suria

Belum rezeki timang anak, pasangan TTC ini ‘angkat’ Yamaha Tracer 9 GT buat jalan-jalan… Cipta bahagia cara sendiri

Mazliah dan suami menyantuni anak yatim sebagai cara merawat hati.

SETELAH 14 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini masih tidak berputus asa menanti kehadiran cahaya mata.

Namun Mazliah Mazlan, 40, dan suaminya, Mohd Mef’at Hamdan, 49, tidak pernah mensia-siakan tempoh itu untuk mencipta momen bahagia dalam cara tersendiri.

Pasangan dari Durian Tunggal, Melaka ini mula berjinak-jinak dengan dunia permotoran berkuasa tinggi sejak tujuh tahun lalu bersama rakan konvoi sebagai terapi jiwa. 

"Kami ride (tunggang) motor besar dalam tempoh agak lama. Sebelum ni guna Yamaha MT07, tapi selepas gagal IVF (rawatan persenyawaan in vitro) pada Februari lalu, saya rasa down sangat.

"Sebelum buat tu saya cakap pada suami, kalau IVF kali ni tak berjaya, saya nak 'angkat' motor lagi besar. Saya nak fokus bahagiakan diri sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Mef’at tanpa ragu menyokong keputusan isterinya apabila mereka kemudiannya membeli motosikal idaman iaitu Yamaha Tracer 9 GT yang ketika itu bernilai kira-kira RM72,000.

Menjadikan aktiviti menunggang sebagai pengisi masa lapang, pasangan ini kerap menyertai konvoi ke Cameron Highlands, Terengganu, Pulau Pinang, Johor dan destinasi sekitar Semenanjung.

"Kadang kami berdua je ride, ada juga join event ride santai atau charity ride. Ada geng motor besar, suami isteri dan ada juga beberapa yang sedang lalui fasa TTC (trying to conceive) macam kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak perkara buruk anda dengar tentang IVF, dua pakar jelaskan 5 mitos mengenai rawatan ini

ARTIKEL BERKAITAN: Pejuang TTC duit 'berkepuk', tapi kedekut buat IVF! Sibuk minta 'free' bayi dalam perut ipar

"Bagi saya, ride bersama rakan-rakan TTC memberi rasa yang berbeza. Mereka lebih memahami. Tak ada soalan sensitif ditanya. Kami sama-sama healing atas jalan raya," jelasnya lagi.

Pada 24 Mei lalu, pasangan ini menyertai Charity Ride 2025 anjuran Yamaha Tracer Club Malaysia (YTCM) ke Asrama Kebajikan Ar-Rayyan di Johor.

Sebagaimana dikongsikan di akaun TikTok milik Mazliah, ia disifatkan sebagai satu pengalaman yang menyentuh perasaan.

Pasangan ini membeli motosikal berkuasa tinggi baharu selepas gagal IVF pada Februari.

Mazliah berkata pengalaman itu membuka perspektif baru dalam hidupnya dan suami iaitu untuk melihat kasih sayang daripada sudut yang lebih luas.

"Apabila tengok wajah anak-anak tu, hati kami sebak. Kami ingat ujian kami besar, tapi mereka diuji lebih awal iaitu kehilangan kasih ibu bapa sejak kecil.

"Kalau belum ada rezeki anak kandung, mungkin Allah hantar peluang untuk kami beri kasih sayang pada anak-anak yang memerlukan.

Mef’at dan Mazliah tersentuh hati mengenangkan nasib anak yatim selepas kunjungan mereka.

"Selain membawa barangan keperluan dan wang tunai, kami juga berinteraksi dengan menyantuni mereka melalui pelukan dan berbual mesra," ujarnya.

Pasangan ini sudah mencuba pelbagai ikhtiar melalui kaedah semula jadi, rawatan hormon, IUI sehingga ke IVF.

Mazliah dan Mef’at juga pernah mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat namun keputusan itu belum dimuktamadkan.

Kami sepakat, kalau nak ambil anak angkat biarlah sebab kami betul-betul bersedia.

MAZLIAH

PEJUANG TTC

"Kami sepakat, kalau nak ambil anak angkat biarlah sebab kami betul-betul bersedia. Bukan sebab terdesak atau nak isi kekosongan. Kami nak jadi ibu bapa yang bertanggungjawab.

"Kami juga pernah menjaga anak saudara selama setahun. Walaupun ramai berkata itu ‘petua’ untuk lekat anak sendiri, kami tetap serah segalanya pada ketentuan Ilahi.

"Kalau sedih fasal anak, suami ajak kira lori kat highway, jalan cari makan dan tengok wayang. Kalau suami pula down, saya peluk dan masak makanan kegemaran dia," jelasnya yang baru sahaja melakukan IVF kedua pada 28 Mei lalu.

Mazliah turut mengusahakan perniagaan sendiri sambil mengisi lapang ride bersama suami.

Selain mengusahakan perniagaan jenama DakMaz Sambal yang kini boleh didapati di Taman Angkasa Nuri, Melaka, Mazliah juga sebenarnya merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan.

Bagi Mazliah, perjuangan bagi mendapatkan zuriat bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan.

"Saya belum dapat rasa berpantang selepas bersalin, jadi saya buat makanan berpantang untuk ibu-ibu lain. Itu pun dah cukup buat saya gembira.

"Harapnya kisah saya beri inspirasi kepada pasangan TTC lain. Jangan berhenti berharap dan jangan lupa bahagiakan diri sendiri dulu," ujarnya.

Artikel Lain