suria

Akibat tak siap kerja sekolah, guru didakwa pukul murid Tahun Dua guna pembaris kayu... Tangan membengkak, kemungkinan patah!

Kesan bengkak dan lebam pada tangan seorang murid Tahun Dua selepas didakwa dirotan guru di sekolah. -Gambar Facebook

SEORANG ibu meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas mendakwa anak lelakinya mengalami kecederaan pada tangan akibat dipukul guru di sebuah sekolah di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu.

Menurut wanita itu, anaknya yang merupakan murid Tahun Dua dikatakan dihukum menggunakan pembaris kayu sebanyak tiga kali akibat terlupa menyiapkan kerja rumah.

Katanya, pukulan tersebut mengenai bahagian tulang tangan sehingga menyebabkan anaknya mengadu sakit dan mengalami bengkak, malah sukar tidur pada malam kejadian.

"Ya dia salah sebab tak siapkan tugasan. Tapi perlukah sampai begini? Trauma dia nak ke sekolah. 

"Tak tidur sebab sakit, tangan membengkak," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Khamis.

Jelas si ibu lagi, pada awalnya anaknya hanya menunjukkan sedikit bahagian jari yang sakit ketika dia sedang bekerja.

Pada ketika itu dia menyangka kecederaan itu tidak serius.

Namun, selepas pulang ke rumah, dia terkejut apabila mendapati tangan anaknya membengkak dengan lebih teruk walaupun kanak-kanak itu hanya berdiam diri kerana mengakui kesilapannya.

Susulan itu, kanak-kanak berkenaan dibawa mendapatkan pemeriksaan doktor.

Berdasarkan notis rujukan yang dikongsi wanita tersebut, hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat lebam pada tapak tangan kiri serta kesakitan pada tulang metakarpal pertama, iaitu tulang di bahagian tapak tangan.

Doktor turut mengesyaki kemungkinan berlaku patah pada tulang metakarpal kiri dan kanak-kanak tersebut dirujuk untuk menjalani pemeriksaan sinar-X bagi pengesahan lanjut.

"Doktor nasihatkan saya untuk buat laporan polis," kata wanita itu.

Artikel Lain