suria

Panjat pagar rumah, bawa pisau nak toreh parcel... Wanita anggap anak jiran melampau!- “Mak dia acah-acah terkejut”

Kegagalan ibu bapa memantau anak-anak boleh mengundang perkara tidak diingini. -Gambar hiasan AI

DALAM kehidupan berjiran, adab dan sikap hormat-menghormati sepatutnya menjadi teras dalam usaha menjaga hubungan baik dan keharmonian bersama.

Namun tidak dinafikan masih wujud individu yang tidak mempunyai 'common sense', sebagaimana kisah yang dikongsikan wanita ini mengenai jiran sebelah rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak gembira masuk rumah baharu... Jiran pasang 'awning' ceroboh kawasan, risau jeriji tajam kena kepala

ARTIKEL BERKAITAN: Proses renovasi terganggu! Jiran asyik arah kontraktor berhenti buat kerja sebab bising, ganggu anak ‘work from home’

Menurut wanita tersebut, anak jirannya yang dipercayai berusia antara enam hingga tujuh tahun didakwa melampaui batas apabila memanjat pagar dan masuk ke kawasan rumahnya tanpa kebenaran.

Apa yang lebih mengejutkan, kanak-kanak berkenaan bukan sekadar menceroboh, malah cuba membuka bungkusan barangan yang ditempah (parcel) wanita tersebut yang berada di luar rumah.

Anak-anak perlu sentiasa dipantau agar tidak menimbulkan masalah atau risiko kepada orang sekeliling. -Gambar hiasan AI

"Betul-betul melampaulah jiran sebelah hari ni. Anak dia panjat pagar rumah aku. 

"Selamba masuk kawasan rumah dan bawa pisau kecil semata-mata nak buka parcel aku. Eh la, kecil besar je aku tengok.

"Aku buka pintu sergah dia, mencecet lari panjat pagar. Nasib baik tak tersula dekat besi pagar tu. Dah panggil mak dia pun, mak dia acah-acah terkejut," tulisnya dalam hantaran di Threads.

Wanita itu menegaskan, walaupun ada yang menganggap perkara tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan ia melibatkan kanak-kanak, namun baginya perilaku itu sudah melampaui batas adab dan keselamatan. 

  • Seorang wanita berkongsi pengalaman kurang menyenangkan berdepan jiran yang didakwa tidak mempunyai common sense.

  • Anak jiran berusia enam hingga tujuh tahun memanjat pagar dan menceroboh kawasan rumahnya tanpa kebenaran.

  • Kanak-kanak itu turut membawa pisau kecil dan cuba membuka parcel milik wanita berkenaan.

  • Wanita itu menegur ibu kanak-kanak tersebut namun enggan mengambil tindakan lanjut walaupun kejadian berulang.

  • Warga maya mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup sebagai langkah keselamatan.

Tambahan pula menurutnya, insiden 'pencerobohan' itu bukanlah kali pertama berlaku kerana pernah beberapa kali anak jiran yang sama 'kantoi' cuba membuka pintu pagar rumahnya.  

Menurutnya lagi, dia sekadar memberitahu ibu kepada kanak-kanak berkenaan mengenai perkara tersebut dan enggan mengambil tindakan lanjut kerana tidak mahu memanjangkan isu.

"Mak dia busy dekat dalam rumah. Memang jenis buka je pintu rumahnya. Anak-anak dia memang bebas keluar masuk," tulisnya lagi. 

Di ruangan komen, pelbagai respons diberikan oleh warga maya.  

Ada antara netizen yang mencadangkan wanita tersebut membuat laporan kepada pihak berkuasa, namun rata-ratanya menyarankan dia memasang kamera litar tertutup sebagai langkah keselamatan.

Artikel Lain