suria

Masuk cara baik, keluar diiringi polis! Penyewa kuat ‘drama’, kepala batu akhirnya akur kosongkan rumah sewa

Mohd Shafiq lega penyewa berkenaan akhirnya mengosongkan rumah selepas campur tangan polis.

"INI pengalaman pertama dan benar-benar mengajar saya."

Demikian kata seorang pemilik rumah, Mohd Shafiq Zulkarnain ketika berkongsi pengalaman pahit berdepan dengan penyewa bermasalah sehingga dia terpaksa membuat laporan polis susulan kedegilan individu berkenaan mengosongkan kediaman miliknya.

Terdahulu, Mohd Shafiq turut membuat perkongsian mengenai isu ini di laman sosial sehingga tular dan mencetuskan kemarahan warga maya.

"Tiada niat untuk viralkan namun itu adalah pilihan terakhir memandangkan penyewa tersebut tidak memberikan kerjasama," ujarnya ketika dihubungi mStar pada Selasa. 

Mohd Shafiq menampal notis meminta penyewanya mengosongkan kediaman pada 31 Ogos.

Berkongsi lebih lanjut, Mohd Shafiq, 33, berkata penyewa tersebut yang merupakan seorang wanita, mula menyewa unit apartment miliknya yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Ogos tahun lalu dengan kadar RM1,300 sebulan.

"Masa mula-mula nak sewakan, dalam ramai-ramai calon penyewa, dia orang pertama bayar deposit. Jadi saya dan isteri ingat dia tak bermasalah.

"Namun hanya sekitar tiga hingga empat bulan pertama je okay, kemudian mulalah culas bayar sewa. Mula-mula bayar lambat, kemudian tak bayar penuh dan kemudian terus tak bayar langsung hingga tertunggak ribuan ringgit. 

"Siap block nombor telefon kami. Kemudian dia gunakan kawan dia sebagai orang tengah, hingga akhirnya tak dapat dihubungi. Bila pergi ke rumah sewa, dia tak ada. Kami buntu... akhirnya pilihan terakhir terpaksa viralkan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyewa rasa ‘terpaling’ pandai hias rumah, siap berani jual perabot! Beli baru ikut selera sendiri - “Bagi alasan nak konsep minimalis”

ARTIKEL BERKAITAN: “Bayar dulu baru stay!” - Tuan rumah hilang sabar penyewa banyak ‘cekadak’, tak faham konsep sewaan

Selepas tindakan tersebut, ujarnya, seorang individu yang mengaku ibu angkat kepada penyewa berkenaan menghubunginya dan melangsaikan sewa yang tertunggak sekitar Ogos lalu.

Enggan situasi menjadi semakin buruk, Mohd Shafiq berkata dia nekad mahu menamatkan sewaan dan memberi notis kepada penyewanya untuk mengosongkan kediaman pada 31 Ogos. 

  • Seorang pemilik rumah berdepan penyewa bermasalah yang gagal bayar sewa hingga tunggakan mencecah ribuan ringgit.

  • Penyewa sukar dihubungi, sekat nombor telefon dan guna orang tengah sebagai perantara, tetapi masih enggan beri kerjasama untuk keluar dari rumah.

  • Tindakan viralkan isu ini di media sosial terpaksa dilakukan sebagai jalan terakhir.

  • Walaupun diberi notis, penyewa masih tak kosongkan rumah selepas tarikh akhir, menyebabkannya terpaksa buat laporan polis.

  • Mohd Shafiq anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran dan menasihatkan pemilik rumah lain supaya lebih teliti. 

"Tiba-tiba ada seorang lagi orang tengah hubungi saya bagi pihaknya, minta extend. Saya tak mahu beri muka dah. Bila tempoh dah sampai, dia masih belum kosongkan, saya terpaksa report polis.

"Peliknya, dia kemudian buat report juga, mendakwa saya kunci kediaman dan dia tak boleh masuk untuk mengemas... sedangkan tidak.

"Akhirnya selepas polis siasat, ternyata dia menipu. Anggota polis pada tengah malam Sabtu lalu iringi dia ke unit untuk kemas dan kosongkan barang hingga selesai.

"Keesokannya bila saya datang periksa dan nak bersihkan rumah, nampak barang-barang dia masih di koridor. Namun saya lega episod pahit dah berakhir," kongsinya lagi.

Mengakui insiden tersebut meninggalkan pengalaman pahit, Mohd Shafiq berkata dia menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran berguna di masa hadapan.

Barang-barang milik penyewanya di bahagian koridor.

"Saya tak nak reveal muka dia walaupun apa yang dia dah lakukan, malah siap ejek saya. 

"Apa yang saya boleh kongsikan, sebelum sewakan rumah, buatlah dokumen yang proper. Dalam kes saya, ada kontrak tapi dia asik berdalih tak nak sign.

"Kemudian, siasatlah latar belakang penyewa, ambil deposit banyak sikit. Saya ambil deposit sebulan je, sebab husnuzon. Akhirnya terpaksa keluarkan duit sendiri untuk kos pembersihan.

"Bila baca komen, ramai yang hadapi situasi sama malah lagi teruk pun ada. Moga perkongsian ini beri pengajaran kepada semua," ujarnya lagi. 

Artikel Lain