SELEPAS berdepan detik sukar melawan kanser serviks sejak dua tahun lalu, bekas anggota kumpulan Crayon Pop iaitu ChoA kini berkongsi berita gembira apabila disahkan hamil anak kembar.
Menerusi satu hantaran di media sosial, ChoA, 35, memaklumkan kandungannya kini hampir mencecah tiga bulan sekali gus menyifatkan kehamilan itu sebagai keajaiban terbesar dalam hidupnya.
“Akhirnya, kehidupan yang sangat kami nantikan telah hadir. Sehingga hari ini, kandungan saya berusia 10 minggu dua hari dan ia adalah kembar seiras,” katanya.

ChoA menangis apabila mengetahui dia hamil anak kembar.
Lebih menyentuh hati, kehamilan ini berlaku selepas dua tahub ChoA disahkan menghidap kanser rahim.
Sepanjang menjalani rawatan, ChoA tidak pernah berputus asa dan sering berkongsi perkembangan kesihatan serta semangatnya bersama para peminat.
Malah, beberapa doktor sebelum ini pernah memaklumkan peluang penyanyi itu untuk hamil sangat tipis akibat komplikasi rawatan yang dijalani.
Namun, rezeki menyebelahinya apabila dia menemui sebuah hospital yang berjaya melakukan pembedahan membuang sel kanser tanpa menjejaskan fungsi kesuburannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Badriah rupanya hamil anak kembar, sedih terpaksa gugurkan satu janin
ARTIKEL BERKAITAN: Berdepan masalah kesuburan, Amber Heard syukur timang cahaya mata kembar
Selepas pulih sepenuhnya, ChoA memulakan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dan berjaya pada percubaan pertama.
“Saya disahkan hamil pada cubaan pertama. Sebenarnya saya nak umumkan lebih awal, tapi memandangkan kandungan masih di peringkat awal, saya tunggu dulu untuk kepastian,” jelasnya.
ChoA juga berkongsi dia mengalami alahan teruk sejak awal kehamilan sekali gus membuatkan dia sukar untuk terus menyembunyikan berita tersebut.

Choa dan suami dijangka timang cahaya mata kembar pada Mac tahun hadapan.
Menariknya, walaupun hanya satu embrio dipindahkan, embrio tersebut berpecah secara semula jadi dan menghasilkan bayi kembar seiras iaitu sesuatu yang jarang berlaku dan hanya mencatat kira-kira 1 peratus kemungkinan.
Dalam masa sama, ChoA memaklumkan dia akan berkongsi perjalanan kehamilan dan rawatan kesuburannya menerusi saluran YouTube peribadinya, ChoA Life dengan harapan ia dapat memberi semangat kepada pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.
Untuk rekod, ChoA mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan pada Disember 2021 dan pasangan ini dijangka menerima cahaya mata kembar pada Mac tahun depan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


