 'bernafas'

Misha lega penantiannya selama empat tahun berakhir jua apabila album terbarunya sudah mula dipasarkan - foto THE STAR oleh KAMAL SELLEHUDDIN
Misha lega penantiannya selama empat tahun berakhir jua apabila album terbarunya sudah mula dipasarkan - foto THE STAR oleh KAMAL SELLEHUDDIN
Misha lega penantiannya selama empat tahun berakhir jua apabila album terbarunya sudah mula dipasarkan - foto THE STAR oleh KAMAL SELLEHUDDIN

TEMPOH empat tahun dilalui oleh penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini sudah cukup untuk membuatkan dirinya lebih menghargai apa yang dimiliki dan bersifat lebih matang bukan saja di dalam karier seninya, tetapi juga kehidupan seharian.

Tatkala menantikan penghasilan album terbarunya yang mengambil masa begitu panjang untuk disiapkan, Misha Omar bersyukur kerana peminat-peminat tidak pernah 'lupa' tentang dirinya meskipun ada yang bertanggapan populariti penyanyi berusia 26 tahun ini semakin pudar.

Masih laku diundang menjayakan persembahan, Misha juga sebenarnya mempunyai strategi sendiri untuk memastikan dirinya terus bertahan di dalam industri seni ini sambil meneruskan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak angkatnya yang berusia tiga tahun, Muhammad Adam Emir.

Meskipun album barunya ketika itu masih di dalam proses pembikinan, Misha yang bernaung di bawah label Sony BMG Music Malaysia ini telah pun tampil dengan tiga buah single yang sekaligus berjaya membuatkan dirinya tidak pernah 'hilang' di mata peminat.

Nafas Cahaya, Sembunyi dan Jawapanmu menjadi pengubat rindu peminat yang tidak putus-putus menyokong karier seninya, sehinggalah album terbarunya berjudul 'Misha Omar' yang menampilkan komposer dan pemuzik terkenal Ramli MS sebagai Penerbit Eksekutif akhirnya dipasarkan sejak 2 Disember lalu.

"Lega sebenarnya dengan kemunculan album baru ini. Tetapi, saya akui, kalau boleh memang saya ingin improve lagi beberapa aspek dalam album ini, seperti dari segi pemilihan lagu.

"Sebenarnya menerusi album ini, saya ingin banyak bereksperimentasi lagi dan pastinya ia akan mengambil masa yang lebih panjang jika saya ingin terus berbuat demikian.

"Tapi saya tidak boleh pentingkan diri sendiri semata-mata untuk penuhi apa yang saya mahu dan abaikan kehendak peminat.

"Disebabkan peminat juga sudah lama menantikan album baru saya, akhirnya syarikat rakaman buat keputusan untuk release album ini," kata Misha yang juga berhasrat untuk menggunakan khidmat komposer Indonesia untuk album yang akan datang kelak.

Album ketiganya ini menampilkan enam buah lagu baru termasuklah tiga buah single iaitu Nafas Cahaya, Sembunyi dan Jawapanmu serta dua buah lagu lama iaitu Ku Seru dan Cinta.

Tiga buah lagu minus one juga turut dimuatkan di dalam album yang menampilkan sentuhan komposer-komposer hebat seperti M.Nasir, Ajai, Aidit Alfian, Azmeer dan Cat Farish.

Sebuah single baru menerusi album tersebut berjudul Cinta Adam Dan Hawa ciptaan Azmeer juga akan mula diputarkan di corong-corong radio tidak lama lagi.

Bergelar pelakon drama

Tatkala albumnya itu baru menjengah di pasaran, Misha tidak mahu melepaskan peluang untuk turut mendalami bidang lakonan menerusi drama bersiri 20 episod berjudul Julia Juli Bintang Tiga yang akan disiarkan di slot Legenda di TV3 dan TV9 awal tahun depan.

Misha yang baru saja memulakan penggambaran bagi drama arahan Adam Hamid itu berkata, tawaran tersebut diterima kerana dia sendiri cukup merindukan bidang tersebut setelah beberapa kali berlakon filem dan sitkom sempena Hari Raya.

Memandangkan jadual penggambaran yang tidak mengganggu karier nyanyiannya, Misha nekad untuk mencuba watak Julu yang ditawarkan kepadanya bersama pelakon-pelakon hebat lain seperti Dynaz, Abby Abadi, Nik Sayyidah, Danny X-Factor, Zed Zaidi dan Aqasha.

"Sejujurnya, saya memang meminati bidang lakonan, tetapi saya tidak boleh nak harapkan tawaran filem saja kerana pastinya produser-produser filem ingin memilih mereka yang benar-benar boleh berlakon.

"Banyak ilmu lakonan yang masih perlu saya pelajari. Jadi, saya rasa bagus juga jika saya kutip pengalaman menerusi drama," kata Misha yang sebelum ini pernah muncul di dalam filem Gerak Khas 3 (GK3) dan Main-Main Cinta.

Tutur Misha, dia menceburi bidang seni lakon ini bukan kerana terdorong oleh sikap tamak, namun katanya sebagai artis, tidak salah mencuba pelbagai bidang seni lain jika mempunyai minat dan kesungguhan dan lantaran itu boleh dilabelkan sebagai artis serba-boleh.

Penyanyi ini juga sudah mula berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan menerusi program hiburan, Skrin Video yang sedang ditayangkan di RTM2 sebanyak 20 episod.

Bercerita tentang drama tersebut serta watak Jula yang dipegangnya itu, kata Misha, Jula mempunyai sedikit persamaan dengan dirinya.

"Drama ini berkisarkan tentang tiga beradik yang berasal dari kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu.

"Jalan ceritanya cukup menarik dimana kami adik-beradik curi-curi turun ke bumi dan bila di bumi dan sebagai contoh, saya menjadi seorang penyanyi apabila turun ke bumi manakala kakak saya, Jula lakonan Dynaz akan menjadi pereka fesyen.

"Macam-macam yang akan berlaku sepanjang episod drama ini. Memandangkan watak Julu itu tidak jauh bezanya dengan diri saya sendiri yang memang merupakan seorang penyanyi, jadi saya rasa tidak salah untuk terima.

"Mungkin agak kekok sedikit di awalnya, tetapi Insya-Allah, saya rasa saya mampu lakukan yang terbaik," katanya yang akan bergandingan bersama Danny sebagai pasangan kekasih di dalam drama tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain