suria

Pukul 8.15 pagi semuanya normal, setengah jam kemudian tiada degupan jantung! Suami isteri reda bayi meninggal sehari sebelum kelahiran

Akmal mencium anaknya yang disahkan meninggal semasa dalam kandungan.

IMPIAN dan kegembiraan untuk menimang cahaya mata dan mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata.

Begitulah kisah yang dilalui seorang lelaki selepas jantung anak yang dikandung isterinya selama sembilan bulan tiba-tiba terhenti sehari sebelum jangkaan kelahiran.

ARTIKEL BERKAITAN: “Biasanya selepas solat perut berombak, tapi hari tu tak bergerak” - Ibu sayu berpantang tanpa bayi, dua anak dah tunggu di syurga

Menceritakan episod sedih itu, dia yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal mengakui tidak menyangka akan diduga dengan ujian kehilangan seperti itu.

Ujarnya yang mendirikan rumah tangga pada 30 Julai tahun lepas, bayi lelaki yang dinantikan itu adalah anak sulung dia dan isteri tercinta, Sharmira.

"Due date pada 21 Mei. Tapi saya bawa isteri untuk buat pemeriksaan pada hari sebelumnya, Jumaat (20 Mei) seperti yang dijadualkan.

Perkongsian yang dibuat di halaman Facebook baru-baru ini.

Perkongsian yang dibuat di halaman Facebook baru-baru ini.

"Pemeriksaan pertama dilakukan di klinik desa dalam pukul 8.15 pagi, pada masa ni semua masih normal termasuk denyutan jantung. Kemudian isteri keluar dan kena pergi ke klinik kesihatan pula sebab klinik desa tiada doktor.

"Perjalanan dari klinik desa ke klinik kesihatan ambil masa dalam lima hingga enam minit sahaja. Selepas isteri masuk untuk pemeriksaan lebih kurang 15 minit, dia maklumkan yang denyutan jantung bayi tak ada.

"Disebabkan itu doktor panggil saya masuk, dan dia minta supaya saya sabar sebab bayi meninggal dalam perut," luahnya sebak.

Terkejut dengan perkhabaran tersebut, dia bertanyakan kenapa tiba-tiba degupan jantung terhenti dalam tempoh tidak sampai 30 minit kepada doktor.

Justeru bagi mendapatkan kepastian lanjut, dia dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan lanjutan di sebuah lagi klinik yang lengkap dengan alatan perubatan.

Mohd RizQi dikebumikan pada hari yang sama dia dilahirkan.

Mohd RizQi dikebumikan pada hari yang sama dia dilahirkan.

"Saya tanya doktor kenapa tadi check ada lagi (denyutan) tapi sampai sini (klinik kesihatan) dah tak ada. Doktor cakap untuk kepastian bawa ke sebuah lagi klinik dan di situ semua boleh nampak selepas scan.

"Semasa di klinik ketiga, saya dibenarkan masuk menemani isteri dan doktor bertugas mengesahkan bahawa degupan jantung bayi sudah tidak ada," ujarnya sambil memaklumkan gerakan bayi lemah pada pagi tersebut.

Mengakui sedang beremosi pada hari kejadian, dia mengambil keputusan untuk membawa isteri pulang ke rumah terlebih dahulu.

Pada masa itu, doktor juga telah memberikan tarikh untuk memasukkan 'belon' bagi mengeluarkan bayi dari dalam perut.

Saya tidak dapat meneman isteri jadi, dia mengadu cakap sakit. Di wad pun dia duduk sendirian sebab saya hanya boleh temankan di bilik bersalin sahaja.

AKMAL

"Tiba-tiba pada waktu malam tu juga isteri mengadu sakit perut dan dia terus dimasukkan ke hospital... keadaan dia dipantau jururawat dan doktor.

"Keesokan harinya (Sabtu) dalam pukul 4 petang, doktor masukkan belon. Saya tidak dapat meneman isteri jadi, dia mengadu cakap sakit. Di wad pun dia duduk sendirian sebab saya hanya boleh temankan di bilik bersalin sahaja.

"Hari Ahad tu dia cakap sakit dalam pukul 9 pagi dan ada bukaan empat sentimeter. Sejam kemudian dia beritahu boleh masuk bilik bersalin.

"Syukur saya dapat teman isteri dan rasai pengalaman isteri bersalin... mudah sangat isteri bersalin dan tiada koyakan berlaku," imbaunya yang kini menetap di Negeri Sembilan.

Kubur anak syurga Akmal dan isterinya.

Kubur anak syurga Akmal dan isterinya.

Menurut Akmal, isterinya tetap memangku dan memeluk anak mereka walaupun sudah meninggal dunia.

"Kira-kira pukul 4 petang, bayi boleh dibawa keluar dari hospital dan saya terus uruskan pengebumian.

"Saya kena dukung dia ketika dimandikan di masjid. Sebelum Maghrib, urusan pengebumian selesai," katanya yang masih bersedih dengan kehilangan anak yang dinamakan Mohd RizQi.

Tambahnya, sehingga kini doktor masih belum mengetahui punca kematian dan uri diambil bagi tujuan bedah siasat.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

Menceritakan persiapan menyambut kelahiran yang dibuat, dia yang baru bersanding pada bulan Februari lepas berkata semua barang kelengkapan bayi telah disediakan.

"Semua barang dah beli, baju, botol, alat mandi dan lampin pakai buang pun dah ada. Terkilan di situ la sebab sehari lagi nak keluar dah tak ada (meninggal dunia).

"Barang-barang yang boleh simpan, saya simpan yang tak boleh saya sedekahkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Akmal turut menyeru supaya para suami menghargai pengorbanan isteri masing-masing.

Menyifatkan pengalaman berada dalam wad bersalin adalah seram, dia berharap suami sentiasa menyokong dan berada di samping isteri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain