suria

Industri Perkapalan Nantikan 'Angin Perubahan' Pada 2016

KUALA LUMPUR: Selepas menerima kesan daripada kelembapan ekonomi global pada tahun ini, industri perkapalan Malaysia mahukan 'angin perubahan' pada tahun 2016, menjangka peningkatan dalam perdagangan laut.

Tahun ini menyaksikan Indeks Kering Baltic (BDI), petunjuk yang memantau keadaan ekonomi dunia dengan menjejaki harga bahan-bahan mentah utama melalui laut, susut kepada paras terendah dalam tempoh tiga dekad sebanyak 498 mata pada 20 Nov.

"Prospek di seluruh dunia bagi industri perkapalan tidak sekata", kata Ketua Pegawai Eksekutif Westports Holdings Bhd, Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Walaupun beberapa negara dan wilayah menghadapi cabaran ekonomi baru-baru ini, yang lain mengekalkan momentum positif, katanya.

Sehubungan itu, Westports bekerjasama dengan pelanggannya untuk memastikan mereka dapat memaksimumkan pertumbuhan yang menggalakkan bagi sektor itu, katanya kepada Bernama.

Selain perdagangan global, harga komoditi turut memberi kesan kepada industri perkapalan, kata Shahrull Allam Shah Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Bhd yang merupakan unit milik penuh MMC Bhd.

Apabila harga rendah, katanya pengimport akan cenderung untuk membeli lebih banyak komoditi dan ia berlaku sebaliknya apabila harga meningkat.

Harga komoditi dijangka terus lembap atau merosot pada 2016, bagaimanapun ia tidak semestinya menjadi berita buruk bagi Johor Port, katanya.

Sebagai hab komoditi serantau dan terminal minyak sawit terbesar dunia, Johor Port akan meraih manfaat dengan peningkatan penggunaan gudangnya, katanya.

"Lebih ramai orang akan menyimpan komoditi mereka di gudang kami dan menjualnya apabila mereka mendapat harga yang sesuai," katanya, memetik Bursa Logam London (LME), pusat dagangan logam industri dunia, antara pelanggan pelabuhan itu.

Johor Port memperuntukkan antara RM300 juta dan RM400 juta untuk membaik pulih pelabuhannya bagi pertumbuhan masa depan, yang termasuk menambah baik dermaga, peluasan gudang serta membaik pulih dan membeli peralatan baharu.

Johor Port pada masa ini mengendalikan hanya 800,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), setahun dan mempunyai kapasiti untuk 1.2 juta TEU.

Bagi keseluruhan kapasiti pengendalian kargo pada 2015, pelabuhan Malaysia mencatatkan kendalian kontena sebanyak 20.05 juta TEU antara Januari dan Oktober 2015 berbanding 22.67 juta TEU dicatatkan pada 2014.

Setakat ini, perniagaan kontena kelihatan lebih baik berbanding pelabuhan negara jiran, berikutan kadar pertukaran pemindahan yang menggalakkan di Malaysia, yang menarik kapal-kapal ke perairan negara.

Misalnya, Westports mula memberi perkhidmatan kepada tiga buah syarikat perkapalan, iaitu CMA CGM Group, United Arab Shipping Company dan China Shipping Container Lines Company.

Ahli pakatan perkapalan lain seperti 2M (yang menghimpunkan syarikat perkapalan terbesar dunia Maersk and Mediterranean Shipping Company),  CKYHE Alliance dan G6 Alliance, turut berlabuh dengan Westports.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini mengumumkan kapasiti pengendalian kargo Malaysia dijangka berkembang lebih 7.5 peratus pada tahun ini berbanding 22.67 juta TEU yang dicatatkan pada 2014.

Sasaran itu akan dipacu oleh peningkatan kerjasama antara Malaysia dan China, termasuk inisiatif pelabuhan berkembar.

Lembaga Pelabuhan Klang mempunyai hubungan pelabuhan berkembar dengan Pelabuhan Ningbo dan Dalian.

Dengan pemulihan inisiatif Laluan Sutera Maritim (MSR) abad ke-21, mereka telah menjalin hubungan pelabuhan berkembar dengan lapan lagi pelabuhan China -- Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Fuzhou, Beibu, Taicang, Shenzhen dan Hainan.

Sementara itu, antara perkembangan penting dalam industri perkapalan Malaysia pada tahun ini adalah semakan semula tarif kontena di Pelabuhan Klang selepas 14 tahun dan langkah oleh MMC Bhd untuk mengambil kawalan penuh pengendali Northport, NCB Holdings Bhd.

MMC, yang memegang 30.13 peratus kepentingan dalam NCB, mengambil alih  53.42 peratus lagi, meningkatkan gabungan kepentingannya kepada 83.55 peratus sekaligus mencetuskan tawaran awam mandatori.

MMC telah mengumumkan bahawa NCB akan dinyahsenarai susulan pengambilalihan itu.

Sementara itu, pada 5 Ogos, Kementerian Pengangkutan telah meluluskan semakan semula tarif pelabuhan yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, masing-masing dengan purata kenaikan sebanyak 15 peratus.

Fasa pertama sebelum ini dijangka berkuat kuasa pada 1 Sept, dan dibawa ke hadapan sebanyak dua kali kepada 1 Oktober dan kemudian pada 1 Nov, 2015 Kenaikan kedua pada 1 Sept, 2018.

Semakan semula tarif Pelabuhan Klang itu merangkumi bayaran pengendalian terminal kontena import, eksport, pemunggahan, pengalihan dan pemuatan semula, bayaran penyimpanan kontena dan bayaran kendali bagi angkat berat atau kargo tanpa kontena.

Johor Port turut dijangka mengikutinya, antara lain semakan itu bagi bayaran pengendalian terminal kontena import, eksport, pemunggahan dan bayaran pengendalian untuk kargo kering, cecair dan am.

"Kami sedang berunding dengan Lembaga Pelabuhan Johor mengenai tarif dan pada akhir tahun depan, ia dapat dimuktamadkan," kata Shahrull Allam Shah.

Lembaga Pelabuhan Johor telah menaikkan purata 10 peratus daripada keseluruhan tarif pelabuhan kira-kira tiga tahun lepas, iaitu semakan semula tarif pertama sejak ia mula beroperasi pada 1977.

Artikel Lain