suria

Hati terjentik nampak pelajar UTM kira duit syiling nak bayar nasi lemak RM1, peniaga kafe pesan jangan tahan lapar... Tawar makanan percuma

Wanita ini menjual nasi lemak dengan harga berpatutan kepada pelajar di UTM, Skudai, Johor.

KESUSAHAN dialami pada masa silam banyak mendorong peniaga wanita ini untuk membantu orang lain yang berdepan nasib sama.

Seperti yang tular di Twitter baru-baru ini, peniaga berkenaan menawarkan makanan percuma kepada penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor yang tidak berkemampuan.

"Adik-adik pelajar, kalau tak ada langsung duit jangan tahan lapar. Datang sini beritahu, saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar. Jangan malu," pesan wanita berkenaan menerusi nota yang ditampal di hadapan gerai makan miliknya di kafeteria universiti berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir waktu berbuka, 20 jenis lauk tak terjual.... Opah tunggu sampai tertidur di kaunter, apa cerita jumpa ‘syiling’ depan kedai?

ARTIKEL BERKAITAN: Lauk paru, udang, ayam RM2 je! Peniaga tak sangka ‘dapat susah’ selepas jual nasi lemak murah, terima mesej ugutan - “Saya faham ramai terkesan, tertekan”

Berkongsi cerita kepada mStar, Siti Aishah Othman, 32, memperincikan kisah di sebalik nota tulisan tangan serta makanan yang dijual dengan harga tidak masuk akal.

"Saya seorang anak yatim, jadi memang dari kecil lagi sudah terbiasa dengan kehidupan seperti orang susah. Arwah mak saya dulu cari rezeki nak sara kehidupan saya dan adik beradik yang ramai ni.

"Dulu mak jual nasi lemak sama macam saya jual dekat UTM ni sekarang. Masa mak berniaga dulu memang banyak dia bersedekah dekat orang.

Walaupun hanya mendapat hasil keuntungan sedikit, Siti tetap teruskan berniaga.

"Saya selalu marah dia kenapa suka bagi makanan percuma sebab barang basah kita kena beli dengan modal sendiri," ujarnya yang senang disapa Siti.

Katanya yang merupakan anak ke lapan daripada sembilan orang adik-beradik ini, setelah lebih sebulan berniaga sendiri di UTM ini barulah dia faham tujuan arwah ibunya bersedekah.

Malah, Siti akan menyimpan 10 bungkusan nasi lemak yang mahu diberikan secara percuma setiap kali dia berniaga iaitu pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari kepada pelajar-pelajar.

Kata Siti, harga nasi lemak biasa yang dijual di kedainya adalah serendah RM1 kerana menyedari ramai dalam kalangan pelajar yang tidak berkemampuan.

Hanya insan yang lapar akan faham perut lapar orang lain.

SITI AISHAH

"Setiap hari saya berniaga, kecuali hari Sabtu. Antara sebab kenapa saya tergerak hati nak jual makanan dengan harga RM1 adalah selepas saya sedar ada beberapa orang pelajar selalu datang kedai beli nasi lemak biasa ni tanpa jemu.

"Mereka tak cakap pun tak ada duit tapi daripada cara makan benda sama berulang kali dengan harga murah ni saya boleh faham mereka ni tengah berjimat cermat.

"Ada juga saya jumpa yang bayar makanan berharga RM1 pakai syiling saja. Jadi ini antara inisiatif saya untuk bersedekah dan infak bagi ringankan beban pelajar yang terpaksa bayar yuran pengajian.

"Apabila saya kurangkan harga makanan jualan, tak perlulah pelajar yang kurang berkemampuan kena berlapar. Lagi pula, perasaan bila nampak muka orang (pelanggan) gembira dengan cara saya ni, segala penat dan letih berniaga tu terus hilang," katanya.

Nasi lemak ayam berempah yang dijual pada harga RM4 sahaja.

Selain nasi lemak biasa, Siti juga menjual nasi lemak berlauk ayam goreng berempah berharga RM4 selain pelbagai jenis lauk lain seperti sambal udang dan rendang ayam dengan harga RM5.

Menurut Siti yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata ini, walaupun harga ayam sudah semakin mahal tetapi dia cuba untuk bertahan dengan mengekalkan harga makanan tetap sama seperti biasa.

Tambah wanita yang menetap di Taman Universiti, Skudai itu lagi, dia akan membeli barang basah untuk berniaga setiap tiga hingga empat hari sekali.

"Menu paling mahal saya jual pun RM5 saja. Itu pun setiap hari saya minta maaf dekat pelanggan sebab terpaksa jual mahal. Walaupun untung tak ada sangat tapi apabila dapat kenyangkan orang pun dah rasa lega.

"Asalkan adik-adik semua ni ada dan tahu tempat mereka boleh makan dengan murah dan kenyang. Sekiranya tak ada duit datang saja beritahu, saya belanja. Hanya insan yang lapar akan faham perut lapar orang lain," ujarnya.

Antara menu makanan yang ada dijual di gerai Siti.

Berikutan perkongsian menjadi tular di Twitter, ciapan asal mengenai Siti yang jual makanan murah ini telah meraih lebih 21,000 jumlah ulang kicau dan lebih 36,000 tanda suka.

Rata-rata netizen memuji sikap dan cara tersendiri untuk berbakti kepada masyarakat terutama golongan susah.

"Besar pahala beri makan pada orang yang sedang lapar. Sambil niaga untuk dunia Alhamdulillah akhirat pun dapat ganjaran untuk akak ni. Cabang pahala saham akhirat ni bermacam-macam. Pilihan kita.

"Kalau nampak peniaga baik hati macam ni, kita pembeli kena jadi baik hati juga. Hulur lebih sikit dekat akak ni kalau ada wang lebih. Sekurang-kurangnya dia dapat tampung modal balik," balas beberapa netizen pada ciapan asal.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain