suria

Ibu kongsi video dandan rambut anak, tak sangka jadi momen akhir sebelum maut kemalangan - “Mommy dah siapkan Bunga cantik-cantik”

Chempaka dipangku seorang penunggang motosikal (kanan) selepas insiden kemalangan berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Serok, 24 Ogos lalu.

"TAK sangka itu touch-up terakhir mommy buat untuk Bunga."

Demikian nukilan rindu Amelia Kartika Mappatata terhadap puteri tunggalnya, Chempaka Alara Azizi, menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman TikTok.

Video berdurasi 27 saat itu memaparkan Amelia sedang mendandan rambut anak perempuannya, yang tanpa disangka menjadi momen terakhir sebelum dua beranak tersebut kemalangan.

Untuk rekod, kereta yang dinaiki Amelia bersama Chempaka yang dipanggil Bunga bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, 24 Ogos lalu.

Dalam nahas tersebut, Chempaka yang berusia tiga tahun, meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah, Pahang manakala Amelia mengalami patah rusuk dan tangan.

Selain Chempaka, pemandu yang dipercayai ibu saudaranya bersama seorang lagi individu berusia 18 tahun turut terkorban.

Momen terakhir Amelia mendandan rambut Chempaka pada pagi kejadian.

"Mommy tak dapat mandikan Bunga buat kali terakhir, tak dapat hantar Bunga ke rumah baru.

"Tapi mommy dah siapkan Bunga cantik-cantik pagi tu untuk balik ke rumah kita jumpa yayah (bapa). Tak sangka itu touch-up terakhir mommy buat untuk Bunga.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut, kereta dinaiki 8 sekeluarga terlibat nahas treler

ARTIKEL BERKAITAN: Treler hilang kawalan selepas tayar meletup, 5 maut termasuk kanak-kanak usia 2 tahun

"Terima kasih sayang mommy untuk tiga tahun yang bermakna, mommy dan yayah love you," tulisnya dalam video tersebut, yang dirakam pada pagi hari kejadian.

Video itu yang kemudian dimuat naik oleh Amelia tiga hari selepas kejadian, menjadi tular dan sehingga kini meraih 2.7 juta jumlah tontonan. 

Menceritakan kembali insiden berkenaan, Amelia berkata Chempaka sempat berbual dengan ayahnya, Azizi Abd Karim, sebelum nahas berlaku. 

  • Amelia kongsi video dandanan rambut terakhir Chempaka Alara Azizi, sebelum mereka terlibat dalam kemalangan tragis, 24 Ogos lalu.

  • Chempaka yang berusia tiga tahun meninggal dunia manakala Amelia mengalami patah rusuk dan tangan.

  • Video terakhir Amelia mendandan rambut Chempaka mendapat tontonan sebanyak 2.7 juta kali.

  • Amelia berkongsi pengalaman sayu ketika Chempaka sempat videocall dengan ayahnya.

  • Video Amelia ziarah pusara Chempaka menerima banyak komen netizen yang memberi kata-kata sokongan serta doa.

"Bunga tidur di belakang. Dah bangun, pindah ke pangku sambil videocall yayah (bapa) dia. Tak sampai lima minit, dah accident," tulisnya di ruangan komen.

Beberapa video lain yang dimuat naik oleh Amelia di laman TikTok turut meraih ratusan ribu jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang turut meluahkan rasa sedih dengan pemergian anak tunggal wanita tersebut.

Video terbaharu yang dikongsi Amelia, memaparkan dia menziarahi pusara Chempaka dalam keadaan tangan yang masih berbalut, mendapat perhatian ramai kerana turut merasai kesedihan ditanggung wanita itu.

Amelia dan suami menziarahi pusara Chempaka.

"Mommy dan yayah rindu sangat anak sayang. Ibarat luka yang tak akan sembuh," tulisnya.

Sebelum ini nahas yang meragut nyawa Chempaka bersama dua lagi individu itu mendapat liputan meluas media.

Ketika kejadian, mangsa bersama ibunya yang menaiki Perodua Myvi bersama empat individu lain dalam perjalanan pulang dari menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Melaka.

Bagaimanapun ketika sampai di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Serok, kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.

Artikel Lain