PELAKON asal Korea Selatan, Lee Soo Hyuk mencetuskan kebimbangan peminat selepas dilaporkan mengalami keletihan melampau ketika menghadiri sesi bertemu peminat di Hangzhou, China 30 Ogos lalu.
Acara itu merupakan fan meeting pertama Soo Hyuk, 37, di negara tersebut dan berjaya mencuri perhatian ramai apabila tiket habis dijual dalam beberapa minit sahaja.
Bagaimanapun, menurut laporan media Taiwan, EBC, pihak penganjur dikatakan menjual tiket melebihi kapasiti dan menyebabkan Soo Hyuk terpaksa melakar tanda tanga untuk ribuan peminat selama hampir 12 jam tanpa henti.

Soo Hyuk dilihat hampir pengsan.
Lebih mengejutkan, beberapa saksi mendakwa melihat pelakon itu terhuyung-hayang serta berpeluh-peluh akibat kegagalan sistem pendingin hawa di lokasi acara.
Situasi itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat yang menyifatkan pihak penganjur tidak bertanggungjawab kerana membebankan artis secara berlebihan dan mengabaikan aspek kesihatan.
Susulan insiden itu, agensi pengurusan Soo Hyuk iaitu Saram Entertainment tampil mengeluarkan kenyataan rasmi pada 3 September bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Malah, agensi turut mengakui kekurangan dalam aspek pengurusan dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam merancang acara pada masa hadapan demi menjaga kebajikan artis serta keselesaan peminat.
ARTIKEL BERKAITAN: Kasut Bukti Persahabatan G-Dragon & Lee Soo Hyuk
ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun kerja keras, Park Shin Hye terbang ke AS untuk bercuti... Lega suami izin keluar dengan kawan sekolah
"Setiap momen yang dikongsi bersama peminat adalah sangat berharga buat kami dan Soo Hyuk. Justeru, kami amat kesal dengan situasi tidak dijangka yang berlaku sepanjang acara tersebut.
"Kami mengambil insiden ini sebagai pengajaran untuk menambah baik persiapan bagi acara-acara akan datang. Harapan kami agar Soo Hyuk dan peminat yang menyokongnya tidak hilang semangat serta keikhlasan mereka.
"Terima kasih kepada semua rakan kerjasama, kakitangan dan penganjur yang menjayakan acara ini. Kami akan terus menyokong Soo Hyuk dalam aktiviti masa hadapannya,” katanya.
Walaupun kenyataan telah dikeluarkan, netizen di Korea Selatan dilihat kurang berpuas hati dan mengkritik pengurusan artis itu kerana gagal menjaga kebajikan dan kesihatan Soo Hyuk dengan sebaiknya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


