PENYANYI dangdut legenda, Rhoma Irama, 78, menjadi bualan ramai apabila memimpin solat Jumaat pada hari pembukaan festival muzik Pestapora yang berlangsung di JIExpo Kemayoran, Jakarta Pusat, Indonesia kelmarin.
Uniknya tahun ini, Rhoma bukan sahaja menjadi penyanyi, malah mengimamkan ribuan pengunjung yang hadir.
Rhoma menyampaikan khutbah mengenai akhlak Rasulullah sempena Hari Kelahiran Nabi Muhammad.
Peristiwa itu sekali gus menjadi momen manis apabila ribuan peminat berpeluang merasai pengalaman yang berbeza.
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas tujuh tahun, Sheila On 7 hilangkan rindu peminat di Latihan Pestapora Malaysia 2025
ARTIKEL BERKAITAN: 17 tahun bercerai, Rhoma Irama dikhabar mahu rujuk dengan bekas isteri
"Saya tak pernah terfikir untuk solat Jumaat di tengah festival muzik, lebih-lebih lagi Abang Haji Rhoma sebagai imam," kata salah seorang penonton yang turut serta menunaikan solat Jumaat.
Barisan penyanyi yang membuat persembahan di Pestapora 2025.
Dalam masa sama, seorang peminat dikenali Thoifur turut merasakan hal sama dan berasa teruja meskipun dilaksanakan di bawah terik matahari.
"Biasanya, kalau ada acara muzik besar seperti ini sukar untuk solat Jumaat tetapi kali ini terasa lebih tenang kerana disediakan kemudahan untuk beribadat. Tabik dengan pihak penganjur kerana kami tidak perlu keluar masuk ke kawasan festival," menurutnya.
Festival muzik Indonesia, Pestapora 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 September menampilkan ramai penggiat seni terkenal antaranya Tulus, Bernadya, Raisa, Slank, serta Sheila on 7.


