suria

“Jangan halau budak datang beraya” - Wanita tegur sikap tuan rumah amal dasar ‘tutup pintu’ di Aidilfitri

Kanak-kanak yang datang beraya adalah tetamu yang tetap perlu dilayan dengan baik. -Gambar hiasan AI

SEIRING peredaran zaman, kemeriahan Aidilfitri kini dilihat semakin pudar apabila tradisi ziarah-menziarahi semakin dilupakan masyarakat.

Kisah sayu ini dikongsikan oleh seorang wanita yang terkilan tentang layanan dingin segelintir tuan rumah terhadap tetamu cilik.

Semuanya bermula apabila sekumpulan lima orang kanak-kanak singgah ke rumahnya untuk beraya, namun apa yang diceritakan mereka benar-benar meruntun jiwa.

Rupanya, dalam banyak-banyak rumah yang dikunjungi, hanya kediaman wanita ini sahaja yang sudi membuka pintu dengan tangan terbuka.

"Semalam ada lima orang budak datang beraya. Abang saya tanya mereka dah pergi berapa rumah, mereka jawab lima rumah tapi rumah kami saja yang bagi mereka masuk, bagi minum, makan dan rehat,” kongsinya.

Setiap kanak-kanak pastinya teruja setiap kali menerima duit raya. -Gambar hiasan AI

Jawapan yang diberikan oleh kanak-kanak itu membuatkan wanita ini berasa terkilan dengan sikap tuan rumah yang dikunjungi mereka.

Malah, dia turut mengambil contoh diri sendiri yang tetap menyambut baik kehadiran anak-anak kecil itu untuk datang beraya walaupun dalam keadaan belum bersedia.

"Anda semua ni jangan la halau budak nak datang beraya. Sedih tau dengar. Mereka datang 'bawa' rezeki.

"Untuk pengetahuan, kami pun belum bersedia lagi nak terima tetamu masa tu. Masing-masing berbaju tidur lagi. Tapi biarkan saja la," ceritanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dah gelap tetap gigih nak gegar! Wanita geram jiran sekampung datang beraya lewat malam - “Bodoh, jenis manusia tak peka”

ARTIKEL BERKAITAN: “WhatsApp tak buat korang muflis” - Bengang 50 tetamu datang mengejut, wanita rayu jangan normalisasi budaya ‘terjah’ ketika raya

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing.

Malah terdapat juga pandangan bahawa segelintir kanak-kanak kini hanya datang untuk mendapatkan duit raya tanpa mahu menikmati hidangan yang disediakan.

"Budak-budak yang datang beraya di rumah saya tak nak minum. Datang demi nak kumpul duit raya saja.

"Suami saya baru 'halau' budak. Tapi dia cakap dekat mereka sudah malam ni dik, datang esok boleh? Nasib baik budak-budak tu okey sebab sudah pukul 10 malam.

  • Kemeriahan hari raya makin pudar, kanak-kanak beraya kurang dilayan.
  • Wanita kecewa hanya rumahnya terima mereka datang beraya.
  • Budak pergi banyak rumah tapi tak dipelawa masuk.
  • Netizen kongsi pengalaman sama.
  • Cuaca panas turut jadi kebimbangan orang ramai.

"Pagi-pagi lagi budak datang beraya. Kami dengan muka baru bangun tidur. Kami cakap ada kuih raya je. Dia cakap okey jadi saya bancuh air dan bagi makan kuih raya. Dalam 15 minit, mereka bergerak keluar, bagi duit raya," komen beberapa netizen.

Pada masa sama, segelintir netizen turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak yang beraya dari rumah ke rumah, khususnya dalam keadaan cuaca panas semakin membimbangkan ketika ini.

Sementara itu, pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca panas berterusan menyaksikan beberapa daerah di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak serta Sarawak.

Artikel Lain