suria

Sudah bertahun bayar zakat fitrah nenek... Sekali terlewat, lelaki ini dakwa dilayan berbeza - “Bukti bukan cucu kesayangan”

Seorang nenek sepatutnya tahu untuk menjaga perasaan cucu-cucunya sendiri. -Gambar hiasan AI

NIAT murni ingin membantu meringankan beban akhirnya mengundang rasa kecewa.

Seorang individu meluahkan rasa terkilan selepas mendakwa neneknya bersikap pilih kasih dalam kalangan cucu, termasuk dalam perkara melibatkan bayaran zakat.

Menurut individu berusia 31 tahun itu, sejak beberapa tahun lalu dia secara sukarela menunaikan bayaran zakat fitrah bagi pihak neneknya dan akan memaklumkan perkara tersebut secara peribadi kepada warga emas berkenaan.

Namun tahun ini situasinya sedikit berbeza apabila dia terlewat membuat bayaran tersebut, sekali gus mencetuskan situasi yang tidak disangka-sangka.

Umat Islam yang cukup syarat diwajibkan menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadan. -Gambar hiasan AI

"Sudah beberapa tahun, saya bayarkan zakat fitrah nenek. Saya maklumkan pada dia. Dia pun cakap terima kasih. Tapi tahun ni saya lambat sikit bayar.

"Tiba-tiba dia umumkan dalam grup famili (kumpulan WhatsApp) yang zakat dia sudah dibayar oleh cucu lagi seorang," ujarnya dalam hantaran di Threads.

Jelas pengadu, dia tidak mengharapkan namanya disebut sebegitu pada tahun-tahun sebelumnya namun berasa hairan dengan tindakan nenek membuat pengumuman sedemikian.

Individu itu turut mendakwa tindakan neneknya itu memperlihatkan sikap pilih kasih yang sudah lama berlaku dalam keluarganya, sejak dia masih kecil lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru bertunang dah ‘feeling’ nak bayar zakat fitrah untuk bakal isteri... Sah atau hanya sia-sia?

ARTIKEL BERKAITAN: Nak elak guna institusi zakat, ramai bayar fidyah kepada ahli keluarga... Hati-hati takut tak sah, kenali dulu siapa yang layak

"Tahun-tahun sebelum ni saya bayarkan zakat untuk nenek tapi tak pernah pun dia umum dalam grup. Tiba-tiba yang (cucu) ni dia beritahu.

"Saya tak minta disebut cuma berasa hairan kenapa dia punya perangai macam tu. Salah ke kalau saya terasa dengan apa nenek buat," katanya lagi.

Dalam ruangan komen, beberapa netizen turut memberikan pandangan terhadap situasi yang dialaminya.

  • Lelaki terasa hati apabila nenek mengumumkan cucu lain membayar zakatnya dalam group keluarga.
  • Sedangkan sebelum ini dia sudah bertahun-tahun menunaikan zakat nenek tanpa pernah disebut.
  • Individu berusia 31 tahun itu berkata dia bukan mengharapkan namanya dipuji.
  • Dia hairan dengan tindakan nenek yang tiba-tiba membuat pengumuman tersebut.
  • Dia juga mendakwa neneknya sudah lama bersikap pilih kasih dalam keluarga.

Ada juga yang mengakui perasaan sedih atau terasa hati dalam situasi sebegitu adalah sesuatu yang normal.

"Kalau macam tu balas je Alhamdulillah lepas ni boleh dah orang lain pula bayarkan.

"Wajar je perasaan awak tu. Tak apa tahun ni awak tak payah beria dekat nenek. Lagipun sudah diumumkan, bukti yang awak bukan cucu kesayangan tapi hakikatnya orang lain.

"Buat kerana Allah bukan harapkan balasan daripada insan tu. Saya pun tengah cuba untuk tak harapkan balasan, tapi susah kan? Tapi insya-Allah dipermudahkan," komen beberapa netizen.

Artikel Lain