suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Jalur Gemilang gergasi bukan sekadar identiti SIC, pemuda kongsi kenangan cat bendera bersama bapa - “Itulah satu-satunya kenangan dengan arwah”

Dua foto memaparkan jentera F1 yang sedang dipandu di atas litar dengan berlatar belakangkan bendera gergasi ikonik di Sepang yang dimuat naik di media sosial penganjur, F1. -F1

DEMAM Formula 1 (F1) kembali menyapa negara dengan kehangatan perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad lalu.

Kemeriahan itu bukan sahaja dirasai oleh 261,000 penonton yang hadir di litar, malah segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia menyaksikan perlumbaan berkenaan dari rumah.

Bagi yang menonton perlumbaan tersebut, pasti perasan dengan kelibat Jalur Gemilang gergasi yang dicat di satu bahagian bukit di SIC. 

Malah, kebanyakan foto jentera F1 di atas litar yang diambil termasuk yang digunakan pelumba atau pasukan bersaing sering kali menjadikan bendera tersebut sebagai latar dan dikongsikan di media sosial.

Pemandangan ikonik jalur gemilang gergasi yang menjadi identiti SIC. -F1

Namun, bendera yang sudah menjadi sebahagian identiti litar kebanggaan negara itu sebenarnya menyimpan sebuah kisah peribadi dan kenangan berharga antara seorang anak dan bapa.

Menerusi satu hantaran tular di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Ady Hom Home berkata, lukisan bendera ikonik itu mengingatkan kepada bapanya iaitu Allahyarham Mahadi Md Desa.

Jelasnya, lukisan bendera tersebut adalah hasil kerja bapanya dan dia pernah membantu arwah menyiapkan mural gergasi berkenaan.

"Sekarang ini tengah hangat pasal F1, tiba-tiba aku teringat satu kenangan lama. Tahun 2004, masa aku Tingkatan 3. 

ARTIKEL BERKAITAN: Max Verstappen ulang kejayaan 2017, juara F1 Grand Prix Bahrain di Sepang

ARTIKEL BERKAITAN: Hujan lebat ubah keadaan trek, perlumbaan F1 di Sepang ditangguhkan

"Aku dengan arwah bapak aku pernah cat bendera Malaysia yang ada dekat Litar Sepang, bendera besar yang dilukis atas simen dekat salah satu selekoh litar," tulisnya.

Lebih menarik, Ady berkata, lukisan bendera itu dibuat berpandukan gambar bendera hasil carian dibuatnya di Google.

"Masa itu aku ambil gambar bendera dari Google, lepas itu aku tunjuk dekat bapak aku.

"Kami buat lining dulu, ikut bentuk bendera itu satu-satu. Lepas itu kami cat sampai siap," ujarnya.

  • Demam F1 membangkitkan memori terhadap bendera gergasi di Litar Sepang.

  • Bendera jalur gemilang identiti Litar Sepang.

  • Kisah di balik tabir jalur gemilang gergasi di Litar Sepang.

  • Jalur gemilang gergasi dicat dengan merujuk gambar di Google.

  • Bendera jadi kenangan paling berharga buat Ady dan bapanya.

Berkongsi lebih lanjut, Ady mengakui sebagai remaja ketika itu, dia hanya menganggap kerja mengecat bersama bapanya itu sebagai satu kerja biasa.

Namun selepas lebih 20 tahun berlalu, ia menjadi kenangan paling berharga bersama Allahyarham bapanya.

"Itulah antara satu-satunya kenangan yang aku ada bersama arwah bapa. Dulu aku tak tahu pun kenangan kecil macam itu akan jadi sesuatu yang sangat besar dalam hidup.

"Bila tengok balik F1 sekarang, aku bukan teringat kereta laju tetapi arwah bapak dan bendera Malaysia yang kami pernah cat sama-sama.

"Dan bendera itu masih tersergam indah di sana. Al-Fatihah buat arwah bapak. I love you Baba," tulisnya.

Artikel Lain