suria

Kerajaan Thailand Gesa Rakyat Bertenang Ekoran Penurunan Rizab Perbendaharaan

BANGKOK: Kerajaan Thailand berusaha menenangkan kegelisahan rakyatnya berhubung penurunan mendadak perbendaharaan dengan menyatakan keadaan fiskal negara itu masih kekal kukuh.

Rizab perbendaharaan negara itu susut daripada 495.75 bilion baht (RM1 = 7.8 baht) semasa kerajaan tentera sekarang mengambil alih kuasa pada 2014, kepada 74.91 bilion baht pada 27 Jan, 2017.

Menteri Kewangannya Apisak Tantivorawong menjelaskan paras rizab yang rendah itu adalah disebabkan oleh pengurusan efektif yang diguna pakai kementeriannya untuk meminimumkan kos faedah bagi pinjaman.

"Kami menetapkan paras optimum rizab perbendaharaan pada 50-100 bilion baht.

Jadi dengan mempunyai 300-500 bilion baht adalah terlalu banyak. Kita mengekalkan rizab rendah, kita dapat berjimat hampir dua bilion baht dalam kos faedah, satu jumlah yang boleh dibelanjakan dengan lebih baik lagi," beliau dipetik sebagai berkata kepada media tempatan pada Selasa.

Kerajaan, kata Apisak, bukan kehabisan wang kerana paras semasa rizab perbendaharaan itu adalah mencukupi.

Beliau yang juga merupakan bekas ketua Krungthai Bank juga berkata walaupun paras rizab perbendaharaan sekarang merosot, kerajaan boleh meminjam 80 bilion baht daripada pasaran kewangan untuk mengekalkan mudah tunai.

Menurutnya, amaun rizab perbendaharaan sekarang itu bukan yang terendah pernah dicatatkan kerana ia pernah jatuh kepada 52 bilion baht pada 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Lain