PENYANYI rap P. Diddy atau Sean Diddy Combs, dipercayai menggunakan taktik baharu bagi membolehkan dirinya dibebaskan dari penjara sementara menunggu keputusan mahkamah.
Peguamnya, Marc Agnifilo, mendakwa Diddy, 55, menerima layanan tidak berperikemanusiaan ketika ditahan di Metropolitan Detention Center (MDC), Brooklyn, Amerika Syarikat.
Dalam surat rayuan yang dikemukakan, Agnifilo mengkritik keadaan penjara tersebut dan mendakwa anak guamnya diberi makanan telah tamat tempoh serta dipenuhi ulat.
Diddy rayu agar dibebaskan sementara waktu.
Dia turut menyertakan beberapa foto sebagai bukti keadaan makanan yang diterima Diddy sepanjang berada dalam tahanan.
“Makanan yang dipenuhi ulat seperti dalam gambar itu, malangnya, bukanlah sesuatu yang luar biasa,” katanya seperti dipetik dari Page Six.
Namun begitu, rayuan tersebut ditolak oleh hakim yang menyifatkan Diddy berisiko melarikan diri atau membahayakan orang lain, sekaligus tidak layak untuk dibebaskan walaupun buat sementara waktu.
ARTIKEL BERKAITAN: P. Diddy didapati bersalah atas dua tuduhan pelacuran
ARTIKEL BERKAITAN: Anak P. Diddy kerjasama dengan Kanye West, hasilkan lagu 'Diddy Free'
"Dia berisiko melarikan diri atau membahayakan orang lain,” ujarnya.
Pada Julai lalu, Diddy telah disabitkan bersalah atas dua pertuduhan membawa individu untuk tujuan pelacuran, membabitkan bekas teman wanitanya, Cassie Ventura, serta seorang lagi wanita dikenali sebagai Jane.
Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tiga pertuduhan lebih serius iaitu pemerdagangan seks terhadap dua individu serta konspirasi jenayah terancang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


