MASALAH berkaitan jiran bukan sekadar bising atau berebut parkir semata-mata, sebaliknya turut melibatkan hal lain yang dianggap remeh tetapi memberi kesan besar kepada kehidupan harian.
Seorang individu meluahkan rasa kurang senang apabila rumahnya mengalami masalah pencemaran bau berpunca daripada asap ayam bakar yang dijual jiran selang tiga buah rumah dari kediamannya.
Menurut perkongsiannya di media sosial, setiap petang sebaik sahaja perniagaan ayam bakar dibuka, pakaian yang dijemur akan melekat bau asap.

Masalah melibatkan jiran banyak dikongsikan di media sosial. -Gambar hiasan
"Asap ayam bakar tu terbang la ke rumah saya, habis baju-baju yang tengah sidai dekat luar tu bau asap setiap hari.
"Saya ni dah lama sabar sebenarnya. Boleh tak kalau saya bagi surat layang dekat dia? Nak tegur macam pelik pula sebab tak pernah bertegur sapa," soal individu berkenaan.
Selain rancangan menghantar surat layang, dia turut bercadang untuk membuat laporan kepada pihak majlis perbandaran supaya penjual ayam bakar itu ditegur atau dikenakan tindakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Setiap hari bertukar-tukar lelaki! Individu dakwa jiran depan rumah tawar aktiviti persundalan - “Mereka buka pintu sikit, intai dulu”
ARTIKEL BERKAITAN: Jiran ada hampir 10 kereta, parkir merata halang laluan! Lewat bangun pagi, selagi tak kejut tak kan alih kenderaan
Tegasnya, dia bukanlah mahu menutup periuk nasi jirannya tetapi hanya ingin mencari penyelesaian kepada masalah yang mengganggu dirinya dan penduduk sekitar.
"Adakah saya patut terus buat laporan dekat majlis je? Saya bukan nak kacau bisnes dia. Saya nak jaga baju saya yang setiap hari bau asap tu je," jelasnya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang memberikan pelbagai cadangan.
- Penduduk terganggu asap ayam bakar yang dijual jiran setiap petang.
- Baju dijemur berbau asap hingga timbul rasa tidak selesa.
- Pengadu terfikir beri surat layang atau lapor kepada majlis perbandaran.
- Netizen sarankan tegur dulu sebelum buat aduan rasmi.
- Ada juga yang minta terus report kerana isu lesen dan kebersihan.
Ada yang menyarankan agar dia menegur jiran tersebut terlebih dahulu sebelum membuat laporan.
"Tegur dahulu. Kalau dah beberapa kali tegur tak jalan, 'report' sahaja majlis. Tapi tu la, nanti kena arah tutup, dia buat video dengan lagu latar sayu kemudian 'caption' terpaling ditindas.
"Pergi la tegur dulu. Cakap je baik-baik berbincang cari cara penyelesaian. Membuat aduan dekat majlis akan merosakkan hubungan sesama manusia. Mesti ada rasa dendam dalam hati tu nanti," kata beberapa netizen.

Komen warga maya di media sosial.
Namun begitu, tidak kurang juga yang berpendapat isu berkenaan wajar dibawa ke pihak berkuasa kerana melibatkan peraturan perniagaan di kawasan perumahan.
"Buat aduan dekat majlis sebab itu kawasan perumahan dan nak meniaga kena ada lesen dan suntikan typhoid kalau awak nak kendalikan makanan dan minuman.
"Kita ikut peraturan je tak payah surat layang nanti lagi dia tak suka," ujar seorang lagi netizen.


