suria

Ekonomi Malaysia Dijangka Tumbuh 4.2 - OCBC:

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 4.2 peratus tahun ini, disokong oleh peningkatan eksport, pemulihan harga komoditi dan penggunaan domestik yang tinggi.

Pakar Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata eksport negara diunjur berkembang antara tiga dan empat peratus tahun ini disokong oleh eksport komoditi dan elektronik.

"Harga minyak dijangka pulih dan meningkat sehingga US$65 (US$1 = RM4.43) setong tahun ini, disokong oleh pengurangan bekalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC," katanya pada taklimat mengenai Prospek Ekonomi 2017, di sini, Selasa.

Wellian berkata apabila harga minyak pulih semula, semua harga komoditi juga akan mendapat manfaat daripadanya kerana Malaysia adalah pengeksport bersih komoditi.

Minyak Mentah Brent kini berlegar sekitar US$55 setong.

Beliau berkata langkah-langkah fiskal yang dilaksanakan kerajaan termasuk bagi perkhidmatan awam yang terdiri lebih daripada 10 peratus tenaga kerja juga membantu menyokong pertumbuhan domestik.

Menurutnya, pemulihan harga minyak akan memberi kelebihan kepada Malaysia tetapi tidak sebegitu banyak kerana tahap pergantungan negara kepada minyak semakin berkurangan sejak beberapa tahun ini semasa kegawatan harga minyak.

"Kerajaan mengambil tindakan bijak berusaha untuk memisahkan bajet fiskal Malaysia daripada harga minyak dengan mengurangkan sumbangan minyak serta perbelanjaan dari segi subsidi," katanya.

Bagi situasi secara keseluruhannya, katanya, pemulihan harga minyak ditambah dengan peningkatan harga komoditi lain merupakan suatu yang positif kepada Malaysia.

Namun begitu, Wellian berkata, meskipun eksport dijangka berkembang, import juga diunjur meningkat sejajar dengan eksport, yang membawa kepada pengurangan lebihan akaun semasa negara kepada 1.5 hingga dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Bagaimanapun, katanya, ini mungkin petanda baik, memandangkan peralihan dalam struktur ekonomi, dengan peningkatan pelaburan, membawa kepada import tinggi barangan modal.

"Peningkatan kitaran pelaburan bagus bagi tempoh jangka panjang tetapi anda terpaksa 'menderita' dalam tempoh jangka pendek kerana import juga meningkat, menyebabkan lebihan akaun semasa yang semakin mengecil," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, memiliki lebihan akaun semasa buat masa sekarang perlu dilihat sebagai suatu yang positif memandangkan kebimbangan terhadap aliran keluar modal disebabkan faktor-faktor global.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Wellian berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar pada tiga peratus tahun ini, kerana negara terus mencatatkan pertumbuhan yang baik.

"Jika pertumbuhan anda kekal kukuh, mengapa perlu membuang masa. Jadi, saya rasa kadar faedah dijangka kekal pada paras semasa," katanya.

Mengenai ringgit, beliau berkata unit tempatan berada di bawah nilai yang ketara berbanding dengan kadar pertukaran efektif sebenar jangka panjang disebabkan sentimen pasaran lemah meskipun asas ekonomi kukuh.

Beliau berkata bank pusat dijangka menumpu membangunkan semula rizab asing sebagai penampan terhadap kemudahruapan.

Mengenai cabaran perdagangan global, beliau berkata ia dijangka terus dibayangi ketidakpastian terutamanya dari segi peningkatan usaha perlindungan perdagangan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Menurutnya, dasar perlindungan perdagangan Presiden AS Donald Trump, sekiranya dilaksanakan, akan memberi kesan kepada Malaysia memandangkan eksport AS menyumbang 5.8 peratus daripada KDNK negara.

Bagaimanapun, katanya, impak kepada Malaysia agak kecil berbanding negara-negara serantau lain yang mempunyai pergantungan lebih tinggi kepada eksport AS seperti Vietnam (15.4 peratus), Hong Kong (15.2 peratus), Taiwan (10.1 peratus), Singapura (7.9 peratus) dan Thailand (5.9 peratus).

Beliau berkata cabaran lain bagi ekonomi Malaysia ialah pemulihan industri minyak syal AS susulan pengukuhan harga minyak.

"Pada harga minyak tinggi, lebih banyak pengeluaran minyak syal akan lebih menjimatkan dan bekalan yang bertambah akan menjadi risiko," kata Wellian.

Sementara itu, beliau berkata penarikan diri AS daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) telah menjadikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diterajui China lebih penting kepada perdagangan serantau.

"Mencari titik persamaan dan meneroka ruang baharu bagi kerjasama ekonomi yang lebih erat, seperti penubuhan RCEP, telah menjadi malahan lebih penting bagi ekonomi ASEAN dan juga rakan serantaunya yang lain," katanya. 

Artikel Lain