HANYA kerana sebuah pelamin mini berharga RM300, seorang wanita menjadi bualan netizen selepas video majlis pertunangannya tular di TikTok.
Syarmira, 26, atau lebih mesra disapa Mira berkata, dia langsung tidak menyangka momen bahagianya pada 14 Jun lalu bertukar akan menjadi bahan kecaman netizen.
"Saya tak minta pun ada pelamin tapi salah ke mak sponsor mini pelamin? Saya tak minta pun sebab tak suka ada majlis macam ni. Tapi bila jadikan video untuk kenangan, ramai pula kecam.
"Perasaan saya lepas dikecam tu memang terkejut, sampai saya sendiri tertanya apa salah aku? Tiba-tiba ada orang nak kecam.
"Tunang saya pun pelik, sebab kami tak pernah komen negatif dekat video orang lain. Bila kena pada diri sendiri, macam rasa pelik pula," katanya ketika dihubungi mStar.
Mira yang bekerja sebagai tukang jahit berkata, dia sebenarnya seorang yang pemalu dan tidak selesa diraikan secara besar-besaran.
Namun, ibunya yang bersungguh mahu menyediakan pelamin mini bagi berlaku adil sebagaimana dilakukan terhadap enam anak yang lain.
Justeru, dia dilihat berjalan menonong dan kelam kabut menuju ke bahagian ruang tamu untuk bersalam-salaman dengan tetamu, tidak seperti kebanyakan wanita yang sopan serta menjaga pergerakan pada hari pertunangan.
Tindakan spontannya itu menyebabkan ada yang menuduhnya sebagai gelojoh tanpa ada rasa malu dan adab sopan.
"Saya ingat mak tak peduli untuk adakan majlis, rupanya ada sebab dan niat lain di sebalik itu. Dia nak ratakan (adil) kasih sayang pada semua anak-anak.
"Kakak, abang... semua diraikan dengan cara masing-masing. Jadi kali ni giliran saya. Kakak sulung saya dulu buat jemputan ramai sikit dekat kampung cuma tak ada pelamin mini," jelas anak keempat daripada enam beradik itu.
Menurut Mira, dia juga terkejut apabila ramai yang bercakap tentang penggunaan pelamin walau hanya mengadakan majlis pertunangan.
Jelasnya, segala persiapan majlis dibuat secara sederhana termasuklah baju pertunangan dan solekan malah hantaran turut digubah sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dua-dua kena cermin diri” - Pengiring syok sendiri, overshadow pengantin... jurugambar akui ‘mencabar gila’
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Butik pengantin buat aniaya! Mempelai sanding atas pelamin tak siap, majlis serba kekurangan... “Bunga tangan pun tak dapat”
"Modal semua lebih kurang RM3,000 je termasuk sewa meja untuk tetamu. Mini pelamin tu RM300 je pun. Baju bertunang saya sendiri yang jahit. Cuma disebabkan majlis ada pelamin je orang jadikan isu," katanya.
Mengulas tentang momen dalam video yang menunjukkan dirinya berjalan laju ke arah pelamin, Mira mengakui dia sedang berdebar dan tidak dapat mengawal rasa gugup.
"Saya memang cepat shaking. Ini kali pertama berada dalam majlis bertunang, memang 'nervous' gila. Ikut rancangan asal, saya nak buat 'simple' saja dalam bilik macam orang dulu-dulu.
"Tapi sehari sebelum majlis, baru orang pelamin datang pasang. Itu yang saya jadi lagi takut,” katanya.
- Mira dikecam netizen selepas video pertunangannya tular.
- Dia tidak minta pelamin, tetapi ibunya tetap mahukannya kerana nak berlaku adil terhadap semua anak.
- Majlis dibuat sederhana dengan kos sekitar RM3,000, termasuk baju yang dijahit sendiri.
- Mira juga menjelaskan dia berjalan laju ke pelamin kerana gugup, bukan gelojoh atau tak sabar untuk duduk di pelamin.
- Nasihati orang ramai supaya tidak cepat menghukum tanpa tahu cerita sebenar.
Walaupun kecaman diterima, Mira tidak mengambil hati kerana dia lebih tahu cerita sebenar di sebalik majlis tersebut.
Dalam masa sama, Mira menitipkan pesanan agar orang ramai tidak mudah membuat andaian terhadap kisah hidup orang lain.
"Saya kongsi video tu pun sekadar momen kenangan dan nak tunjuk dress tunang yang saya jahit sendiri. Tak sangka pula lain jadinya.
"Pengajaran saya, lain kali edit (sunting) dulu sebelum post. Netizen sekarang nak tengok yang cantik, sopan dan elok saja. Kalau kongsi cerita sebenar, mesti ada je yang kecam.

Sebanyak RM3,000 dibelanjakan untuk majlis tunang ini.
"Kalau nampak sesuatu, cuba tanya dulu sebelum menghukum. Jangan cepat menilai, sebab setiap keluarga ada cerita mereka sendiri," ujarnya.
Mira yang berasal dari Perak mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya di rumah keluarganya di Kuala Kangsar, disaksikan kedua-dua belah keluarga.
Pasangan ini saling mengenali sejak zaman sekolah menengah pada tahun 2014 dan bakal berkahwin namun masih belum menetapkan tarikh.


