suria

Bawa laksa Sarawak ke jamuan, langsung tak disentuh! Wanita sedih, syak tetamu was-was walau dimasak di rumah mualaf

Acara ‘potluck’ sering dianjurkan untuk mengeratkan ukhwah sesama keluarga mahupun rakan. -Gambar hiasan

ADA individu yang gemar meraikan orang lain hingga sanggup menghabiskan wang, masa serta tenaga semata-mata untuk melihat insan yang diraikan itu gembira.

Namun, menjadi momen indah yang diharapkan wanita ini yang berniat meraikan rakannya bertukar menjadi satu pengalaman serta kenangan pahit.

Berkongsi kisah menerusi satu hantaran di laman sosial, wanita itu berkata kisah bermula apabila beberapa teman sekerjanya meluahkan hasrat menganjurkan majlis perpisahan buat salah seorang rakan mereka yang akan meninggalkan syarikat.

Laksa Sarawak merupakan antara juadah enak yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. -Gambar hiasan

"Saya pun dengan gembiranya memasak awal hari tu. Saya bawa laksa Sarawak pergi ke rumah seorang rakan sekerja. Dari awal, mereka dah letakkan laksa saya di hujung meja.

"Saya tak fikir apa pun masa tu sebab ingat ada makanan lain yang akan diletak dekat tengah-tengah.

"Yang lain-lain kemudian datang tak bawa apa-apa selain dessert, jadi mereka tolak laksa saya ke tengah. Masa dah mula makan, diaorang makan makanan tuan rumah je iaitu nasi kerabu dan bihun sup. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu penat masak, rakan ofis tergamak buang makanan disedekah untuk iftar... Beri alasan tak logik!

ARTIKEL BERKAITAN: Makanan dah siap hidang tapi asyik tolak... Wanita rimas ada kawan ‘picky-eater’, cerewet sampai menyusahkan!

"Tetamu tak ramai, jadi nampaklah makanan dekat pinggan masing-masing," tulisnya.  

Menurut wanita berkenaan, laksa Sarawak yang dibawanya langsung tidak disentuh oleh rakan-rakannya biarpun ada di antara mereka menambah hidangan lain berulang kali. 

Apa yang membuatkan dia lebih terasa hati, ada beberapa rakan sekerja lain berbisik-bisik apabila salah seorang daripada rakan yang hadir mahu membungkus laksa Sarawak yang dimasaknya untuk dibawa pulang.

  • Seorang wanita non-Muslim kecewa laksa Sarawak yang dibawanya ke majlis perpisahan rakan sekerja langsung tidak dijamah.

  • Dia sudah memberitahu hidangan itu dimasak di rumah adiknya yang berstatus mualaf.

  • Menurutnya, hanya hidangan tuan rumah dijamah, membuatkan dia berasa dipinggirkan dan usahanya tak dihargai.

  • Apa yang berlaku membuatkan dia serik dan enggan terlebih 'beriya' memasak selepas ini. 

  • Netizen ada yang bersimpati, namun ramai mengingatkan tentang kepentingan memahami sensitiviti makanan bagi masyarakat Islam.

"Macam mana rupa laksa tu dari aku bawa sampai akhir majlis, macam itu sajalah rupa dia... tak tersentuh.

"Mereka bungkuskan makanan tuan rumah dan laksa saya dalam container, jadi tetamu boleh pilih mana yang nak bawa balik. Again, laksa saya tak disentuh pun.

"Dalam grup makan-makan tu, saya dan seorang rakan je yang 'non Muslim'. Saya faham kalau mereka tak sentuh makanan saya sebab was-was.

"Tapi saya dah beritahu awal tiga hari, yang saya masak dekat rumah Muslim, adik saya seorang mualaf," luahnya lagi.

Sekadar berkongsi kisah sedih di laman sosial, wanita tersebut berkata, apa yang berlaku membuatkan dia serik untuk membawa makanan atau berkongsi juadah bersama rakan sekerja lagi.  

Sebahagian daripada komen netizen.

Di ruangan komen, warga maya memberikan reaksi yang bercampur, dengan sebahagiannya menyatakan rasa simpati dan memahami kekecewaannya lantaran pernah mengalami situasi serupa.

Namun tidak kurang juga ada yang menasihatkan wanita itu agar berlapang dada dan mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran.

Menurut mereka, meskipun niat untuk berkongsi rezeki itu baik, adalah penting untuk memahami bahawa bagi umat Islam, sumber penyediaan makanan dan tahap kebersihan memainkan peranan besar dalam menentukan status halal sesuatu hidangan. 

Artikel Lain