suria

Anak sedih ibu dimaki, dibuli rakan ketika tunai haji... Balik Malaysia masih murung - “Mak nak ikut belakang pun tak bagi”

Perkongsian seorang individu mengenai kisah ibunya yang dibuli rakan di Tanah Suci mengundang hiba warga maya.

MUSIM haji 1446 Hijrah baru melabuhkan tirai, dengan ketika ini para jemaah dari Malaysia mula tiba di tanah air secara berperingkat.

Di media sosial, pelbagai perkongsian kisah suka dan duka mengenai pengalaman menunaikan ibadah haji di Tanah Suci dipaparkan sebagai iktibar bersama.

Ada yang berkongsi kisah menyentuh hati, tidak kurang juga  cabaran yang dihadapi sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu seperti ujian dari segi kesihatan, berdepan cuaca ekstrem dan sebagainya.

Di tengah-tengah perkongsian berkenaan, terselit kisah meruntun hati seorang jemaah wanita warga emas yang berdepan pengalaman kurang enak sehingga menjejaskan emosinya.

Cabaran yang dihadapi di Tanah Suci merupakan salah satu daripada ujian Allah. -Gambar hiasan

Menerusi hantaran seorang individu di laman sosial, dia mendakwa ibunya menjadi mangsa buli jemaah wanita lain hanya kerana naif.

"Kesian mak lepas balik dari sana murung sebab teringat-ingat orang buli dia.

"Mak kita ni memang buta IT. Nak keluar pun tak pandai. Dekat kampung pun jenis duduk rumah saja.

"Bila dia cerita ada makcik-makcik cakap bodoh, bengap, lepas tu kena maki dan tengking lagi. Ingat yang pandai bolehlah bantu-bantu orang yang tak pandai ni… makin dipulau ‘kaw-kaw’," tulisnya dalam hantaran tersebut. 

ARTIKEL BERKAITAN: Beria nak pergi Makkah, rupanya bakal jemaah haji lari bayar hutang kawan! Hari-hari ‘update’ persiapan di Facebook

ARTIKEL BERKAITAN: Letih ujian bertubi-tubi lepas balik Makkah, wanita risau tersilap doa! Ada juga syak minta syurga tanpa hisab

Menurut individu berkenaan, ibunya yang sudah berusia lebih 70 tahun terpaksa berangkat menunaikan haji seorang diri memandangkan permohonan rayuan adiknya untuk pergi bersama-sama tidak berjaya.

"Time keluar tak ajak pun dah tahu mak tak berani keluar sorang-sorang. 

"Mak nak ikut belakang pun diaorang tak bagi. Suruh cari orang lain. Masa tu mak dah tahan nangis.

"Diaorang pernah pergi umrah, itu yang lagak. Mak pula tak pernah pergi jauh-jauh.

"Macam-macam lagi mak cerita sedih. Mungkin ini ujian mak. Diuji sebab Allah sayang," luahnya lagi. 

Pergi buat haji pun mulut puaka. Jahatnya pembuli tu. Semoga makcik sihat dan kembali ceria.

NETIZEN

Tambah individu itu lagi, ibunya hanya mampu memendam perasaan seorang diri dan tidak menceritakannya kepada mutawif kerana enggan mengeruhkan keadaan.   

Bagaimanapun ujarnya, dia bersyukur kerana ibunya dipertemukan dengan insan baik hati yang sudi membantu terutamanya dengan penggunaan telefon pintar.

"Dia WhatsApp guna telefon mak, dan beri kami nombor telefonnya untuk mudahkan dihubungi. Allah sajalah yang mampu balas jasa Adik Fiza. Kalau tak, tak tahu apa jadi dengan mak.

"Moga yang tolong mak di sana yang saya tak tahu, dilimpahi rezeki luas dan pahala berlipat kali ganda," tulisnya lagi sambil menambah, ibunya selamat tiba di tanah air pada Selasa lalu.

Sebahagian daripada komen warga maya. 

Perkongsian individu tersebut menjadi tular dan dibanjiri ribuan komen daripada warga maya.

Rata-ratanya turut terkesan dengan insiden yang menimpa ibu individu tersebut dan mendoakan supaya ibunya segera pulih dan kembali ceria seperti biasa.

"Pergi buat haji pun mulut puaka. Jahatnya pembuli tu. Semoga makcik sihat dan kembali ceria.

"Mak awak dah dapat pahala berkali ganda sebab menahan kesabaran dekat Tanah Suci. Insya-Allah haji yang mabrur. Kepada makcik-makcik yang berlagak tu, Allah tu Maha Adil.

"Ada orang sampai ke tua memang kaki buli. Bawa perangai buruk sampai Makkah," demikian antara komen netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain