HANTARAN tular seorang individu yang mendakwa terdapat bangkai seekor tikus pada roti yang dibelinya, rupa-rupanya adalah seekor cicak.
Bagaimanapun setelah 'siasatan' dibuat, bangkai haiwan itu dipercayai datang dari kediaman pelanggan itu sendiri yang mana keadaannya dilihat masih 'segar' dan berisi.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh Muhammad Faiz Zainusham yang membuat perkongsian itu di laman sosial selepas melakukan penelitian dan perbincangan bersama ahli keluarganya.
"Pada 12 Ogos lalu, ayah, ibu dan adik perempuan saya telah berkunjung ke AEON Mall di Taiping dan singgah di premis Harold's Bread.
"Mereka telah membeli beberapa produk bakeri, namun kesemuanya tidak dimakan pada hari yang sama tetapi dibawa pulang ke rumah keluarga ayah.

Nurazrul menunjukkan hasil analisa yang dibuat KKM di premisnya.
"Produk-produk ini disimpan dan dimakan setiap hari secara berdikit di mana pada malam 15 Ogos, salah satu produk yang hendak dimakan ayah saya terdapat bangkai seekor cicak," jelasnya yang menerima aduan mengenai perkara itu menerusi panggilan telefon daripada bapa dan adiknya.
Bagaimanapun pada awalnya, bapa dan adik perempuannya menyangka cicak di dalam roti itu disangka seekor tikus.
Muhammad Faiz bimbangkan kesihatan bapa dan ahli keluarganya berasa marah dan terus memuat naik satu hantaran di laman Facebook dan Threads pada pukul 11 malam, hari sama.
"Malangnya, dalam tempoh enam jam, hantaran itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas terkejut gigit roti ‘inti’ seekor tikus, premis tampil beri penjelasan
"KKM kemudiannya membuat pemeriksaan di premis Harold's Bread dan turut mengarahkan ayah saya menyerahkan sampel produk yang dikatakan tercemar untuk dianalisa.
"Selepas hantaran dipadam, saya berbincang dengan keluarga dan mendapati pemilihan telah dibuat dengan berhati-hati sebelum membeli, semestinya tiada tikus atau cicak pada produk," tambahnya.
Mengambil kira tempoh 'simpanan' di rumah, Muhammad Faiz beranggapan kemungkinan insiden roti dimasuki haiwan berlaku disebabkan bungkusan makanan tidak ditutup rapat.
- Isu roti ada ‘tikus’ rupanya cicak.
- Cicak dari rumah pelanggan masuk dalam roti, bukan dari kedai.
- KKM sahkan premis Harold’s Bread bersih.
- Faiz mohon maaf lepas sedar kesilapan.
- Jualan Harold’s Bread jatuh 50 peratus, jenama terjejas.
Dia kemudiannya tampil membuat permohonan maaf kepada pihak Harold's Bread dan mengakui kekhilafan yang dilakukan kerana tergesa-gesa menyebarkan tentang insiden yang berlaku.
Dalam pada itu, hasil analisa pihak KKM mendapati, tahap kebersihan di premis yang dinyatakan adalah memuaskan.
Malah tidak terdapat sebarang risiko yang jelas untuk berlakunya pencemaran dari persekitaran seperti kehadiran cicak atau tikus.
KKM juga menegaskan bahawa keadan cicak yang dibawa oleh pengadu masih sempurna dan tidak menunjukkan bangkai haiwan tersebut bercampur dengan makanan yang sedang diproses atau dibungkus melebihi tiga hari.

Gambar tular yang menyebabkan jualan Harold's Bread merudum 50 peratus.
Pengarah Harold's Bread (M) Sdn Bhd, Mohd Nurazrul Nordin berkata, insiden tular tersebut memberi tamparan besar terhadap jenama itu yang diusahakan selama 14 tahun.
"Pertama kali terkena dengan isu ini, saya anggap ini dugaan daripada Allah, mungkin ada sesuatu yang terbaik di kemudian hari.
"Ada bagi kesan pada Harold's Bread, tapi fokus saya sekarang adalah untuk ke hadapan, apa yang saya tekankan adalah kenyataan KKM pada 19 Ogos lalu," jelasnya yang turut menafikan insiden tersebut sebagai gimik mahupun sabotaj dalam perniagaan.
Enggan memanjangkan isu yang berlaku, Mohd Nurazrul mahu mengembalikan kepercayaan pelanggan kepada jenama Harold's Bread, susulan kemerosotan sehingga 50 peratus hasil jualan akibat isu tular berkenaan.

Nurazrul (dua dari kiri) dan Muhammad Faiz bersalaman sebagai tanda bermaafan berhubung isu yang berlaku
Baginya, perkara yang paling dibimbangkan adalah 'nasib' kira-kira 700 pekerjanya yang melibatkan 67 unit premis di seluruh negara.
Mengakui sangat terkesan dengan insiden yang berlaku, dia juga berharap masyarakat lebih berhati-hati sebelum memuat naik sesuatu komen atau ulasan di media sosial.
"Saya maafkan Encik Faiz atas dasar sesama Islam dan mengharapkan sesuatu yang terbaik, fokus untuk bina semula kepercayaan pelanggan terhadap jenama saya," tegasnya pada sidang media khas yang turut dihadiri pengadu dan Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin selaku pemerhati.
Mengulas tentang strategi pada masa hadapan, ujarnya, dia sedikit sebanyak meluahkan rasa syukur kerana isu tular itu secara tidak langsung membuatkan jenamanya dikenali ramai.
"Viral ni lebih terkenal, akan buka outlet banyak lagi, cuma tak sangka orang kenal Harold's Bread dengan cara begini," luahnya lagi.


