suria

“Dia dapat berkotak-kotak siap buat bisnes” - Individu kecewa bank tiada wang kertas baharu, pelik wujud kartel duit raya

Tangkap layar hantaran individu membuat perkhidmatan tukar duit raya.

SEORANG individu meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa gagal menukar duit raya di beberapa bank sebelum menemui iklan di media sosial daripada orang perseorangan yang menawarkan perkhidmatan tukar duit raya.

Dia mendakwa alasan yang diberikan pihak bank kepadanya adalah servis pertukaran wang sempena Aidilfitri tidak disediakan.

"Aku macam pelik, biar betul bank tak boleh tukar duit raya. Lepas tu apabila buka Facebook, aku nampak hantaran yang tawarkan perkhidmatan tukar duit raya," katanya.

Berdasarkan tangkap layar hantaran itu, ia mempromosikan perkhidmatan tukar duit raya dengan wang kertas baharu RM1, RM5 dan RM10 dengan caj tambahan RM10 bagi setiap RM100 pertukaran. 

Hantaran itu juga memaparkan lambakan wang kertas RM1, RM5 dan RM10 dalam jumlah yang cukup banyak serta masih belum dibuka daripada plastik.

Individu berkenaan menyifatkan perkhidmatan yang ditawarkan di Facebook itu seperti kartel duit raya.

"Sakitnya hati, kita pergi semua bank nak tukar. Dia senang-senang dapat duit berkotak-kotak siap buat bisnes lagi tu," katanya.

Individu tersebut turut mempersoalkan sama ada aktiviti berkenaan sah di sisi undang-undang serta meminta pandangan orang ramai sama ada perkara itu boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman dilaporkan berkata, menukar wang kepada not baharu bagi tujuan duit raya adalah harus dalam Islam.

"Namun, pertukaran itu mesti dilakukan dengan nilai sama bagi mengelakkan unsur riba. 

"Jika caj berkenaan diambil dengan cara memotong sebahagian daripada wang ditukar, contohnya RM100 tetapi hanya terima RM93 selepas caj RM7, maka ia tidak dibenarkan," katanya.

Artikel Lain