suria

Dah cuba selamatkan tapi tak berdaya! Tragis bapa cuma mampu lihat anak ‘diratah’ buaya, perakam macam tak rasa simpati

Menyayat hati apabila lelaki ini hanya mampu melihat anaknya dibaham buaya.

NGERI dan memilukan!

Begitulah gambaran yang dapat diberikan tentang seorang bapa yang didakwa hanya mampu melihat anaknya dibaham seekor buaya.

Melalui satu hantaran asal yang tular di akaun Facebook MY Lahad Datu, mangsa dan bapanya dipercayai sedang berkayak apabila disambar buaya.

Hantaran yang tular di Facebook.

Ketika kejadian yang mencemaskan itu, bapa mangsa cuba bergelut dengan reptilia tersebut dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan anaknya.

Gambar yang dimuat naik di rungan komen juga menunjukkan badan si bapa mempunyai kesan gigitan buaya sehingga menampakkan warna merah isi daging.

Lelaki itu kemudiannya kedengaran seperti sedang cuba 'menghadam' apa yang berlaku dan sedang meratapi pemergian anaknya yang cukup tragis itu dalam dialek Sabah.

Dia dilihat hanya merenung jauh ke arah tasik yang menjadikan anaknya korban sambil bertinggung di gigi air tasik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Buaya gergasi baham budak umur 8 tahun, jasad mangsa ditemui dalam perut

ARTIKEL BERKAITAN: Bomba tangkap buaya sepanjang 4.57 meter sesat tengah jalan

Dalam satu video lain yang dimuat naik di ruangan komen, dipercayai rakaman sebuah dron, dapat dilihat buaya itu sedang meratah jasad mangsa yang sepertinya tidak lagi bernyawa.

Video seterusnya yang dimuat naik menunjukkan ketegangan di antara bapa mangsa dan perakam video itu.

Berdasarkan beberapa komen warga tempatan yang memahami dialek Sabah, bapa mangsa dikatakan sedang meminta sebatang rokok untuk menenangkan dirinya.

Kedengaran juga seperti perakam menyalahkan bapa mangsa di atas kejadian itu.

"Siapa suruh kau lari tadi, kan dah kena makan buaya," kata perakam.

Kesian pakcik tu, kenapa cakap macam itu, langsung tak ada simpati.

NETIZEN

Semakan mStar di akaun Facebook rasmi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu mendapati kejadian tersebut telah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK), Asmori Dahhiarsyah menyatakan kejadian berlaku di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, Lahad Datu, Sabah.

"Seorang mangsa telah berjaya diselamatkan orang awam manakala seorang lagi masih belum dijumpai.

Operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

"Mangsa yang diselamatkan dilaporkan mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu sedang menjalankan operasi Search and Rescue (Surface) bersama agensi bantuan Polis Marin menggunakan bot di kawasan kejadian," kata Asmori.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyelar tindakan perakam yang tidak menunjukkan simpati terhadap bapa yang baru kehilangan anaknya.

Bapa mangsa meraung kesedihan.

"Kesian pakcik tu, kenapa cakap macam itu, langsung tak ada simpati.

"Yang rakam ini macam tidak ada adab perikemanusiaan. Orang tengah sakit kehilangan anak depan mata.

"Kurang ajar, boleh pula dia cakap macam tu, dia tak tahu perasaan si ayah tu sebak macam mana," kata sebilangan warga maya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain