suria

Tak minta duit, tapi suruh cari waris! Gelandangan rindu keluarga di Kelantan, 20 tahun terpisah... NGO bantu jejak guna Facebook

Pakcik Izani ketika ditemui staf Amal Wilayah di kaki lima berhampiran pejabat NGO tersebut.

HADIAH Aidiladha yang penuh bermakna!

Itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan situasi seorang gelandangan warga emas yang akhirnya dipertemukan kembali dengan keluarganya, selepas lebih 20 tahun terpisah.

Kisah gelandangan yang lebih dikenali sebagai Pakcik Izani itu dikongsikan oleh Pegawai Pentadbiran merangkap tenaga pengajar di Yayasan Amal Malaysia (Wilayah), ustazah Jocelyn Cheng.

"Pagi Selasa, selepas selesai urusan pendaftaran mualaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), saya bersama sahabat Ustaz Mohd Khairul Azman dan Ustaz Helmi pulang ke pejabat Amal Wilayah yang terletak di Chow Kit.

"Waktu tu sudah sekitar pukul 3.00 petang. Tiba-tiba ternampak seorang lelaki warga emas baring di kaki lima Warung Makan Sahabat (WMS), dekat pejabat kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Nikmatnya dapat peluk ibu! Detik jejak kasih selepas 3 tahun terpisah bikin ramai sebak, berjurai air mata

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami nak jadi orang baik” - Dua sahabat warga emas naik motor ke pejabat NGO, akhirnya bergelar saudara baharu

"Ketika itu WMS dah tutup, lazimnya setiap hari Amal Wilayah menerusi WMS edar makanan percuma untuk gelandangan. Apabila dihampiri, pakcik ni bangun dan duduk.

"Kami cuba santuninya dan saya belikan nasi bungkus dari restoran berhampiran kerana pakcik beritahu belum makan," ceritanya.

Menurut ustazah Jocelyn, selepas selesai makan, dia cuba bertanya lelaki tersebut serba sedikit mengenai latar belakangnya.

gelandangan 3

Perkongsian yang dibuat oleh Ustazan Jocelyn di Facebook bagi menjejaki waris Pakcik Izani.

"Ada segelintir gelandangan minta duit, tapi pakcik ini hanya minta tolong untuk hubungi keluarganya. Dia kata nak balik kampung tapi tak ada duit dan tak tahu macam mana nak hubungi keluarganya sebab 20 tahun terpisah sejak dia ke ibu kota.

"Dia kata rindu sangat dekat keluarga. Pakcik ini baru tiga hari keluar dari hospital sebab ada masalah kesihatan. Berusia 59 tahun.

"Saya minta dia tulis nama dan kampung untuk cuba berusaha jejaki keluarganya. Dia boleh menulis dan mengingat dengan baik.

"Dia ingat nama kampungnya iaitu Kampung Jelutong, Jelawat, Kelantan. Dia tulis nama adik beradik dia, nombor kad pengenalannya dan balai polis yang terdekat dengan rumah di kampung," cerita guru agama berusia 39 tahun ini.

gelandangan 2

Hasil usaha membuat hebahan di media sosial, Pakcik Izani akhirnya bertemu dengan anak saudaranya yang menetap di Klang.

Tambah ustazah Jocelyn, tanpa melengahkan masa, dia segera membuat carian di laman sosial pada petang hari yang sama kerana mahu menyegerakan urusan pertemuan pakcik Izani dengan keluarganya.

"Saya tinggalkan kerja yang lain sebentar. Bagi saya, urusan orang tua uzur dan rindu nak balik, wajar dipercepatkan kerana tak mahu dia menanggung rindu, dan dalam masa sama, kita tak tahu ajal masing-masing.

"Saya mula buat carian di Facebook dan cuba buat panggilan ke balai polis di sana. Malangnya kurang berhasil. Tiba-tiba saya tergerak nak post dekat page Facebook komuniti kampung pakcik ni.

Betapa Allah mudahkan urusan pertemuan pakcik Izani dan warisnya. Hanya dalam masa sehari!

USTZAH JOCELYN CHEN

PEGAWAI PENTADBIRAN AMAL WILAYAH

"Alhamdulillah, tak sampai 30 minit, ada seorang lelaki call saya. Dia orang sekampung pakcik Izani. Dia beritahu akan maklumkan kepada keluarga pakcik Izani.

"Kira-kira 10 minit kemudian, adik kepada pakcik Izani hubungi saya. Dia kata dah minta anaknya yang tinggal di Klang untuk jemput pakcik Izani," ceritanya.

Sebagaimana yang sudah dijanjikan, pada malam hari yang sama, anak saudara kepada pakcik Izani datang ke pejabat Amal Wilayah untuk menjemput warga emas itu seterusnya menguruskan kepulangannya ke kampung halaman di Kelantan.

"Saya tiada pada malam itu, namun sahabat di Amal Wilayah sempat merakam foto dan video detik pertemuan pakcik Izani dan anak saudaranya.

"Apabila sahabat update perkembangan berita Pakcik Izani malam itu, mengalir air mata saya. Sampai hari ni saya menangis apabila tengok video tu. Orang yang tak pernah kehilangan, mungkin tak tahu rasanya

"Betapa Allah mudahkan urusan pertemuan pakcik Izani dan warisnya. Hanya dalam masa sehari!" ujarnya.

gelandangan 1

Pakcik Izani telah pun selamat tiba di kampung halamannya pada awal pagi Khamis.

Berkongsi lebih lanjut, ustazah Jocelyn berkata, pakcik Izani sudah pulang ke kampungnya pada malam Rabu dengan ditemani anak saudaranya.

"Sebenarnya kata anak saudara pakcik Izani, mereka pernah menjejaki lelaki berkenaan sebelum ini lebih-lebih lagi ketika anak pakcik nak menikah, namun tak jumpa. Akhirnya terpaksa guna wali hakim.

"Kami bersyukur Allah pilih kami jadi perantara. Saya cuba bayangkan pakcik itu bapa kita. Jangan lihat apa yang berlaku dulu.

"Kalau berjauhan lebih 20 tahun, mesti sarat rindu di dada. Alhamdulillah Allah izinkan untuk mereka bertemu, lagi-lagi Aidiladha bakal menjelang tak lama lagi.

"Diharapkan semoga perkongsian ini dapat buka hati orang lain agar membantu insan yang kekurangan seperti gelandangan. Besar pahala jalin silaturrahim, termasuk yang membantu usaha ke arah itu," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain