PLUS mengaktifkan Smart Lane di 34 lokasi strategik di sepanjang lebuh raya menjelang Aidilfitri nanti. -Gambar hiasan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil langkah proaktif menghadapi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan mengaktifkan Smart Lane di 34 lokasi strategik di sepanjang lebuh raya kendaliannya.Langkah ini dibuat susulan jangkaan peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak iaitu 18, 19, 20, 27, 28 dan 29 Mac, meningkat 21 peratus berbanding purata harian biasa. Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, tiga pendekatan utama telah digariskan bagi memastikan pengalaman perjalanan selamat dan selesa.PLUS memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim perayaan menerusi pendekatan pengurusan trafik yang lebih komprehensif dan bersepadu.Pendekatan yang dimaksudkan ialah pengurusan trafik dan insiden yang efisien, pengagihan trafik optimum, dan keselesaan pengguna."Pengaktifan Smart Lane boleh dikenal pasti menerusi papan tanda peringatan serta lampu hijau berkelip yang dipasang di lokasi terbabit. "Walau bagaimanapun, waktu pengaktifan Smart Lane di lokasi bergantung kepada kesesuaian keadaan trafik semasa," katanya.Beliau turut menasihatkan pengguna agar sentiasa mematuhi arahan lalu lintas dan memandu secara berhemah ketika menggunakan Smart Lane. "Pengguna juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan lorong kecemasan di luar waktu operasi dan di luar lokasi pengaktifan Smart Lane demi memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya," katanya.Selain itu, PLUS membuka 3 km lorong tambahan di zon projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (Johor) dari Simpang Renggam ke Sedenak (KM45.1 hingga KM42.5) mulai 18 Mac hingga 5 April, untuk melancarkan perjalanan di kawasan projek. Tiada penutupan lorong dijangka sepanjang musim perayaan, kecuali bagi kerja kritikal atau kecemasan.Lebih 6,000 petugas digerakkan sepanjang lebuh raya termasuk kakitangan plaza tol, PLUSRonda, LPT2Ronda, pasukan kecemasan (ERT), RELA dan penyelenggaraan, manakala pemantauan trafik 24-jam akan dijalankan bagi menangani sebarang insiden dengan cepat. PLUS juga menambah baik kemudahan di lebih 60 lokasi R&R dan plaza tol, menyediakan tandas tambahan dan surau, serta menaik taraf lebih 37,000 lampu jalan kepada LED untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.Orang ramai digalakkan merancang perjalanan awal melalui MyPLUS-TTA dan mematuhi cadangan waktu perjalanan.