KAKAK TUA Apa yang ditanam itulah yang tumbuh - Hiburan | mStar

KAKAK TUA Apa yang ditanam itulah yang tumbuh

Sebagai insan, bukan saja kita dipertanggungjawabkan atas apa yang kita lakukan dan tuturkan, tetapi putaran alam lumrahnya kalau jahat yang dilakukan, jahatlah balasannya. Begitu juga sebaliknya.

Maknanya kalau masa dulu-dulu kita jahat, siap sedialah tunggu pulangannya. Lainlah kalau kita bertaubat dan Allah tutup segala keaiban kita semasa zaman 'jahiliyah' dulu. Jadi tak payahlah keluh kesah. Terima sajalah bila 'dijatuh hukum.'

Tak mungkin terjadi, istilah 'ku tanam padi tumbuhnya lalang'. Mesti ada tersilap mana-mana.

Bila usia tua mula menjengah, banyak perkara mungkar dan dosa silam mengundang penyesalan dan timbullah kegelisahan yang bukan sedikit. Tika mendapat peringatan, mulalah terkeluar kenapa dan mengapa. Jarang yang hendak salahkan diri sendiri.

Bagi mereka yang mahu berfikir, semua ini adalah kifarah dan proses kedewasaan yang harus kita lalui dan jalan yang sudah tertulis.

Begitulah juga rentetan cerita kisah-kisah sebal yang ditempuhi oleh artis kita. Banyak sungguh kisah pilu, lucu, sedih dan luka disajikan di akhbar saban waktu.

Kes cerai artis menjadi topik paling hangat. Ada yang terpaksa menuntut nafkah kerana suami hilang entah ke mana, pengesahan lafaz cerai, kesahihan status nikah dan macam-macam lagi hinggalah ke bekas kekasih menengking di set penggambaran sampai terjejas air muka pun menjadi tajuk utama.

Agaknya bila kocak air sudah melimpah ruah, barulah terasa malu dan bahang api kemarahan mulai reda. Isu menuntut cerai kerana suami ada hubungan luar pun senyap begitu saja.

Tapi suratan takdir tu kan tidak boleh dielak, macam juga retak bermadu.

Walau mulut kata tidak pada poligami, kalau hendak jadi juga, siapalah kita hendak menghalang? Mungkinkah rasa penyesalan kini bersarang di hati Abby Abadi setelah melihat kembali rakaman video menyerang suami.

Semua kisah ini sebenarnya adalah kisah biasa dalam masyarakat. Cuma kisah artis ini 'istimewa' sikit, diberi perhatian lebih kerana ada nilai komersialnya. Itu saja.

Niat tempelak jauh sekali kerana roda itu tidak senantiasa berada di atas. Besok, lusa, ke bawah juga. Hari ini hari dia, besok hari kita.

Kakak Tua selalu pesan pada anak-anak buah. Bila hidup diulit kesenangan, jangan sekali berjalan mendongak langit dan buat-buat tak nampak rumput di bumi. Jauhkan kata dusta kerana kita tidak tahu apa akan jadi di hari muka.

Kerana bila 'rakaman video' diulangtayang, kita juga yang akan malu. Kalau dulu, mati-mati tak mengaku pasangan kekasih, alih-alih bila putus kasih bising satu Malaysia. Kena tengkingpun, dijadikan berita. Cuba ingat balik kisah penafian 'kami bukan kekasih' atau seperti kes Mawi-Ikin, 'kami tidak bercinta'. Keratan akhbar menjadi bahan bukti pembohongan dan itu adalah bukti yang nyata.

Maka sebab itu jangan sekali cuba bercakap bohong. Ibu segala kejahatan ialah dusta. Wajah kebenaran dapat dijelmakan dalam bermacam bentuk kerana itu semua kerja Tuhan.

Kalau dulu menyorok kerana tidak mahu media menghidu di mana lokasi sebenar setelah tersebar video lucah, kini media pula dicari sebab tidak tahu mana suami menghilang.

Semua ini adalah memori silam dalam 'inbox' kepala kita. Terlalu banyak terpahat insiden suka duka. Tapi berapa ramai yang bersyukur setelah terselamat melalui episod hitam dalam hidupnya.

Kakak Tua jadi hairan kenapa masih ada yang bersikap bila dah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Adakah sifat kurang bersyukur membuat kita memilih jalan pintas?

Bila 'sibuta' sudah menyeberang jambatan, tongkat dibuang, ikatan terlerai. You go my way, I go my way. Mungkinkah itu yang terjadi dalam perhubungan Vernon-Ning?

Mustahil budi segunung emas dibalas begitu? Bukan sedikit mala yang terpalit dimuka Ning satu ketika dulu tapi disiram dengan air mawar oleh Vernon sehingga pihak media pendamkan saja insiden cela itu.

Berkat bimbingan pengurus yang komited, cekap dan bijak, Ning berada di mercu seperti sekarang. Tapi sekali air bah, sekali pantai berubah. Kasih suami mengatasi segala dan mungkin itulah sebaiknya fikir Ning.

Pesan Kakak Tua, jadam itu jangan cepat dibuang dan madu itu jangan cepat ditelan. Batu nilam seperti Vernon dicampak ke mana saja, kilau dan harganya tetap ada.

KAKAK TUA: Hangus tidak berapi, karam tidak berair

Artikel Sebelum

Faizal mahu jadi pemuzik sejati

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Misha Omar kembali 'bernafas'

Artikel Lain