suria

Tiada Jalan Mudah Untuk PKS

KUALA LUMPUR: Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana  (PKS) yang berhadapan cabaran sukar tahun ini akibat perbelanjaan pengguna yang lebih kecil disebabkan penurunan jualan runcit, perlu bangkit tahun depan menerusi pembangunan kapasiti dan menembusi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), selain pasaran global.

Berdasarkan sumbangan 98.5 peratus daripada peniagaan negara, mereka merupakan tulang belakang sektor perindustrian Malaysia, dan atas hakikat inilah mengapa mereka tidak wajar menyerah kalah untuk berhadapan cabaran, malah  sebaliknya perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam pasaran yang sangat kompetitif.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Datuk Hafsah Hashim, menggesa PKS supaya terus menumpukan perniagaan masing-masing ke atas pembangunan kapasiti selain meneruskan strategi model perniagaan mereka.

Industri itu juga perlu menguasai teknologi maklumat dalam penyelesaian peniagaan dan memanfaatkan platform e-dagang, katanya.

Cabaran akan terus wujud, sebagai contoh tahun ini, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menyebabkan perbelanjaan pengguna yang rendah, pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ringgit yang lemah selain isu jerebu.

Dan, mereka berkemungkinan berhadapan cabaran yang sama tahun depan, namun yang penting, mereka perlu bersedia untuk mengharunginya," katanya.

Menurut SME Corp, agensi yang ditubuhkan untuk merangsang pembangunan PKS, industri itu menyaksikan pertumbuhan 13.6 peratus kepada 35.9 peratus tahun lepas, pertumbuhan tertinggi yang direkodkan sejak ia mula dinilai.

"Namun akibat ketidaktentuan dalam pasaran tempatan dan dunia, jika kita dapat bertahan sekurang-kurang pertumbuhan satu peratus setahun, sudah dianggap pencapaian yang cukup baik," kata Hafsah.

Pertumbuhan tunggal yang konsisten juga akan membolehkan industri mencapai sasaran sumbangan 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding kira-kira 36 peratus tahun lepas, katanya.

"Pasaran anda bukan lagi Malaysia, tetapi dunia, oleh itu anda perlu pastikan apa sahaja produk dan perkhidmatan yang anda promosikan berbeza dengan saingan dan mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Hafsah berkata 80 peratus PKS berorientasikan domestik.

Oleh itu SME Corp sentiasa melaksanakan program untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan penggiat industri terhadap pelbagai isu membabitkan sektor berkenaan, termasuk yang berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), katanya.

Pembentukan AEC sebagai blok dagangan baharu pada akhir tahun juga, akan membuka pasaran yang lebih luas untuk perniagaan dan pelaburan tempatan, katanya.

Untuk tahun ini sahaja, SME Corp sudah menjalankan 60 program capaian di seluruh negara, bersama agensi berkaitan.

"Semasa kami menjalankan kajian pada April lepas, hanya 1.3 peratus daripada 2,336 PKS yang dikaji memahami sepenuhnya bagaimana AEC akan memberi manfaat kepada mereka, dan kami mendapati hanya 13 peratus syarikat mendengar mengenai AEC.

"Namun dalam kajian yang dilakukan pada September dan Oktober, 60 peratus daripada mereka sudah mempunyai pengetahuan yang baik mengenai manfaat AEC selain pemahaman ke atas TPPA," katanya.

Namun, katanya prestasi PKS perlu sentiasa dipantau bagi memastikan pewujudkan lebih banyak pekerjaan selain meningkatkan eksport.

"Kami sudah menetapkan sasaran bahawa menjelang 2020, sumbangan PKS kepada pekerjaan mesti mencapai 62 peratus berbanding semasa memulakan Pelan Induk PKS 2009 sebanyak 59 peratus. Namun tahun lepas, kita mencatat sumbangan 65 peratus PKS kepada pekerjaan secara menyeluruh.

"Sementara itu bagi eksport, kami berharap dapat meningkatkan tahapnya kepada 23 peratus berbanding 17.6 peratus (pada 2009)," katanya dan menambah, SME Corp akan memastikan dana RM9.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2016 diterjemahkan kepada peningkatan sumbangan PKS kepada KDNK.

Dana RM9.5 bilion dibahagikan kepada pelbagai bahagian iaitu RM5.3 bilion untuk pertanian, RM1.3 bilion skim pembiayaan PKS, RM235 juta (inisiatif eksport) dan RM850 juta (inovasi, produktiviti dan penyelidikan  and  pembangunan).

Dalam bajet 2015, sejumlah RM11.4 bilion diperuntukkan untuk pembangunan PKS, tidak termasuk pembiayaan daripada sektor swasta.

Beliau berkata SME Corp juga bekerja besama-sama 15 kementerian dan 60 agensi untuk mengesan PKS menerusi Pelan Tindakan Bersepadu PKS bagi menilai semua program anjurannya dalam enam bidang teras : tahap produktiviti, jumlah pekejaan yang diwujudkan, hasil jualan, akses pasaran serta teknologi, inovasi dan keuntungan.

Setelah melaksanakan tindakan itu, SME Corp bersama rakannya dapat melihat pulangan ke atas pelaburan selain melihat keputusan bermakna pada peringkat makro, tahap program dan tahap syarikat.

"Di peringkat syarikat sebagai contoh, anda akan melihat syarikat kini semakin meningkat daripada penarafan dua bintang menerusi Penarafan Daya Saing PKS bagi Penambahbaikkan (SCORE) kepada penarafan tiga bintang, dan menerusi dana yang disediakan untuk mereka, kami dapat menjejaki prestasi mereka di peringkat syarikat," katanya.

Kini terdapat 7,500 syarikat bertaraf tiga bintang dan SME Corp menyasarkan untuk meningkatkan mereka kepada perusahaan empat bintang.

Pemantau industri juga mencadangkan agensi seperi SME Corp turut menggalakkan mereka untuk membeli insurans perniagaan.

Kajian di Singapura baru-baru ini mendapati satu daripada tujuh PKS di republik itu tidak mempunyai insurans perniagaan dan kedudukan itu sama di Malaysia, katanya.

Insurans perniagaan merupakan elemen penting dalam perniagaan, terutama dalam kalangan PKS keran ia boleh menjadi penampan ketika susah.

PKS, SME Corp

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain