suria

Bukan seorang, tapi bayi kembar ‘pergi’ serentak... wanita tak sangka kontraksi ketika kandungan 5 bulan setengah petanda khabar duka

Kembar yang dilahirkan Fatiya meninggal dunia kerana 'extremely premature'.

PENGALAMAN hamil zuriat hasil ikatan cinta bersama suami sememangnya antara salah satu anugerah yang paling bermakna bagi seorang wanita, lebih-lebih lagi ianya merupakan zuriat yang pertama.

Begitu juga yang dirasakan wanita bernama Fatiya Rose bersama suami, Harun Hakimi selepas mendirikan rumah tangga pada penghujung 2020.

Lebih menggembirakan pasangan ini, mereka dikurniakan cahaya mata kembar yang dijangka dilahirkan pada awal Oktober depan.

kembar 3

Fatiya tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang kehamilannya.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang senang disapa Fatiya berkata, perjalanannya sepanjang mengandungkan cahaya mata kembar begitu lancar dan tidak mempunyai sebarang masalah.

Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya.

Wanita ini tidak menyangka, sakit 'contraction' pertama kali yang dialaminya pada 20 Jun lalu, adalah petanda bahawa dia bakal kehilangan kembar yang dinanti-nantikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 8.15 pagi semuanya normal, setengah jam kemudian tiada degupan jantung! Suami isteri reda bayi meninggal sehari sebelum kelahiran

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 4 bulan tidur tak bangun-bangun, ibu sedar badan dah sejuk... Arwah si comel positif Covid-19 tanpa sedar

"Sepanjang hamil memang tak ada masalah, kami buat check-up secara regular dengan pakar dan juga scan. Hinggalah tiba tanggal 20 Jun, tiba-tiba ada contraction.

"Namun saya sebenarnya tak tahu ia adalah sakit contraction kerana tak pernah rasa, lagi pula ini adalah kehamilan pertama.

"Dari Hospital Tapah, saya dikejarkan ke Hospital Teluk Intan. Doktor buat pemeriksaan dan maklumkan bukaan dah enam sentimeter (cm) dan kepala salah seorang kembar dah ke bawah. Terasa gelap dunia," demikian cerita Fatiya mengimbas kembali detik ketika dia melahirkan cahaya mata kembar pra-matang, dua minggu lalu.

kembar 2

Wajah si kembar Syafiq Ali Yusof Harun Hakimi dan Syafiq Ali Idris Harun Hakimi saling tak tumpah seperti Fatiya dan suaminya.

Menurut Fatiya, doktor memaklumkan secara terperinci di mana kes kelahiran bayinya adalah extremely pre-mature.

"Doktor kata tak boleh buat apa. Kami perlu reda dengan ketentuan ini," ujar wanita berusia 27 tahun dari Tapah, Perak ini.

Tiga hari menanggung kesakitan, Fatiya akhirnya selamat melahirkan cahaya mata kembar lelaki masing-masing pada pukul 8.28 pagi dan 8.37 pagi.

"Saya melahirkan kembar pada usia mereka lima bulan setengah. Masing-masing seberat 500 gram sahaja. Syarat untuk masuk inkubator 700 gram. Saya dan suami sepakat menamakan anak kami dengan nama Syafiq Ali Yusof Harun Hakimi dan Syafiq Ali Idris Harun Hakimi.

"Tak sangka, Allah kurniakan saya dan suami dua jam yang penuh ajaib untuk menghabiskan masa dengan si kembar, sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.24 pagi, hari yang sama.

Kehilangan anak bukan mudah, lebih-lebih lagi hilang dua orang serentak. Namun kami reda dipilih untuk ujian ini.

FATIYA ROSE

"Waktu yang ada, saya dan suami penuhkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, sebagaimana waktu saya hamil dulu di mana setiap selepas Subuh dan Maghrib, pasti kami mengaji bersama.

"Kami peluk dan cium kedua-duanya. Wajah mereka saling tak tumpah seperti saya dan suami. Alhamdulillah, walaupun diberi dua jam, namun bagi kami, itulah dunia dan seisinya.

"Kehilangan anak bukan mudah, lebih-lebih lagi hilang dua orang serentak. Namun kami reda dipilih untuk ujian ini," katanya yang merupakan seorang jurulatih kesihatan secara atas talian.

Fatiya berkata hari-hari pertama yang dilaluinya amat perit apatah lagi berpantang tanpa bayi di sisi.

kembar 5

Suami Fatiya menguruskan pengebumian anak kembar mereka.

Namun sokongan daripada suami, keluarga dan rakan-rakan banyak membantunya pulih daripada kesedihan.

"Alhamdulillah keadaan saya semakin baik. Kalau awal-awal dulu saya tak boleh tidur. Letak kepala je dengar baby menangis dan terbayang labour room.

"Tapi suami paling banyak bantu pulihkan semangat dan kesedihan saya. Saya juga banyak ambil kekuatan daripada dua sahabat yang juga pernah rasa kehilangan anak.

"Selain itu, komen-komen daripada kenalan dan netizen selepas saya kongsi di Instagram juga sedikit sebanyak ubati kesedihan.

"Sekarang saya masih berpantang di rumah ibu di Bidor, Perak. Saya belum berkesempatan menziarahi kubur dua kembar kami. Saya tak sabar nak tunggu pantang habis dan ziarah pusara mereka," katanya.

kembar 4

Surat beranak si kembar.

Tidak menyangka perkongsian kisahnya di Instagram menjadi tular, Fatiya berkata dia sekadar membuat coretan untuk dijadikan kenangan dan terapi diri.

"Perjuangan melahirkan anak sangat besar. Kaum suami, hargai isteri sebaik mungkin. Suami saya peluk, cium, dan ayat pertama dia cakap, 'terima kasih' sambil menangis.

"Dia baru nampak macam mana perjuangan seorang ibu. Ia sangat valuable buat saya.

"Kalau nak salahkan diri sendiri tak boleh juga. Mungkin ini yang terbaik untuk saya dan suami. Kuncinya adalah reda.

"Saya akan jadikan pengalaman melahirkan Yusof dan Idris sebagai kisah kebangkitan hidup saya dan suami... bukan yang melemahkan semangat," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Gempar bayi perempuan lahir ada ekor berbulu